Tiada apa yang lebih membahagiakan jika dapat berkongsi nikmat rezeki hasil daripada perniagaan dengan mereka yang memerlukan. Itulah antara matlamat pengasas Obsess Cosmetics, Hafizatul Atikah Mohd Fauzi atau Atikah yang tak pernah lupa untuk membantu golongan wanita terutama ibu tunggal bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Ads
Selain berkongsi rezeki, satu lagi faktor kejayaan Atikah ialah pengorbanan dan restu suaminya, Muhamad Syahmi yang selama ini tak pernah berkira dari segi masa, kewangan, fizikal mahupun mental. Suaminya juga merupakan seorang usahawan berjaya.
SUAMI BANYAK BERKORBAN
“Kami sebenarnya dah lama kenal sejak zaman sekolah lagi. Waktu tu saya berumur 15 tahun dan suami pula 17 tahun. Sepanjang berkawan tu banyak kali jugalah hubungan kami terputus. Tapi mungkin sebab jodoh kuat, alhamdulillah akhirnya kami berkahwin ketika umur saya 24 tahun.
Lepas berkahwin kami lebih mengenali dan semakin sayang. Suami bukanlah seorang yang terlalu sweet dan romantik, kalau nak bagi apa-apa hadiah selalunya suami akan tanya saya dulu nak apa. Suami kata dia tak pandai nak surprise surprise ni…
Apa pun saya sendiri tak kisah sebab sikapnya sebagai suami dan ayah yang bertanggungjawab itulah yang paling menambat jiwa saya. Tak pernah berkira apabila perlu menguruskan kerja-kerja rumah dan menjaga anak-anak kalau saya ada urusan atau kelas berkaitan dengan bisnes. Anak-anak sememangnya manja dengan Daddy mereka berbanding dengan saya.
Kalau ada berselisih faham selalunya saya akan ambil masa yang sesuai untuk duduk berbincang dengan suami kemudian kami luahkan perasaan bersama-sama. Cara kami, kalau ada apa-apa yang tak puas hati masing-masing mesti berterus terang. Lepas itu barulah saling meminta maaf, InsyaAllah keadaan akan kembali pulih.
Ads
Suami lebih suka mendahulukan impian saya berbanding dirinya. Saya juga tak akan sampai ke tahap sekarang tanpa pertolongan suami yang banyak menyusun strategi untuk Obsess Cosmetics. Walaupun saya tidak suka bergantung sepenuhnya dengan suami tetapi saya tetap tak nafikan pengorbanannya.
IMPIAN
Ads
“Saya mengharapkan pasaran Obsess Cosmetics lebih meluas. Setakat ini Obsess Cosmetics bukan sahaja terkenal di Malaysia terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor malah turut mendapat sambutan hebat di pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia.
Tip untuk berjaya dalam bisnes, sentiasa ada perancangan yang bagus dan rekrut sebanyak mungkin agen agar menjadi lebih kuat. Saya juga dalam usaha mengukuhkan lagi jenama Obsess Cosmetics dan terus membantu wanita-wanita di luar sana untuk menjana pendapatan. Salah satu projeknya adalah mengadakan tour untuk kelas solekan secara percuma.
Kredit Foto: Instagram Hafizatul Atikah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya cuba sedikit sebanyak untuk membantu mereka. Alhamdulillah, sekarang saya bekerja sebagai pendidik yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di salah sebuah sekolah di daerah Yong Peng dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Suami pula kerja sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Ameena Humaira dan Norameen Mukmin.”
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Inspirasi! Itu ungkapan pertama yang terlintas di fikiran penulis bagi menggambarkan personaliti tokoh negarawan ini. Nama Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mula dikenali ramai ketika beliau menyandang jawatan sebagai Gabenor Bank Negara. Lebih membanggakan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama yang menjawat tugas paling penting dalam bidang perbankan negara selama 16 tahun. Bukan tempoh yang singkat tu!
Selain berjaya mengangkat martabat kaum wanita, penampilan Tan Sri Dr Zeti juga sering menjadi perhatian masyarakat. Setiap kali kelibatnya muncul di hadapan khalayak, ramai yang dapat menjangkakan busana yang dipakai wanita hebat ini. Tan Sri Dr Zeti sememangnya cukup sinonim dengan gaya tersendiri dan ‘melekat’ dengan persalinan kurung rona biru dan aksesori rantai leher mutiara.
Menelusuri latar belakang Tan Sri Dr Zeti, beliau merupakan puteri tunggal kepada pasangan yang juga tokoh ilmuan negara iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagof.
Tan Sri Dr Zeti dilahirkan pada 26 Ogos 1947 di Johor Bahru. Bapa beliau mempunyai darah keturunan Melayu, Circassian dan Inggeris. Sementara ibunya pula berketurunan Hadhrami Arab dan Melayu. Patutlah Tan Sri Dr Zeti cantik dan kelihatan awet muda meskipun sudah meniti usia 73 tahun.
Tanggal 15 Disember 2020, bapa kesayangan Tan Sri Dr Zeti atau dikenali sebagai Pak Ungku telah kembali ke rahmatullah pada usia 98 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur. Allahyarham yang juga tokoh akademik tersohor dalam bidang ekonomi di peringkat antarabangsa pernah menjadi Naib Canselor Universiti Malaya selama 20 tahun sejak 1968 hingga 1988.
Atas jasa dan sumbangan Allahyarham, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya, Selangor dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz pada 31 Disember lepas.
Kebijaksanaan Prof Ungku Aziz nyata diwarisi Tan Sri Dr Zeti yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta dan kemudian bergelar siswazah Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Analitikal dari Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa di University of Pennsylvania pada tahun 1978.
Menurut laporan media, Tan Sri Dr Zeti mendirikan rumah tangga dengan Dato’ Dr Tawfiq Ayman. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz.
Beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh pada tanggal 1 Mei 2000 sekaligus mencatat sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan berkenaan. Bersandarkan kecemerlangan Tan Sri Dr Zeti mengendalikan bidang perbankan negara, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Gabenor Bank Negara pada 1 Mei 2011 bagi tempoh lima tahun seterusnya. Kini, Tan Sri Dr Zeti juga merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Pada Disember 2017, Tan Sri Dr Zeti menerima anugerah Darjah Matahari Terbit (Order of The Rising Sun) iaitu antara darjah kebesaran tertinggi di negara Jepun. Di samping itu, beliau juga pernah dianugerahkan sebagai Gabnor Bank Pusat terbaik dunia pada tahun 2015 dan diiktiraf sebagai Gabenor Bank Kelas A untuk tahun ke-11 berturut-turut dari Majalah Global Finance pada tahun 2014.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Benar kata orang hendak seribu daya tak nak seribu alasan. Kagum dengan wanita yang mempunyai nama Vanidah Imran ni. Menceburkan diri dalam dunia seni sejak usia 21 tahun, kini wanita yang berusia 47 tahun ini telah mengapai cita-citanya bergelar pensyarah.
Dikurniakan wajah klasik, selebrti memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 pada tahun 2007 telah berkongsi di laman media sosial miliknya tentang tugasnya sebagai pensyarah yang terpaksa melakukan kelas kuliah secara maya bersama pelajarnya. “ODL again this sem…. haih! Bertabahlah my dear students. Final sem…. final battle … you can do this,” tulisnya.
Wanita yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 1993 dan berjaya merangkul tempat kedua ini bergelar pensyarah sambilan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana.
Wanita yang berdarah keturunan India-Jawa ini turut menzahirkan rasa syukurnya melalui komennya, “My dream came true. Syukur, alhamdullilah,” tulisnya lagi. Tahniah! Vanidah Imran kerana menyuntik inspirasi kepada semua wanita untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa. Tiada istilah lambat atau cepat dalam mengejar cita-cita yang penting usaha dan tawakal, kan.
Ketika ditanya tentang pengurusan masa, jawabnya ringkas, “Like everything else in life, we just have to learn to juggle our time,” katanya.
Vanidah juga berjaya membuktikan wanita memang hebat dalam multitasking. Sewaktu masih bergelar isteri dan tawaran seni yang tidak pernah putus, Vanidah tetap mampu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Empat tahun ‘berjuang’ membahagikan masa di antara keluarga, kerjaya dan pelajaran akhirnya wanita berjiwa cekal ini berjaya memperoleh Ijazah Bahasa Inggeris di Universiti Terbuka Malaysia.
Sebelum ini Vanidah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 namun bercerai pada Ogos 2018 selepas 17 tahun berkahwin. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran, 19 tahun dan Maryam Rashika, 16 tahun.
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...