Wanita kelahiran Selangor, Nurul Afiqah Abu Bakar atau dikenali dengan panggilan Fifi bertuah kerana bertemu jodoh kali ke-2 dengan jejaka ‘mat saleh’ yang berasal dari California iaitu Joseph David Dalrymple. Fifi yang telah menetap selama 10 tahun di bumi Amerika merupakan wakil untuk kemasukan pelajar di negara tersebut.
Hasil perkahwinan campur, pasangan suami isteri ini dikurniakan seorang anak lelaki yang sangat comel diberi nama Johan Atlas berusia 1 tahun. Manakala suaminya yang dipanggil ‘Honey’ oleh Fifi merupakan seorang jurutera.
Secara eksklusif di slot Lensa Nona, Fifi berkongsi tentang kehidupannya di sana termasuklah bagaimana suasana sambutan Ramadan dan Syawal di negara Barat itu.
Bertemankan suami, Fifi rancak bercerita tentang pengalaman suaminya berpuasa sebagai seorang mualaf termasuklah cabaran serta menu-menu Malaysia kegemaran suami. Tak sangka suaminya suka sangat dengan serunding. Apatah lagi, Fifi sememangnya handal memasak dan gemar mencuba resipi-resipi baru.
Mungkin ramai yang dah tahu, Fifi mula dikenali di saluran YouTube miliknya “Melayu Kat US” yang mana dia sering berkongsi tentang rutin kehidupannya di Amerika. Tempoh 10 tahun telah menjadikan Fifi seorang yang sangat ‘sebati’ dengan budaya masyarakat di sana.
“Saya berhijrah dan bekerja di Amerika pada tahun 2012. Saya bertemu jodoh dengan suami secara online. Selama 9 bulan berkenalan akhirnya kami memutuskan untuk bertemu buat kali pertama. 2 hari selepas pertemuan itu kami pun bernikah.”
Fifi juga menyatakan, tahun ini dah masuk 10 tahun mereka menyambut Ramadan bersama. Bagi Fifi rutin Ramadan di Amerika lebih kurang sama seperti di Malaysia iaitu bersahur, berbuka dan tarawih. Namun sejak mempunyai anak, Fifi memilih untuk solat tarawih di rumah manakala suaminya di masjid.
Kongsi Fifi lagi, memandangkan di sana mempunyai musim tertentu, mereka pernah berpuasa selama 16 jam lebih. Agak sukar dan mencabar bagi Fifi lebih-lebih lagi suaminya yang bergelar mualaf. Namun mereka berjaya mengharunginya bersama.
SUAMI SUKA MAKAN SERUNDING
Serunding adalah makanan Malaysia yang paling digemari oleh suami Fifi. Namun, disebabkan caranya yang agak rumit maka Fifi hanya dapat menyediakan hidangan istimewa itu buat suami hanya setahun sekali.
Manakala cabaran berpuasa di luar negara antaranya ialah di tempat kerja memandangkan Fifi adalah satu-satunya Muslim di sana. Selain itu, berjauhan dengan keluarga juga menjadi cabaran terbesar buat Fifi. Sudah tentu rasa rindu meluap-luap terhadap keluarga dan sanak saudara di Malaysia.
Setiap kali menjelang lebaran Fifi pasti akan terkenangkan momen-momen indah bersama mereka antaranya gotong royong untuk persiapan raya. Tak lupa, paling yang dirindukan ialah rendang paru, salah satu menu raya ‘air tangan’ dari ibu Fifi.
Dan jika tiada aral, Fifi sekeluarga bakal pulang ke Malaysia pada tahun hadapan. Semoga hasrat Fifi untuk bertemu dengan keluarganya di tanahair akan dipermudahkan. Semoga perkahwinan yang dibina bersama suami akan berkekalan sampai ke syurga, Insha-Allah.
Kredit Foto: Instagram Fifi Abu Bakar