Siapa tidak kenal dengan figura bernama Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman yang popular menerusi lagu berjudul ‘Teringin’ Walaupun bintang kelahiran Banting, Selangor ini tidak lagi bersinar seperti dahulu kala, namun namanya masih utuh dipersada seni hiburan tanah air.
Kini Shima tampil dengan imej berhijab selepas pulang menunaikan Umrah pada tahun lepas. Penampilan baharunya membawa seribu satu makna buat Shima ketika melawat kota suci Mekah dan menjentik hati wanita berusia 50 tahun ini untuk terus mengenakan hijab sebaik sahaja pulang dari rumah Allah.
“ Sejujurnya, saya memang teringin dan menyimpan niat untuk memakai tudung sejak dulu lagi. Pernah terdetik di hati saya, sekiranya diizinkanNya untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci, saya ingin terus tampil dengan imej berhijab. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran untuk mengerjakan ibadah umrah bersama rakan-rakan artis yang lain dimana ia ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 26 Januari tahun lepas.
PERKAHWINAN
Umum mengetahui, empat kali rumahtangga yang dibina Shima sebelum ini menemui titik noktah. Namun, mengakui bahawa perancangan Allah itu Maha Berkuasa, penyanyi yang turut popular menerusi lagu ‘setelah aku kau miliki’ ini kembali bergelar isteri setelah bertemu jodoh kelimanya dengan pemuda bernama Abdullah Rusli, 42, pada tahun lalu.
“ Saya kenal dengan suami saya sudah agak lama. Kami berjumpa ketika saya berpindah ke Pangsapuri Lestari yang terletak di Damansara Damai dan dia memang tinggal di Pangsapuri yang sama tetapi berlainan blok. Dari situlah berputiknya perkenalan kami berdua selama dua tahun dan seterusnya membawa hubungan ini kepada ikatan yang sah.
Saya tertarik dengan kejujuran dan keihklasan suami saya hingga ada segelintir orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dia. Dia sanggup buat apa sahaja untuk membantu orang di dalam kesusahan. Meskipun suami saya lapan tahun lebih muda daripada saya, namun pemikiran dia nampak sangat matang.
Dia juga seorang yang sangat memahami. Malah, dia menerima diri saya seadanya walau diberitahu tentang keadaan kesihatan yang makin merosot. Ini kerana, saya menghidapi sakit saraf dan cakera tergelincir (slipped disc) sekali gus mengehadkan pergerakan saya untuk membuat kerja-kerja rumah seperti isteri-isteri lain.Itulah yang membuatkan saya terharu lantas menerima lamarannya.
HARAPAN
Saya mengharapkan perkahwinan ini hingga ke Jannah. Sudah beberapa kali saya berkahwin namun jodoh tidak bepanjangan. Pernah saya bernikah dengan warga asing namun ia bukanlah perkara yang mudah. Begitu berat tanggungjawab yang saya harus pikul untuk membimbing dia ke jalan yang benar dari segi akidah, agama dan sebagainya. Saya sebagai orang islam perlu kuat menempuh setiap dugaan yang datang.
Hasil perkahwinan saya sebelum ini juga tidak dikurniakan zuriat. Mungkin belum ada rezeki saya ketika itu tambahan pula dengan penyakit yang saya hidapi. Namun saya amat faham dengan keadaan kesihatan saya dan hal ini mungkin tidak mengizinkan untuk mempunyai zuriat sendiri. Saya dan suami redha dengan ketentuanNya.
Alhamdullillah, sudah tiga tahun kami melayari bahtera perkahwinan bersama.Suami saya merupakan sahabat, teman ketawa dan teman bergaduh. Dialah segalanya bagi saya. Dia banyak membantu saya dalam menguruskan rumahtangga termasuk bisnes warung yang saya usahakan.
Bila tiba ulang tahun perkahwinan, kami menyambut dengan sederhana sahaja. Sejujurnya, kami tiada meraikannya dengan memberi hadiah yang besar. Cukup sekadar ucapan selamat ulang tahun sahaja. Saya masih ingat, ketika itu sambutan ulang tahun perkahwinan kami. Kebetulan saya teringin nak makan sate. Dia sanggup berjalan jauh untuk membeli sate untuk saya. Walaupun dia bukanlah suami yang terlalu romantis, tapi ia sudah memadai bagi saya, Alhamdulillah.
Selain sibuk menguruskan rumah tangga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur. Sesungguhnya rezeki tidak pernah salah alamat. Walaupun kurang tawaran nyanyian, Shima tidak terus berdiam diri demi menyara kehidupan. Beliau bersama suami membuka warung yang diberi nama ‘Teringin’ di perkarangan rumahnya untuk menampung hidup.
This website uses cookies.