Korea Selatan merupakan negara pertama yang melaporkan bilangan kes COVID-19 di luar China serta antara yang terjejas teruk.
Kina Omar, anak kelahiran Malaysia yang mengusahakan industri pelancongan Jeju Muslim Travel di negara tersebut bersama suami turut merasai kesannya. Sebagai seorang yang telah lama menghuni bumi Korea Selatan, Kina berkongsi sedikit sebanyak tentang keadaan terkini di Korea Selatan.
“Walaupun Korea Selatan kesnya agak tinggi tetapi di Pulau Jeju hanya terdapat empat kes positif COVID-19. Namun kini keempat-empatnya sudah kembali pulih.
Kini keadaan sangat terkawal. Semua masyarakat di Korea Selatan mengikut arahan dengan menjaga keselamatan diri serta keluarga. Mereka sentiasa memakai topeng muka serta hand sanitizer walaupun sedang bekerja di dalam pejabat.
Antara langkah-langkah pembendungan yang dilakukan oleh kerajaan agar wabak COVID-19 tidak merebak dengan lebih serius ialah semua restoran serta kedai tidak membenarkan warganegara China memasuki premis mereka.
Selain itu, untuk mengekang wabak COVID-19 daripada terus menular kerajaan Korea Selatan turut menyekat kemasukan warganegara China. Korea menarik free-entry visa untuk seluruh warganegara kecuali Malaysia.
Ini bermaksud semua warganegara memerlukan visa untuk memasuki Korea kecuali warganegara Malaysia.
Keadaan di Jeju lengang, tiada pelancong dan ramai yang stay indoor walaupun negara tersebut tidak melakukan lockdown. Seperti mana kita tahu masyarakatnya sangat berdisiplin.
BISNES PELANCONGAN TERJEJAS
Industri pelancongan antara yang paling terkesan dengan wabak COVID-19 ini. Bisnes pelancongan kami, Jeju Muslim Travel turut terima tempiasnya. Syarikat kami menerima jumlah pembatalan dan penangguhan trip yang terlalu tinggi. Sejak minggu kedua bulan Mac semua trip dibatalkan. Kami kehilangan lebih 1.000 orang pelanggan dalam masa 2 bulan.
Syarikat kami mengalami banyak kerugian sehingga menyebabkan Jeju Muslim Travel terjejas dan hilang sumber pendapatan. Kami juga terpaksa memberhentikan beberapa orang pekerja.
Bisnes kami adalah dalam sektor pelancongan (tour, kereta sewa dan guesthouse). Semuanya tiada income. Dijangkakan keadaan ini akan berterusan di Korea Selatan sekurang-kurangnya setahun baru kembali pulih. Buat masa ini kami berada dalam fasa survival.
PERSEDIAAN
Alhamdulillah saya dan suami tetap bersyukur kerana kami ada membuat simpanan dan tidak berbelanja dengan boros ketika perniagaan masih dalam keadaan stabil. Justeru, kami menggunakan wang simpanan sedia ada untuk survive.
Di saat semua agensi pelancongan memilih untuk menghentikan kerja-kerja pemasaran dan penjenamaan mereka, kami pula giat melakukan kerja-kerja tersebut kerana pada masa inilah iklan-iklan kami di Facebook serta Instagram tiada persaingan.
NASIHAT
COVID-19 memberi impak kepada kita semua, satu dunia terkesan. Jika anda tidak dijangkiti virus COVID-19, anda mungkin akan terkesan dengan hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan, gaji dipotong dan ekonomi negara yang jatuh merudum.
Jika tidak terkesan hari ini, mungkin akan terkesan minggu depan atau bulan depan atau tahun depan (sekiranya COVID-19 masih belum pulih). Oleh itu, marilah kita sama-sama mematuhi arahan PKP untuk kebaikan bersama termasuk frontliners yang sedang berjuang di hospital.
Tinggal di rumah, jaga kebersihan, kekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain, jangan berjabat tangan dan pakai topeng muka. Hand sanitizer sentiasa ada apabila keluar rumah. Together we can fight this virus!
Kesimpulannya, saya menganggap COVID-19 ini sebagai satu ‘blessing in disguise’. Sejak tahun lepas lagi, saya berdoa kepada Allah SWT semoga ada masa untuk luang lebih banyak masa bersama keluarga. Dapat berehat kerana saya sudah penat bekerja selama lima tahun.
Tiba-tiba tahun ini Allah SWT ‘datangkan’ COVID-19. Walaupun Jeju Muslim Travel terkesan teruk dengan wabak ini, tetapi saya anggap Allah SWT telah memakbulkan doa untuk dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan keluarga.
Sejak PKP dilaksanakan, setiap hari saya dapat memasak untuk keluarga. Selain dapat menyediakan menu yang berbeza setiap hari, saya juga dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada anak sambil melayannya bermain serta melakukan banyak aktiviti bersamanya.
Paling seronok kini saya dan suami dah kurang bercakap hal-hal kerja. Terima kasih Allah, inilah kebahagiaan yang kami tak dapat waktu bisnes tengah naik sebelum ini. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Cari titik positif di setiap musibah yang berlaku. Pasti kita akan merasa bahagia dan sentiasa bersyukur,” akhiri Kina yang kini berada di Malaysia bersama keluarga tersayang.
Kredit Foto: Instagram Kina Omar