Bahang perdebatan mula terasa sejak awal Parlimen bersidang pagi ini. Masing-masing bersaing mengemukakan hujah yang terpendam namun Majalah Nona tertarik dengan gesaan #RasuahBusters yang lebih penting pada saat ini.
Menerusi mesej yang disampaikan oleh Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Haji Yaacub pada Sabtu, beliau dengan lantang meminta semua barisan pucuk pimpinan negara mencari solusi kepada 3 isu rakyat iaitu COVID-19, Rasuah dan Ekonomi.
“Pengurusan COVID-19, Rasuah dan Ekonomi perlu mendahului senarai keutamaan dalam apa juga topik perbahasan.
Sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang, sewajarnya mengenepikan sebarang bentuk pertelagahan tentang kekuasaan, politik, pilihanraya atau apa saja isu lain yang boleh menggugat fokus terhadap kepentingan rakyat Malaysia.” Datuk Hussamuddin
Tambah beliau, protokol pengurusan wabak COVID-19 memerlukan libat urus semua pihak agar isu kritikal ini diselia dan diperluas dengan lebih berkesan.
Landskap ekonomi akibat COVID-19 yang berubah selari norma baru juga belum dapat menjanjikan sebarang kepastian atau harapan untuk ekonomi dapat dibangun semula dalam jangka masa terdekat.
“Untuk itu, ruang kelegaan melalui bantuan yang diberikan wajar disusuli dengan pelan dan garis panduan yang diperincikan untuk rakyat bergerak bersama ke arah pemulihan ekonomi yang munasabah.”
BANTERAS RASUAH
Selain dua isu utama tersebut, para pemimpin perlu sedar bahawa rasuah, atau bentuk-bentuk penyelewengan kuasa adalah virus dan penyakit moral yang boleh meruntuhkan apa saja sistem pemulihan yang sedang dibina.
Evolusi rasuah akibat terjejasnya ekonomi dan struktur sosial berpotensi untuk tumbuh di segenap peringkat jika tidak dihalang.
Prosedur akauntibiliti, pelaporan yang tulus dan telus perlu disemak dengan undang-undang yang dipertegas dalam menghidupkan sebuah negara yang berintegriti terutama ketika proses pemulihan sedang berlangsung.
Jika isu rasuah ini gagal menjadi keutamaan, kita harus sedia menyaksikan nyawa dan kehidupan rakyat semakin terancam dan masa depan negara yang semakin tenggelam.
Beliau juga turut menekankan matlamat #RasuahBusters iaitu usaha yang terfokus pada waktu ini akan menatijahkan impak yang bermakna.
Maka, sebagai tampuk yang memegang amanah, wakil-wakil rakyat harus sedar bahawa, perkara yang paling penting pada saat ini adalah membebaskan sebarang ancaman terhadap nyawa rakyat, dari sudut kesihatan dan dalam masa yang sama terpaksa berdepan dengan tekanan jiwa dan ekonomi yang begitu menghimpit.
Dengan kemajuan teknologi, amat mudah untuk rakyat memerhati. Jadikanlah persidangan parlimen kali ini sebaik-baik masa untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah yang dijanji.