Nama Sophia Latjuba sememangnya amat sinonim sebagai penyanyi dan pelakon popular Indonesia sekitar 90-an. Wajah kacukan Jerman, Austria, Bugis dan Jawa ini mencipta nama dalam bidang seni suara.
Antara lagu dendangannya yang terkenal termasuklah Kangen berduet dengan Chrisye yang popular di awal 90-an.
Walaupun telah mencecah usia 52 tahun, kejelitaan Sophia Latjuba sememangnya amat dicemburui. Melihat posting di laman Instagram miliknya, ternyata selebriti ini amat mementingkan penjagaan kesihatan dan pemakanan untuk kekal cantik. Gemar melakukan senaman yoga di halaman rumahnya, Sophia selesa dengan rutin yoga yang diamalkannya.
Yoga merupakan latihan yang memberi tumpuan kepada pernafasan, kekuatan, dan kelenturan. Yoga banyak manfaat kesihatan fizikal dan psikologi. Selain itu, yoga juga dikatakan dapat membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan.
Selain yoga, Sophia juga rajin berbasikal untuk mengekalkan stamina dan mendapatkan bentuk badan ideal.
Selain itu, Sophia Latjuba diketahui mengamalkan pola pemakanan yang sihat. Ibu kepada Eva Celia Lesmana dan Manuella Azizah Villareal ini merupakan seorang vegetarian dan tidak menyentuh hidangan berupa ayam atau daging dan lebih banyak menikmati hidangan berasaskan sayur-sayuran dalam diet sehariannya.
Kejelitaan Sophia Latjuba atau nama sebenarnya Sophia Inggriani Latjuba jelas terserlah tatkala menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya, Eva Celia Lesmana dan pasangannya, Demas Narawangsa pada Jun lalu.
Ramai yang tidak sangka pada usia 52 tahun Sophia kelihatan menawan mengenakan busana putih bergambar kenangan bersama anak serta menantunya.
Eva Celia merupakan anak pertama Sophia Latjuba hasil perkongsian hidup dengan komposer Indra Lesmana pada tahun 1992. Perkahwinan Sophia bersama adik kepada pengarah filem Ada Apa Dengan Cinta, Mira Lesmana itu hanya bertahan selama setahun sebelum pasangan ini berpisah pada tahun 1992.
Namun Sophia Latjuba sekali lagi mendirikan rumahtangga bersama seorang warga Amerika Syarikat, Michael A. Villareal dan dikurniakan seorang anak perempuan, Manuella Azizah Villareal. Meskipun sudah berusia 52 tahun, Sophia Latjuba tidak terlepas dari gosip cinta apabila dikaitkan dengan beberapa selebriti popular termasuklah Ariel Noah pada tahun 2018.
Pasti ramai yang cemburu dengan kejelitaan dan susuk tubuh yang dimiliki oleh aktress ini. Untuk kelihatan cantik seperti ini, pastinya memerlukan banyak ‘pengorbanan’ terutamanya dari segi pengambilan makanan yang manis dan tinggi kalori. Benarlah kata orang, nak cantik perlu pengorbanan!
Satu pasangan, SENANG dan MEWAH. Satu pasangan lagi, mengalami kesempitan hidup! Belajar Dari kisah ini…
Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa menjadi satu. Dua jiwa menjadi satu matlamat. Apabila matlamat dicapai, kebahagiaan datang dan hidup di dalam kedua-dua jiwa. Ini akan menjadikan perkahwinan itu sentiasa segar, sihat dan kukuh. Maka itu, bagi pasangan yang berkahwin, perlulah ada matlamat-matlamat yang kecil dan besar untuk sama-sama direnangi dan diperolehi. Setiap pengalaman dan kejayaan matlamat yang diperolehi ini akan menjadikan perkahwinan itu semakin ‘bermakna’.
Antara matlamat-matlamat yang boleh membawa kebahagiaan adalah apabila kedua pasangan bersatu padu untuk menaikkan ekonomi rumah tangga. Mungkin ramai pasangan yang tidak bersatu dalam hal- hal kewangan. Masing-masing buat hal masing-masing dalam mencari nafkah, dalam berbelanja dan dalam menyimpan dan melaburkan wang. Ada yang mengagih-agihkan perbelanjaan bulanan dan selebihnya ikut suka masing-masing dalam membelanjakan wang gaji.
