Ogos lalu genap setahun usia perkahwinan Nurul Izzah dan suami tercinta, Yin Shao Loong. Masih segar lagi di ingatan apabila anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini berkongsi berita perkahwinan, ramai yang terkejut dengan khabar berkenaan.
Bagaimana pun, rata-rata mereka memanjatkan kesyukuran dan tumpang bahagia saat Nurul Izzah kembali bergelar isteri.
Sekian lama merancang pertemuan bersama aktivis politik ini akhirnya Izzah menyatakan kesudian menjadi penghias Nona November 2023 versi digital. Walau mempunyai jadual tugas yang padat, kesanggupannya meluangkan masa berkongsi perkembangan terkini bersama pengikut setia Nona amat dihargai.
Apatah lagi Nurul Izzah kini menggalas tanggungjawab selaku Ketua Bersama Sekretariat Penasihat Kepada Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Mengulas rutin harian sejak bergelar suri hati Shao Loong, dalam nada bahagia Izzah membuka bicara. “Saya rasa tak ada banyak perbezaan. Mungkin boleh dikatakan kami sama-sama sibuk. Alhamdulillah dalam keadaan suami pun mengenali saya lama, jadi beliau tahu (kesibukan) saya. Rutin tidaklah begitu berbeza berbanding dahulu.
Kami dua-dua pun tidaklah makan sarapan pagi yang besar. Hanya kami fokus persediaan anak-anak sebelum ke sekolah. Samalah seperti mana saya laksanakan dahulu sebelum berkahwin.”
Tambah Izzah lagi, walau suami sempat turun padang bersamanya hanya beberapa kali namun dia bersyukur kerana penyelidik kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkenaan sentiasa menjadi tulang belakang.
“Bila saya memerlukan seorang sahabat, beliau sentiasa meluangkan masa. Kerna kami kenal lama dan kadang kala ada krisis politik atau isu Palestin kita nak meneliti dari segi dasar.
Beliau banyak membantu saya walaupun beliau bertugas dengan dapatan dan input. Bagi saya itu adalah sesuatu yang sangat bernilai because time you cannot buy.
Orang beli sesuatu untuk kita itu satu hal, tapi orang luangkan masa bila kita perlukan pada saat kita perlukan, itulah saya fikir ‘hadiah’ buat kita.”
Diaju pertanyaan mengenai rumah tangga, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, “Make sure people yang berkahwin, saya pernah bercerai dan kahwin kali kedua, saya harus tekankan tiga benda ini.
Dalam perkahwinan kita perlu ada keinginan berkomunikasi, kemahiran untuk berkompromi dan berunding, serta ketiga adalah kesabaran.”
Izzah juga dalam pada itu melahirkan rasa syukur kerana mempunyai sistem sokongan yang baik terutamanya dari keluarga ketika diuji dengan perpisahan rumah tangga.
“Alhamdulillah walau pun banyak yang telah saya hadapi, saya fikir kita diberi peluang untuk bersama ibu, ayah dan adik-beradik dalam satu kepompong kasih sayang dan itu adalah suatu yang amat saya hargai.
Saya juga punya ibu mentua yang sangat memahami dan anak-anak,” ujarnya yang turut mendedahkan suami dan anak perempuan iaitu Nur Safiyah pandai memasak hidangan pasta.
Nurul Izzah pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan dikurniakan dua anak masing-masing berusia 16 serta 14 tahun.
Dia kemudian sah bergelar isteri Yin Shao Loong yang pernah menjadi Pengarah Eksekutif Institut Pemikir Institut Rakyat pada Ogos 2022. Shao Loong turut mempunyai seorang anak iaitu Yu Zhou.
Moga rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan berkekalan hingga ke jannah.
Teks & Penyelaras : Suziana Abu Daud
Konsep & Penata Gaya : Norzalina Mohd Alias
Jurugambar & Juruvideo : Sharinizam Othman & Mohd Qaaf
Solekan & Dandanan : Ann Karim
Tajaan Lokasi: Terima kasih Commune Bangsar, Kuala Lumpur (Pegawai Perhubungan Awam – Inga Jawahir)
This website uses cookies.