Wanita kelahiran Selangor, Nurul Afiqah Abu Bakar atau dikenali dengan panggilan Fifi bertuah kerana bertemu jodoh kali ke-2 dengan jejaka ‘mat saleh’ yang berasal dari California iaitu Joseph David Dalrymple. Fifi yang telah menetap selama 10 tahun di bumi Amerika merupakan wakil untuk kemasukan pelajar di negara tersebut.
Bertemankan suami, Fifi rancak bercerita tentang pengalaman suaminya berpuasa sebagai seorang mualaf termasuklah cabaran serta menu-menu Malaysia kegemaran suami. Tak sangka suaminya suka sangat dengan serunding. Apatah lagi, Fifi sememangnya handal memasak dan gemar mencuba resipi-resipi baru.
Mungkin ramai yang dah tahu, Fifi mula dikenali di saluran YouTube miliknya “Melayu Kat US” yang mana dia sering berkongsi tentang rutin kehidupannya di Amerika. Tempoh 10 tahun telah menjadikan Fifi seorang yang sangat ‘sebati’ dengan budaya masyarakat di sana.
“Saya berhijrah dan bekerja di Amerika pada tahun 2012. Saya bertemu jodoh dengan suami secara online. Selama 9 bulan berkenalan akhirnya kami memutuskan untuk bertemu buat kali pertama. 2 hari selepas pertemuan itu kami pun bernikah.”
Kongsi Fifi lagi, memandangkan di sana mempunyai musim tertentu, mereka pernah berpuasa selama 16 jam lebih. Agak sukar dan mencabar bagi Fifi lebih-lebih lagi suaminya yang bergelar mualaf. Namun mereka berjaya mengharunginya bersama.
SUAMI SUKA MAKAN SERUNDING
Serunding adalah makanan Malaysia yang paling digemari oleh suami Fifi. Namun, disebabkan caranya yang agak rumit maka Fifi hanya dapat menyediakan hidangan istimewa itu buat suami hanya setahun sekali.
Setiap kali menjelang lebaran Fifi pasti akan terkenangkan momen-momen indah bersama mereka antaranya gotong royong untuk persiapan raya. Tak lupa, paling yang dirindukan ialah rendang paru, salah satu menu raya ‘air tangan’ dari ibu Fifi.
Kredit Foto: Instagram Fifi Abu Bakar
This website uses cookies.