Cukup mengejutkan! Berdasarkan data Mahkamah Syariah, permohonan kes cerai rujuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga sekarang merekodkan kenaikan luar biasa.
Perkara ini disahkan sendiri oleh peguam syarie, Rabiatul Adawiyah Ramli, yang menyifatkan peningkatan tersebut ‘memaksa’ Mahkamah dibuka dalam tempoh PKP.
Ads
“Pengesahan lafaz cerai rujuk ni antara kes-kes mendesak yang menjadi keutamaan dan perlu dibicarakan segera”
Tambah beliau, faktor-faktor perceraian yang paling kerap diterima adalah masalah kewangan dan kehadiran pihak ketiga. Maka apabila terlafaznya cerai semasa PKP ini, pasangan yang berpisah tetap perlukan pengesahan daripada pihak Mahkamah.
“Andaikata dalam tempoh ini, suami ada melafazkan cerai dan tidak melafazkan lafaz rujuk, apa yang perlu dibuat oleh isteri ialah, isteri perlulah duduk di rumah cuma asingkan bilik tidur dahulu, kerana tidak tahu status lafaz cerai itu sama ada sah ataupun tidak.
Sebaiknya disegerakan tindakan untuk mengesahkan lafaz cerai itu tadi walaupun dalam tempoh PKP ini, bagi mengelakkan perkara atau masalah lain pula yang timbul nanti,” jelas Rabiatul.
==================================
Bagi meningkatkan kefahaman pasangan suami isteri yang mahu berpisah, Rabiatul memberi penjelasan panjang lebar tentang maksud perceraian ini.
Perceraian bermaksud melepaskan atau menghuraikan ikatan perkahwinan.
Jenis lafaz perceraian ada dua iaitu dalam bentuk jelas (sorih) atau tidak jelas (kinayah). Kalau kita dengar lafaz, ‘Aku ceraikan engkau’, itu lafaz yang sorih dan perceraian akan tetap berlaku walaupun tanpa niat.
Berbeza jika lafaz berbentuk kinayah (atau sindiran), contohnya, ‘Baliklah kau ke rumah mak ayah engkau’ atau ‘Mulai hari ini, kita buat cara hidup kita masing-masing’ maka ia perlu disahkan di Mahkamah dan perlu bergantung kepada niat, jika niat untuk menceraikan, maka jatuhlah cerai.
Jika tidak, perceraian tidak berlaku.
Perceraian zaman moden juga berlaku melalui sistem khidmat pesanan ringkat seperti WhatsApp, Twitter, Instagram, e-mel dan lain-lain lagi. Ia juga boleh terjumlah kepada bentuk talak.
Nona: Siapa yang boleh tentukan sah atau tidaknya perceraian itu berlaku?
Hanya Mahkamah Syariah sahaja yang boleh menentukan secara rasmi dan muktamad sama ada suatu lafaz yang diucapkan oleh suami itu tadi sama ada jelas atau sindiran boleh menyebabkan kepada perceraian ataupun tidak. Bukanlah peguam, ustaz ustazah, imam masjid, orang awam dan sebagainya.
Nona: Langkah yang mesti diambil oleh suami isteri jika suami telah melafazkan cerai di luar Mahkamah?
Langkah pertama, laporkan perceraian itu dengan kadar segera sebaiknya dalam tempoh 7 hari.
Kedua, mendapatkan pengesahan perceraian itu tadi.
Ketiga, setelah mahkamah sabitkan jatuh perceraian, maka hendaklah didaftarkan di pejabat agama.
Sebelum kita pergi lebih jauh, jom kenal pasti dahulu jenis-jenis perceraian supaya mudah dikenal pasti sesuatu tuntutan di Mahkamah nanti.
Ads
Jenis-jenis perceraian ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu, cerai dengan persetujuan bersama atau dengan perintah mahkamah, kedua secara taklik, ketiga fasakh, seterusnya perceraian secara tebus talak ataupun dipanggil khuluk.
Perceraian dengan persetujuan atau perintah Mahkamah ini bermaksud suami atau isteri ini telah membuat tuntutan di Mahkamah atau melantik peguam syarie mewakilkan mereka untuk bercerai sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.
Seterusnya perceraian secara taklik ini bermaksud lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji ketika suami lafaz selepas akad nikah disempurnakan. Suami akan diarahkan untuk membaca lafaz taklik.
Contohnya, lazim lafaz taklik ialah sekiranya suami meninggalkan isteri lebih daripada 6 bulan tanpa memberi nafkah zahir dan batin secukupnya, atau sekiranya suami memukul atau mendera atau mendatangkan mudarat kepada isterinya. Inilah lafaz taklik yang dibaca oleh suami.
Tujuan lafaz taklik ini adalah untuk menjaga isteri ini dan sekiranya salah satu lafaz yang dibaca tadi dilanggar, isteri boleh membuat aduan di Mahkamah. Perceraian taklik ini boleh juga berlaku jika suami memberi amaran kepada isteri dengan lafaz, ‘Kalau keluar dari rumah ini, jatuh talak satu’, ini juga merupakan lafaz taklik dan perlu pengesahan di Mahkamah.
Seterusnya perceraian secara fasakh. Bermaksud pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah Mahkamah.
Si isteri boleh mohon fasakh di mahkamah. Pembuktian yang harus dibuktikan oleh isteri dalam tuntutan fasakh adalah agak berat. Kelebihan fasakh ini boleh dijalankan secara sebelah pihak jika suami enggan datang walaupun serahan saman telah berjaya dilakukan.
Ads
Antara alasan dalam permohonan fasakh ialah, suami telah menghilangkan diri dalam tempoh lebih satu tahun. Kedua, suami cuai dalam memberikan nafkah lebih 3 bulan. Ketiga, suami dihukum penjara tempoh lebih 3 tahun. Keempat, suami tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah dalam tempoh satu tahun, dan dengan alasan yang munasabah. Seterusnya, suami telah mati pucuk dalam tempoh perkahwinan dan isteri tidak tahu suaminya telah mati pucuk masa perkahwinan.
Selain itu, perceraian secara tebus talak atau dipanggil khuluk bermaksud suatu perceraian yang diminta oleh isteri dengan memberi sejumlah wang kepada suaminya. Antara alasan isteri memohon tebus talak ialah, suami kerap menyakiti hati isteri sehingga isteri telah tawar hati terhadap suami.
Walaupun suami tidak bersetuju dengan tebus talak ini, akan tetapi jika Mahkamah telah berpuas hati atas alasan-alasan yang diberikan isteri, Mahkamah akan teruskan juga dengan tebus talak.
Lepas dah terlafaz cerai atau dah bercerai, kebiasaanya akan berlakulah sesi rujuk merujuk ni kan. Untuk berdamai semula contohnya. Jadi meh ambil tahu dulu Rujuk ni apa?
Rujuk ni maksudnya kembali. Lebih memberi maksud ‘Mengembalikan isteri dalam talak rajie’, dalam ikatan perkahwinan dengan suaminya menggunakan lafaz tertentu dalam tempoh iddah. Talak yang boleh dirujuk itu hanyalah dua kali sahaja.
Merujuk kepada surah Al-Baqarah Ayat 228 bermaksud, dan wanita-wnaita yang diceraikan itu, mereka mengurung diri mereka selama tiga kali suci.
Maka, dalam tempoh itu, suami boleh merujuk kembali isterinya yang telah diceraikan tadi. Jadi di sini, Imam Al-Syafie juga telah mengulas, dengan memperbaiki talak adalah dengan memperlakukan rujuk.
Apakah kayu ukur yang diambil kira untuk seorang suami itu merujuk semula kepada isterinya?
Mengikut Imam Al-Syafie, tidak sah perbuatan rujuk seorang suami melaikan dengan hanya perkataan. Jadi sekiranya dengan perbuatan dengan menyetubuhi isteri, maka ianya tidak sah rujuk tersebut selagi mana ia mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.
Mengikut kitab Al Majmuk Annawawi yang bermaksud, sekiranya seorang lelaki itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah rajie, menciumnya atau menyentuhnya, maka dengan demikian itu tidak berlakunya rujuk walaupun dengan niatnya ingin merujuk. Maka disini menerangkan, rujuk mestilah melalui lafaz, bukanlah perbuatan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pernah mendapat julukan majlis perkahwinan ‘Asian Wedding of the Year’ kira-kira 17 tahun yang lalu, pesona Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah masih menjadi bualan hingga ke hari ini. Tidak hanya dikurniakan rupa paras lembut menawan, Pengiran Anak Sarah turut menjadi tumpuan di negara ini kerana penampilan baginda yang mempesona di samping tingkah laku yang sarat dengan nilai wanita Timur.
Diputerikan sebagai Dayangku Sarah binti Pengiran Salleh Abdul Rahaman pada 9 April 1987 di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Begawan, Brunei, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah merupakan satu-satunya puteri kepada pasangan Yang Mulia Pengiran Salleh Abdul Rahaman dan Yang Bahagia Rinawati binti Abdullah.
Mengimbas kembali detik bersejarah majlis perkahwinan gilang-gemilang Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, pasangan diraja ini mengenakan persalinan biru yang turut menyaksikan ia dihadiri orang kenamaan, keluarga diraja asing di Istana Nurul Iman.
Kedua-dua pasangan diraja ini dibawa menaiki kereta open-topped Rolls-Royce dan mengelilingi seluruh Bandar Seri Begawan sambil disambut masyarakat di sepanjang jalan. Hasil perkahwinan selama hampir 17 tahun, baginda berdua dikurniakan dua putera iaitu Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman serta dua puteri, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Pada 8 Januari lalu, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dilihat merasmikan acara pembukaan butik SR Design. Seperti kelaziman, penampilannya telah menarik perhatian ramai. Anggun mengenakan blouse corak berbunga lembut dan tudung bawal polos berwarna putih, kejelitaan Pengiran Anak Sarah jelas terserlah!
Sekitar tiga tahun lalu, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menjalin berkolaborasi dengan usahawan wanita Malaysia terkenal, Datin Vivy Yusof yang merupakan pengasas The Duck Group dan FashionValet bagi menghasilkan empat koleksi skaf edisi terhad iaitu The Royal Duck.
Kredit foto: Instagram Brunei Royal Family & Sarhmhtdee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Demi mematuhi standard kecantikan, bidang pergigian kosmetik kini menjanjikan pulangan lumayan buat pengamalnya. Selain rawatan tampalan komposit, rawatan pemutihan gigi juga selalu mendapat permintaan tinggi di kalangan wanita. Tapi adakah ia dibenarkan dalam Islam?
Bagi mendapatkan penjelasan tepat, Nona bertemu doktor gigi dari Klinik Pergigian Anitawaty, Shah Alam yang juga Pengarah di Manarah Cure Sdn. Bhd., Dr. Anitawaty Mukhtar.
Kata Dr. Anita, beliau bimbang melihat trend pemutihan gigi ini, tak kira dari jenis rawatan di klinik atau di rumah kerana ia bukan saja memudaratkan, tapi boleh memesongkan akidah tanpa disedari.
Kit pemutih gigi biasanya mengandungi bahan hydrogen peroxide atau bahan peluntur kepekatan tinggi. Bayangkan gigi yang keras pun boleh putih, kemudian bayangkan pula bagaimana tisu-tisu lembut lain di sekeliling gigi? Hakikatnya cedera parah.
Gigi merupakan bahagian tulang manusia yang paling kuat. Bayangkan bagaimana kondisi tulang-tulang kita yang lain jika gigi pun mula mereput, sudah tentulah ia mencerminkan masalah kesihatan diri yang lain, makin merosot. Ikuti temu bual kami di bawah.
(1) Hukum Berjumpa Doktor Gigi
Nona: Apakah hukum berjumpa doktor gigi untuk mencabut gigi yang sakit?
Dr. Anita: Hukum rawatan pergigian adalah harus untuk tujuan kesihatan. Cuma elakkan membuat rawatan berasaskan kosmetik atau pemutihan gigi supaya tak menambah kemudaratan seperti ngilu atau gigi semakin rapuh.
(2) Sunnah Dalam Pergigian
Nona: Apakah yang dimaksudkan dengan rawatan pergigian berasaskan sunnah?
Dr. Anita: Selain daripada masalah kesihatan, para pengamal kesihatan gigi seharusnya mendapatkan bimbingan ulama sebelum menjalankan sebarang rawatan mencantikkan gigi.
Secara saintifiknya, saraf-saraf dan kapilari dalam mulut saling berkait dengan otak manusia. Betapa penjagaan dalam mulut dengan bahan-bahan tampalan yang berkualiti seperti emas dan perak sangat ditekankan oleh Baginda Nabi. Emas adalah bahan asas pergigian yg sangat utuh dan stabil sepanjang zaman.
Ada alim ulama beritahu saya, betapa sakaratul maut itu sangat sakit tapi sunnah bersugi itu dapat mengurangkan kesakitan roh keluar dari jasad semasa ia ditarik oleh malaikat Izrail.
Dengan itu disunnahkan umat Islam bersugi dan Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika tidak membebankan umatku, setiap waktu nak bersolat disunnahkan untuk bersugi dahulu’. Malah Rasulullah sendiri bersugi bersungguh-sungguh sebelum wafat.
Nona: Maksud bahan tampalan berkualiti?
Dr. Anita: Yang mengikut sunnah dan lebih afdal. Ia seharusnya tahan lama kerana jangka hayat gigi kekal adalah seumur hidup.
(3) Hukum Memutihkan Gigi
Nona: Komen Dr. Anita tentang rawatan pemutihan gigi, seperti yang terang-terangan dibuat oleh ramai wanita sekarang?
Dr. Anita: Kalau gigi tersebut sudah non-vital (mati atau jadi hitam), diharuskan untuk kita memutihkannya agar sekata dengan warna gigi yang lain. Sebatang dua gigi yang hitam itu mungkin terjadi akibat trauma (terhantuk waktu kemalangan) dan ia boleh diputihkan bagi menutup aib.
Tapi kalau nak putihkan gigi yang sedia elok, dari segi akidah boleh dianggap salah. Saya rasa konsep kecantikan juga banyak mendorong orang kita nak buat gigi nampak putih dan tersusun. Mudaratnya gigi akan mula ngilu yang keterlaluan sebab bahan pemutih tu merosakkan tisu-tisu lembut dan keras dalam mulut kita.
Kalau untuk kecantikan atau sekadar ‘menambah keyakinan diri’, hukumnya haram kerana kita mengubah kejadian asal ciptaan Allah SWT. Wallahualam.
(4) Penggunaan Cecair Kumur
Nona: Pendapat Dr. Anita tentang sejauh mana keberkesanan cecair kumur?
Dr. Anita: Saya lebih syorkan pesakit-pesakit saya kembali pada sunnah. Berkumur air garam banyak-banyak selepas memberus gigi. Jika perlu, hentikan guna cecair kumur di pasaran tu.
Sebenarnya dulu saya pernah cuba pakai. Tapi saya perasan karang gigi tumbuh lebih cepat dan lidah rasa berat. Jadi saya berhenti gunakan cecair kumur tu sampailah buka klinik sendiri. 10 tahun pertama perkhidmatan saya, saya dapati jika gigi pesakit goyang dan gusi bengkak, 90% daripadanya mempunyai sejarah penggunaan cecair kumur.
Jadi saya nasihatkan mereka berkumur dengan air garam biasa dan bila pesakit datang semula, alhamdulillah majoriti gigi-gigi yang goyang dan gusi lembut tu kembali pulih.
Satu lagi petua yang baik, gunakan berus gigi lembut dengan ubat gigi halal (sebesar biji kacang hijau saja) dan celup sedikit garam halus (maknanya di singki tempat kita memberus gigi tu dah siap sebekas kecil garam halus). Sambil berus gigi, sambil kita ambil keberkatan sunnah. InsyaAllah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Makin cantik dan terserlah keanggunan buah hati kesayangan Kajol! Genap berusia 19 tahun pada 20 April lepas, kecantikan yang dimiliki Nysa Devgn iaitu puteri sulung Kajol dan Ajay Devgn ini memang saling tak tumpah mewarisi gen ibu bapa tersayang.
Bermata bundar, hidung mancung dan paling menarik perhatian adalah senyuman manisnya. Boleh buat orang ‘cair’!
Meskipun populariti Nysa sebagai anak kepada selebriti popular India ini tidak seglamor anak Shah Rukh Khan, namun rata-rata peminat di sana terpikat dengan kesederhanaan yang dimiliki Nysa.
Melihat Nysa sahaja sudah mengingatkan peminat kepada kecantikan asli ibunya. Tidak dinafikan Nysa mewarisi sepasang mata yang cantik dan senyuman memikat.
Tidak terlepas daripada tempias dunia glamor ibu dan ayah, kelibat Nysa turut kelihatan di majlis-majlis hiburan dan kebajikan yang disertai kedua-dua ibu bapanya.
Enggan si anak terlalu didedahkan dengan spotlight dunia glamor, dalam satu gambar yang dimuat naik Ajay, kelihatan dia dan anak gadis kesayangan hadir menjayakan aktiviti kebajikan yang dianjurkan badan amal Smile Foundation.
Walau baru berusia belasan tahun tapi Nysa sudah dididik mengenai tanggungjawab dan rasa prihatin kepada golongan memerlukan. Pandai Ajay dan Kajol mendidik anak.
Kajol dan suami telah menghantar Nysa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Memetik laporan NDTV.com, Nysa menjadi pelajar di United World College of Southeast Asia di Singapura sejak tahun 2018.
Dalam temu bual bersama NDTV.com, Kajol mendedahkan cara didikannya terhadap anak-anak. “Saya sangat tegas dengan anak-anak kerana sangat penting untuk mereka tahu tentang batas sesuatu perkara dan tidak boleh melangkauinya.
Saya percaya mereka akan membesar jadi manusia lebih baik jika mengikuti didikan kami. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk mengajar anak-anak mengenai apa yang betul dan salah.”
Menerusi perkongsian Kajol di Instagram miliknya, aktres berusia 47 tahun ini ada memuat naik wajah terkini puteri kesayangan. Nysa yang dahulunya masih kelihatan kanak-kanak dan memakai cermin mata, kini tampil dengan imej matang dan cantik.
Mengintai ruangan komen di IG Kajol, rata-rata peminat memuji kejelitaan anak gadisnya. Tidak kurang juga yang mengagumi keanggunan pelakon Bollywood ini yang sentiasa tampak awet muda.
Kajol dan Ajay yang kedua-duanya merupakan pelakon berbakat besar di India berkahwin pada 24 Februari 1999 dan hasil perkahwinan selama 23 tahun itu mereka telah dikurniakan dua orang anak iaitu Nysa Devgn dan seorang anak lelaki yang diberi nama Yug Devgn.
Nysa dilahirkan pada 20 April 2003 dan ketika masih di dalam kandungan, Ajay memasang hasrat untuk menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Nysa yang bermaksud ‘Goddess of purity’. Anak lelaki mereka pula dilahirkan pada tahun 2010.
Ketika Nysa dilahirkan, Kajol memberi tumpuan penuh terhadap perkembangan anaknya itu dan menolak sebarang tawaran berlakon memandangkan bintang Kuch Kuch Hota Hai ini pernah mengalami keguguran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fasha Sandha dedah rahsia kekal relevan. Disiplin merupakan rahsia Nur Fasha Sandha Hassan atau nama glamornya Fasha Sandha kekal relevan dan masih diberi kepercayaan...