Suami pelakon Mira Filzah, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar mengumumkan terjun ke bidang politik selepas bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO.
Anak sulung kepada bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid itu meneruskan legasi keluarga selepas mengesahkan dirinya bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan parti bulan depan.
Menurut posting di laman Instagram miliknya, Wan Emir berkata keputusan itu diambil setelah meneliti pelbagai aspek sebaik mungkin.
“Mungkin ada yang tertanya, kenapa saya mengambil keputusan ini. Hakikatnya, banyak luahan daripada orang ramai yang saya terima; dengan harapan mereka moga ‘parti keramat’ ini dapat terus berjuang atas landasan yang benar.
Lebih-lebih lagi kita di pergerakan Pemuda yang menjadi tonggak utama dalam wadah ini, mestilah teguh berusaha untuk mendapatkan dan mengukuhkan keyakinan rakyat khususnya anak-anak muda terhadap perjuangan yang dibawa ini.
Maka, antara sebab itulah terdetiknya dan termaktubnya suatu niat di hati, untuk menawarkan khidmat saya buat parti ini di landasan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia biarpun pada ambang penutupan pendaftaran calon pemilihan pada tempoh hari,” dipetik dari Instagram Wan Emir Astar.
Wan Emir Astar, 33, yang merupakan seorang arkitek yang memiliki firma seni bina dan perusahaan membuat keputusan itu bagi membawa pembaharuan dalam parti.
“Saya hantar borang untuk menawarkan diri sebagai Exco Pemuda UMNO. ALLAH jentik hati untuk cuba menawarkan perkhidmatan saya untuk parti UMNO ini. Saya mahu cuba bawa keyakinan semula kepada parti setelah apa yang berlaku pada PRU lepas. Selain itu, kudrat dan tenaga akan disumbangkan sepenuhnya kepada parti tersebut sekiranya diberi peluang menjawat jawatan itu.
Terdahulu, ibunya Datuk Mastura Yazid telah mengambil alih tempat suami, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.
Datuk Mastura yang merupakan bekas peguam bela, peguam cara dan penterjemah berjaya mengekalkan kerusi kawasan Parlimen Kuala Kangsar disandang Allahyarham dengan majoriti 6,969 undi pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar (PRK) 18 Jun 2016. Beliau kekal sebagai ahli parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Wan Emir Astar berkahwin dengan Mira Filzah pada September 2020 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Wan Khair Amir pada 10 Mei 2022.