Suka ‘Hiking’, Kejelitaan DATIN MAS ANIZAN Di Samping Anak Gadis Jadi Bualan!

Kejelitaan milik pelakon era 1990an ini seakan tidak pernah pudar. Mana tidaknya, meniti usia lewat 40an dan sudah pun mempunyai tiga anak yang semakin meningkat dewasa, Datin Mas Anizan tetap kelihatan menawan dan awet muda! Tidak hairanlah, beliau sering mendapat tawaran berlakon hingga ke hari ini. Apatah lagi anak-anak pun sudah besar.

Masih ingat lagi momen pertama kali bertemu Datin Mas Anizan atau nama sebenarnya Mas Anizan Mohd Shahid ketika sesi fotografi penghias muka depan Nona November 2015. Ternyata beliau seorang yang sangat disenangi, ramah dan cukup menjaga tutur kata.

Terbaharu, penampilan Datin Mas Anizan di samping anak gadisnya, Mas Aliza dalam sebuah video pendek sempena sambutan Hari Ibu telah menarik perhatian peminat. Tidak hanya dikagumi kerana keakraban beliau bersama anak bahkan wajah cantik Datin Mas Anizan turut menjadi bualan ramai.

Menerusi video tersebut, selain berkongsi sisi peribadi beliau turut mendedahkan gemar melakukan aktiviti hiking. Patutlah Datin Mas Anizan kekal langsing, rupa-rupanya aktif dengan sukan lasak tersebut.

Datin Mas Anizan di samping Mas Aliza
Di samping anak bongsu

Tertawa saat menerima pujian mengenai rupa paras dan penampilannya, Datin Mas Anizan ketika ditemu bual Nona dalam nada rendah diri berkata, “Alhamdulillah, syukur di atas kurniaan dan pinjaman yang telah diberikan. Semua wanita di luar sana pasti turut sama sukakan kepada kecantikan. Begitu juga saya. Tetapi tidaklah terlalu cerewet.

Untuk menjaga kecantikan wajah, saya hanya mengamalkan pemakaian produk kulit yang asas seperti cleanser, toner, serum, moisturizer dan eye cream. Selain itu, tidur yang cukup juga adalah amat penting.

Kecantikan tidak hanya tertumpu kepada penjagaan wajah sebaiknya penjagaan badan juga harus dijadikan keutamaan. Selepas melahirkan Ariana, saya sudah jarang mengunjungi spa kecantikan. Sebaliknya lebih selesa untuk memanjakan diri ala spa di rumah.”

Dirisik apakah petua tradisi yang diamalkan sehingga ke hari ini, selebriti bermata bundar ini lantas membuka bicara. “Dari segi amalan tradisional, saya mengamalkan minuman jus pegaga yang dibuat sendiri di rumah.

Hanya cuci bersih daun tersebut dan kisarkan menjadi minuman. Tidak perlu tambah gula. Inilah minuman yang saya amalkan dari dahulu lagi selain turut mengambil multi vitamin sebagai suplemen tambahan.”

 

 

 

Kredit: Instagram Mas Anizan

Share
Published by
Suzi