Bagi setiap pasangan, perlu ada semangat berpasukan. Apabila kita telah bersatu, kita mesti mempunyai tanggungjawab untuk membantu pasangan, salah satunya dari segi kewangan. Jika masing -masing kedekut, tidak bertanggung jawab dalam kewangan keluarga seperti membazir dan menggunakan wang untuk kepentingan diri, maka akan tercetuslah perbalahan dan ‘keretakan’ dalam dunia rumahtangga.
Sebenarnya, KEJAYAAN KEWANGAN bagi pasangan baru berkahwin amat mudah dikecapi. Anda hanya perlu ingat bahawa jika anda lebih AWAL mulakan MENYIMPAN WANG, anda akan dapat menjadi SENANG dengan mudah. Mari kita kaji dua pasangan baru berkahwin ini dan lihat apakah tabiat-tabiat yang berbeza antara mereka yang menyebabkan satu pasangan sangat SENANG dan MEWAH dan satu pasangan lagi jauh dari senang, bahkan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sentiasa berhutang keliling pinggang.
Pasangan pertama hidup dalam bersatu-padu dan bahagia manakala pasangan kedua berpecah-belah dan menyalahkan pasangan masing-masing atas kesempitan hidup yang dialami. Dr. Niki Shuhada, seorang konsultan di dalam bidang pelaburan dan terikat dengan sebuah institusi perbankan terkemuka berkongsi kisah dan diharapkan ia dapat menjadi teladan dan panduan buat semua…
PASANGAN PERTAMA :
Farah dan Fadhil
Farah telah berkahwin dengan Fadhil, seorang jurutera. Farah dan Fadhil, mempunyai matlamat untuk menaikkan ekonomi keluarga supaya mereka dapat memberikan kesenangan kewangan kepada diri mereka dan anak-anak yang bakal mereka perolehi. Mereka percaya, bersusah-susah dahulu, bersenang senang di kemudian hari. Mereka memberi matlamat 5 tahun untuk mereka membina kekayaan untuk ‘keluarga baru’ mereka
Langkah Pertama : Farah dan Fadhil, telah menyimpan wang gaji hasil dari bekerja sewaktu mereka belajar. Sebelum berkahwin, mereka duduk berbincang tentang bajet perkahwinan dan mengambil persetujuan untuk tidak keterlaluan dan menyempurnakan perkahwinan tanpa berhutang; dengan mengambil kira BAJET dan KEBOROSAN. Maka itu, Farah dan Fadhil masih mempunyai wang simpanan dan menggunakan sedikit lagi peruntukan untuk berbulan madu.
Langkah Kedua : Pada waktu ini, Farah dan Fadhil mempunyai RM 100,000 wang terkumpul bersama hasil bekerja sambilan selama 5 tahun di luar negara. Tahun pertama perkahwinan, Farah dan Fadhil telah melaburkan wang dengan pulangan 10% setiap tahun. Mereka menerima ‘wang percuma’ iaitu keuntungan pelaburan sebanyak RM 10,000 setiap tahun. Wang ini mereka gunakan sebagai sebahagian duit muka untuk membeli sebuah kereta berharga RM 38,000. Wang baki dari ‘wang percuma’ mereka simpan sebagai bayaran bulanan tahun pertama kereta tersebut. Jadi, wang gaji mereka tidak digunakan bagi tujuan membayar kereta. Kereta tersebut telah dibayar oleh keuntungan pelaburan dari wang RM 100,000. Mereka meneruskan tabiat menyimpan dan berjimat.
Langkah Ketiga : Mereka bukanlah pasangan yang tidak pandai ‘having fun’. Tahun pertama mereka sangat berseronok, mereka keluar ke tasek setiap minggu untuk berjogging, tengok wayang tetapi mereka pulang ke rumah untuk makan di mana Farah akan memasak dan mencuba resepi-resepi baru untuk suaminya. Kadang-kadang jika menepati BAJET yang ada, mereka makan di luar. Setiap bulan, pasangan ini menyimpan 50% dari wang gaji mereka. Selama tahun yang pertama, mereka telah menyimpan sebanyak RM 30,000 kerana mereka menyimpan separuh dari pendapatan rm5,000 sebulan mereka.
Langkah Keempat : Setelah 5 tahun berlalu, Farah dan Fadhil, telah mengumpul RM 150,000 wang simpanan setelah berkahwin. Hasil keuntungan pelaburan sebanyak 10% setiap tahun mereka sekarang mempunyai ‘wang percuma’ RM 15,000 yang sekarang mereka gunakan untuk membeli sebuah rumah berharga RM 70,000.
Langkah Kelima : Mereka gunakan kaedah yang sama, iaitu menggunakan ‘wang percuma’ keuntungan pelaburan untuk membayar pinjaman bulanan. Jadi, rumah itu juga tidak perlu dibayar dengan wang gaji mereka. Rumah dibayar oleh keuntungan pelaburan. Mereka sekarang boleh menggunakan wang gaji untuk menyimpan lagi bagi lain lain keperluan.
Langkah Keenam : Mereka juga telah mempunyai cahaya mata. Duit susu dan keperluan anak sebanyak RM 1,000 sebulan juga telah awal awal disediakan oleh mereka dengan melaburkan wang RM 120,000, hasil wang bonus hujung tahun dan perniagaan sambilan mereka selama 5 tahun. Mereka juga melaburkan RM 12,000 lagi untuk mendapat ‘wang percuma’ rm1,000 melancong setiap tahun. Sekarang mereka mempunyai wang yang dilaburkan sebanyak RM 372,000 dan pulangan setahun keuntungan RM 37,200 setahun. Ini memberikan mereka ‘wang percuma’ RM 3,100 setiap bulan. Mereka senang dan mewah dan sangat bahagia.
PASANGAN KEDUA
Salina dan Salman.
Rakan karib Farah di universiti pula, Salina, pada tahun yang sama setelah pulang dari belajar, telah berkahwin dengan Salman, seorang peguam.
Kesilapan Pertama : Manakala, Salina dan Salman lebih mementingkan kehidupan yang penuh dengan kejutan! Salina dan Salman berpendapat, hidup hanya sekali, dan alam muda adalah untuk ‘dinikmati!’ Mereka rasa bahagia apabila dapat melancong, membeli-belah dan makan-makan diluar bersama kawan-kawan setiap hujung minggu.
Kesilapan Kedua : Salina dan Salman, juga telah berkerja secara sambilan sewaktu belajar. Tetapi mereka telah belanjakan kesemuanya untuk membeli-belah sewaktu di luar negara. Salman pula gemar menghabiskan masa beriadah dan mengumpul barangan sukan yang mahal-mahal.
Kesilapan Ketiga : Ketika majlis perkahwinan, Salina meminjam wang dari ibubapanya dan Salman pula mengambil pinjaman dari sebuah bank. Mereka tidak menyediakan BAJET dan hanya menambah apa yang patut setiap kali disarankan oleh kedua keluarga. Mereka berhutang RM 30,000 untuk majlis perkahwinan mereka. Akhirnya kewangan mereka menjadi sendat setelah berhabis untuk majlis dan kos berbulan madu.
Kesilapan Keempat : Salina dan Salman, tiada wang simpanan terdahulu. Malah pada bulan pertama selepas berkahwin, mereka terpaksa membayar hutang bulanan rm1000 untuk menjelaskan hutang kenduri. Mereka juga membeli sebuah kereta RM 68,000 kerana merasakan gaji bulanan RM 5,000 antara mereka dapat menampung hutang bulanan tersebut. Salina pula gemar membeli belah pakaian terbaru dan Salman masih meneruskan aktiviti riadah yang mahal mahal. Setiap minggu mereka berjumpa kawan kawan ditempat yang mewah dan pastinya setiap bulan mereka tiada wang simpanan.
Kesilapan Kelima : Salina dan Salman, sentiasa tiada wang kerana hidup dalam berhutang dan menggunakan wang tanpa berfikir. Mereka tiada tabiat menyimpan dan tidak berfikir panjang sebelum berbelanja. Setelah 5 tahun, mereka habiskan setiap wang gaji untuk membayar hutang kereta, hutang rumah, perbelanjaan diri dan anak anak. Setiap hampir hujung bulan mereka bergaduh kerana merasa penat dengan hidup yang sentiasa tidak cukup, sedangkan kedua dua mereka berpendapatan mewah.
Kesilapan Keenam : Dari hari ke hari, mereka melihat Farah dan Fadhil makin mempunyai aset dan harta, juga yang dahulunya Farah dan Fadhil hanya berkereta kecil sekarang telah membeli kereta baru dan mula bercuti ke luar negara. Kehidupan Farah dan Fadhil makin mewah dan berubah. Mereka pula terpaksa bekerja keras dan dihujung bulan semua wang gaji habis dikerjakan. Mereka terperangkap dalam arus kewangan tidak dikawal. Mereka rasa kecewa.
Semoga cerita dan kisah dua pasangan ini menjadi penunjuk untuk kesemua pasangan menemui KEJAYAAN KEWANGAN dan kehidupan yang harmoni. KESEIMBANGAN dalam berbelanja dan MENYIMPAN amat penting. Buatlah ‘TEAMWORK’ bersama pasangan dan semoga menyimpan wang menjadikan anda bahagia sentiasa! KAWAL PERBELANJAAN DENGAN BIJAK dari hari pertama anda menjadi suami isteri.
Jenis Pelaburan Selepas Berkahwin :
1. Simpanan berkala.
- Simpanan yang dibuat secara bulanan atau tahunan untuk Tabung Persaraan, Tabung Pendidikan Anak atau untuk tujuan apa sekalipun, anda boleh membuat simpanan ke dalam Akaun Simpanan yang memberi pelbagai faedah perlindungan untuk menjaga kebajikan dan keperluan hidup anda sekeluarga. Simpanan ini memberi keseimbangan di antara pulangan dan risikonya serta memberi anda kuasa untuk menguruskan Perlindungan Insurans dan Keperluan Pelaburan anda dalam satu akaun.
- Akaun berprinsip syariah yang dilaburkan ke kaunter pelaburan halal dan memberi pelbagai faedah perlindungan kewangan yang memenuhi keperluan sebagai seorang muslim.
- Pelaburan dan persaraan yang memberi perlindungan khas untuk kaum wanita.
- Akaun pendidikan IPT Anak untuk tabung pendidikan dan jaminan masa depan anak anda.
- Akaun Pelaburan Jangka Sederhana yang dibuat secara bulanan melalui potongan bank.
2. Simpanan Sekali-Gus.Iaitu simpanan yang dibuat sekaligus dan dibiarkan untuk jangka sederhana seperti 305 tahun.
3. Dana Modal Terjamin. Pelaburan yang dijamin modal tidak akan hilang untuk tempoh lima tahun akan datang.
4. Pelaburan KWSPPelaburan saham amanah yang dibuat melalui Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Ibu 2 Anak Lelaki, JIHAN MUSE Bahagia Dikelilingi 3 “UNGKU” Di Rumah
Umum mengetahui pelawak dan pengacara, Jihan Muse, 39, mengambil keputusan berehat sementara dari sebarang kegiatan seni kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan anak keduanya yang dilahirkan pada 6 September lalu.
Usai melahirkan anak keduanya yang diberi nama Ungku Altamis Barr, Jihan mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya dan memberi tumpuan kepada keluarga serta anak kedua yang baru lahir.
Sepanjang tempoh tersebut, Jihan terpaksa melupakan tugas untuk mengacarakan rancangan popular demi memastikan proses berpantang dan masa berkualiti bersama keluarga tersayang dapat dinikmati sepenuhnya.
Benarlah kata bidalan, seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan anak-anaknya membesar di depan mata. Sudah tentu perasaan yang sama dikongsi oleh Jihan yang ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tersayang.
Baru-baru ini, isteri kepada Ungku Hariz ini memuat naik posting di Instagram berkenaan keterujaannya untuk membawa anak keduanya, Ungku Altamis Barr keluar dari rumah buat pertama kalinya.
Jihan menulis kapsyen ringkas tetapi penuh makna yang meluahkan rasa syukur buat anak keduanya. Pada masa yang sama, dia menitipkan doa semoga keluarganya itu dilimpahi rahmat. Secara tidak langsung, dapat digambarkan bahawa wanita ini meletakkan keluarga sebagai keutamaan utama buat dirinya kini.
Di dalam posting berkenaan, wajah keibuan dan kebahagaiaan jelas terpancar di wajah selebriti berusia 39 tahun itu yang mengamalkan proses berpantang sebaik mungkin untuk memastikan kesihatan dirinya berada dalam keadaan yang baik untuk keluarga tersayang. Jihan juga seakan berehat dari ‘media sosial’ buat seketika kerana tidak banyak posting berkenaan dirinya di Instagram miliknya selepas melahirkan cahayamata kedua.
Ramai peminat yang merindui celoteh Jihan mengacarakan rancangan namun sebagai isteri dan ibu, sudah pastinya keutamaan dirinya adalah untuk keluarga tersayang. Malah Jihan mengakui bahagia dikelilingi 3 “Ungku” dalam kehidupannya.
Jihan mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ungku Hariz pada 20 Mac 2016. Mereka juga dikurniakan cahaya mata lelaki, Ungku Arsalan Haq yang kini berusia empat tahun.
Risau Tinggal Anak Pada Pengasuh, Muhaini Mahmud Lepaskan Jawatan Besar Asal Hati Tenang
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin