Seronok tengok kejayaan yang dicapai wanita muda dari Johor ini. Mana tidaknya, baru meniti usia 29 tahun… Farah Zieda Mohd Anuar sudah pun berjaya mengejar salah satu impian hidupnya iaitu untuk menjadi juruterbang. Lebih manis, kerjaya idaman ini jugalah yang mempertemukan dia dengan suami tercinta yang merupakan juruterbang di syarikat penerbangan sama, AirAsia. Alahai, indahnya bertemu jodoh di awan biru!

Ads

Farah yang juga graduan Diploma Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) berkata sebelum bergelar juruterbang dia terlebih dahulu menyertai Akademi Latihan Penerbangan Gulf Golden International Flying Academy Sdn Bhd (GGIFA), di Bintulu, Sarawak untuk mendapatkan lesen juruterbang pengangkutan syarikat penerbangan (CPL/IR with Frozen ATPL).

“Saya mula berkhidmat di AirAsia pada tahun 2013 selepas menimba pengalaman bekerja di bahagian jualan tiket penerbangan Airasia selain mengumpul maklumat mengenai skop kerjaya sebagai juruterbang. Sepanjang bertugas di sana, saya telah berkahwin dengan suami yang juga juruterbang AirAsia.”

Ditanya apa yang membuatkannya terdetik untuk memilih kerjaya berkenaan, Farah tanpa berselindung mengakui semuanya bermula daripada bapa tersayang. “Bapa saya merupakan seorang Kapten yang mengendalikan pesawat A330 lebih 20 tahun bersama Malaysia Airlines dan sekarang beliau ialah seorang Kapten A320 di Airasia. Bapa saya sering berkongsi pengalaman kerjanya dengan anak-anak waktu kami kecil dulu.

Suami Isteri ‘Pilot’, FARAH ZIEDA Tak Sangka Jadi Juruterbang Wanita Pada Usia Muda!

Jadi apabila saya berumur 15 tahun dan berbekalkan inspirasi daripada bapa, saya sudah memasang cita-cita sebagai seorang juruterbang meskipun pada masa itu, tidak ramai juruterbang wanita tempatan. Dengan apa yang saya miliki hari ini, saya rasa sangat bangga kerana dapat meneruskan kerjaya yang diinspirasikan oleh beliau. Saya ingat lagi kali pertama saya mengendalikan pesawat Airbus A320, saya rasa tidak percaya yang saya dapat kendalikan pesawat tersebut.

Malah, saya juga bangga kerana berkhidmat bersama syarikat penerbangan yang mengukur kerja keras dan layanan adil serta sama rata tidak kira jantina. Bagi saya, tiada
cabaran khusus sebagai seorang juruterbang wanita kerana kami melalui latihan yang sama seperti juruterbang lelaki. Kami mengendalikan penerbangan berdasarkan piawaian
dan peraturan industri yang telah ditetapkan.

Kerjaya ini sememangnya mencabar kerana ia bergantung kepada cuaca semasa dan setiap penerbangan tidak akan sama kerana cabarannya berbeza bagi setiap penerbangan. Paling penting sebagai juruterbang, kita harus sentiasa bertenang dalam mengendalikan pesawat dengan selamat dalam apa jua keadaan.”

Suami Isteri ‘Pilot’, FARAH ZIEDA Tak Sangka Jadi Juruterbang Wanita Pada Usia Muda!

Ads

Teruja bercerita pengalaman yang dilalui sepanjang menjadi juruterbang, Farah dalam pada itu turut berkongsi peristiwa berdepan detik cemas suatu ketika dulu. “Saya
pernah mengendalikan situasi kecemasan di mana seorang penumpang mengalami pendarahan yang berterusan semasa dalam penerbangan.

Syukurlah ada di antara penumpang terdiri daripada jururawat dan doktor yang turut berada dalam penerbangan sama. Mujur segalanya terkawal. Dari pengalaman tersebut saya mempelajari tugas kami haruslah membawa pesawat mendarat dengan selamat secepat mungkin untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada para penumpang.”

Sebelum memulakan tugas, Farah akan memastikan dia mendapat rehat yang cukup dan bersedia untuk bertugas. Pelaksanaan ‘document check’ dan ‘walkaround check’ secara teliti sebelum berlepas penting untuk mengelakkan sebarang masalah dan kesilapan. Walau kerjaya ini berdepan dengan situasi tidak menentu setiap hari namun Farah gembira dengan pilihan kerjayanya ini.

Ads

Suami Isteri ‘Pilot’, FARAH ZIEDA Tak Sangka Jadi Juruterbang Wanita Pada Usia Muda!

“Setiap hari, saya berkata kepada diri sendiri “Do what you love” jadi saya amat menyukai kerja saya ini hingga saya tidak rasa ia satu pekerjaan. Macam betapa sukanya saya terhadap sukan berbasikal, macam tu jugalah perasaannya bila saya bekerja. Rasa seronok dapat buat benda yang kita suka.

Bagi saya ini bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi ia adalah peluang untuk saya terus belajar menjadi insan yang lebih baik dalam pelbagai aspek. Menjadi isteri yang baik, ibu yang mampu memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya nanti, menjadi anak, kakak, adik yang baik terhadap ahli keluarga.”

Tambahnya lagi sebelum mengakhiri perbualan, “Jangan sesekali fikir bahawa jantina akan menjadi penghalang kepada impian anda. Yang penting anda berusaha dan bekerja keras sama seperti orang lain. “Dare to dream” dan lakukan yang terbaik selain sentiasa pegang kepada DUIT iaitu Doa, usaha, ikhtiar, tawakal. InshaAllah segalanya akan dipermudahkan.”

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI