Sedar atau tidak dalam kehidupan ini banyak perkara yang perlu kita hadapi antaranya masalah, bebanan tugas dan tanggungjawab. Ia umpama satu gabungan sempurna yang mewarnai kehidupan. Makin lama makin mencabar.
Begitulah kehidupan seorang isteri, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk membantu suami bukan saja dari segi kewangan keluarga bahkan membahagiakannya. Isteri penyejuk hati suami. Bagaimana caranya? Elakkan 5 perkara ini.
MENGHARAPKAN SUAMI TERLALU BERSIKAP ROMANTIK
Janganlah terlalu mengharapkan suami saja yang romantik. Suami juga insan biasa yang perlu dimanjakan. Sama-sama give and take, bukan sebelah pihak saja. Sesekali buatlah kejutan untuk suami. Contohnya, rancang percutian berdua. Menghabiskan waktu berdua jauh dari kehidupan rutin salah satu cara memulihkan hubungan suami isteri.
TAK FAHAM PERASAAN SUAMI
Bukan saja wanita yang mudah alami tekanan emosi bahkan lelaki juga walaupun dianggap gagah. Suami sebenarnya memerlukan sokongan dan sandaran isteri saat mereka jatuh dan tertekan. Berikanlah sokongan dari segi emosi demi keharmonian rumahtangga.
PENDAM MASALAH SEORANG DIRI
Mungkin anda seorang isteri yang suka membuat keputusan sendiri terutama di rumah. Suami pula membiarkannya dek kerana rasa hormat. Namun ketika anda ada masalah dan perlukan bantuan suami tetapi tak memberitahunya mungkin anda akan rasa marah. Mana mungkin suami akan faham isi hati anda itu kalau tak diberitahu, bukan? Ini boleh menjejaskan hubungan.
SUKA MEMBERI ARAHAN
Tak dinafikan anda mungkin keletihan dengan bebanan tugas dan tanggungjawab sebagai pekerja, isteri dan ibu. Lebih-lebih lagi kalau anda seorang ketua. Tak perlulah terus membebankan suami dengan kerja-kerja rumah disebabkan anda terlalu letih setelah pulang kerja. Biarkan suami berehat seketika dan tunjukkan rasa cinta kepadanya. Kemudian barulah anda minta bantuannya. Suami akan lebih bersedia dan ikhlas membantu.
KURANG BERBINCANG HAL RUMAHTANGGA
Selain berkaitan anak-anak satu lagi hal yang sangat penting untuk dibincangkan iaitu tentang hubungan suami isteri. Sejauh mana kemesraan, tanggungjawab, kekurangan dan sebagainya yang boleh diperbaiki demi kebaikan bersama. Pastikan perbincangan itu dalam suasana yang menyenangkan.
This website uses cookies.