Beruntungnya Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Bukan sahaja dikurniakan seorang isteri cantik menawan dan baik budi pekerti, bahkan ‘pandai’ menjaga perut suami tercinta. Ada sahaja masa terluang, pasti Che Puan Sofie menghabiskan waktu di dapur dengan air tangan dan sajian dari Sweden.
Terbaru, beliau berkongsi hidangan menyelerakan Sweden iaitu Smorgastarta di Instagram miliknya. Anggun berbaju kurung biru dan berselendang kuning cair, Che Puan Sofie tidak kekok menyediakan makanan tersebut.
Menurutnya, sajian Smorgastarta tidak hanya popular di Sweden, Estonia, Finland dan Iceland. Ia adalah sejenis hidangan kek yang menyerupai sandwic tetapi sarat dengan pelbagai isi dan hiasan.
Antara bahan-bahan yang digunakan termasuk buah tomato, timun, telur rebus, udang, keju dan kepingan ayam. Memang nampak sedap dan sihat!
Mengintai aktiviti Che Puan Sofie, isteri Tengku Mahkota Kelantan ini juga pernah menyediakan aneka hidangan dan berkongsi juadah berkenaan di laman media sosial.
Misalnya pada Ramadan yang lalu, beliau menyantuni orang ramai semasa jualan amal ‘meat ball’ dan ‘cinnamon bun’ hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan di Kota Bharu.
Difahamkan sebanyak 7 kilogram daging digunakan untuk jualan ‘meat ball’ berkenaan. Lebih manis, meskipun sibuk dengan jualan amal tersebut beliau tetap menyediakan
sajian berbuka puasa buat suami tercinta.
Che Puan Sofie Louise Johansson sah bergelar isteri YAM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada tanggal 19 April 2019.
Sumber: Instagram Che Puan Sofie Louise Johansson
Tak Serik Buat IVF Berkali-Kali, DATIN AIDA YUSOF Reda Belum Dikurniakan Zuriat!
Selama ini, beliau ‘menutup’ kemas rahsia hati. Sepanjang melayari alam perkahwinan, tak pernah sekali pun Datin Aida Yusof menjaja kisah peribadi. Apatah lagi meraih simpati khalayak meskipun memegang status isteri kepada aktor popular, Dato’ Adi Putra.
Di sebalik kegembiraan Datin Aida dan Dato’ Adi Putra melalui fasa hidup bahagia sebagai suami isteri, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah yang cukup mengusik emosi dan tak pernah diberitahunya kepada mana-mana pihak.
Dalam temubual bersama wanita berjiwa kental ini ketika sesi fotografi bersama Nona Mei 2018 iaitu kira-kira empat tahun lalu, Datin Aida terbuka berkongsi sisi peribadi.
“Kami dah berkahwin selama 14 tahun dan tak ada anak lagi. Tapi, jujurnya saya dah pernah buat IVF sebanyak 4 kali. Tiga kali mengandung kembar dan terakhir, triplet. InshaAllah, akan cuba lagi sebab saya ada endometriosis dan dah buat pembedahan.
Berbulan jugalah saya ditahan di hospital. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu proses untuk sembuh,” dedahnya yang mengaku hanya sempat merasai nikmat hamil tiga bulan.
Mengulas perjalanan Datin Aida untuk hamil menerusi kaedah in-vitro fertilization atau IVF, sambil tersenyum beliau menyusun bicara. “Saya tak rasa IVF tu membebankan walaupun terpaksa ambil injection setiap hari di kiri kanan perut. Sakitnya usah cakaplah. Pun begitu saya tetap tak putus asa sebab saya suka dengan kanak-kanak.
Dapat seorang pun cukuplah. Selama 4 kali buat IVF ni suami memang banyak beri semangat. Selagi belum diberikan rezeki, selagi tu kami akan terus mencuba.”
Mengambil semangat dan kekuatan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menimang cahaya mata selepas 11 tahun berkahwin, Pengarah Urusan syarikat pembinaan Mahligai Perkasa Sdn Bhd ini nyata mahu mengikut jejak langkah penyanyi tersohor negara tersebut menjalani rawatan IVF demi menimang zuriat sendiri.
“Datuk Seri Siti seorang yang sangat-sangat kuat dan kental. Dia berusaha selama 11 tahun untuk dapatkan anak. Sebagai isteri, saya pun teringin ada anak sendiri tapi rezeki belum berpihak kepada saya lagi.
Saya percaya kalau ditakdirkan tak ada anak, saya tahu itu bukan hak saya. Kena percaya Qada dan Qadar. Allah kata je ‘Kun fa ya kun’ maka waktu itu ada rezeki kita. Mungkin kita tak diberi kelebihan ‘di situ’, tapi Dia beri kita rezeki lain.
Alhamdulillah, saya jenis yang reda. Saya tak mahu meletakkan syarat yang saya perlu ada anak. Kalau rezeki anak tak berpihak dengan saya, saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 7 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, kami dapat tahu keistimewaan Adelia masa masih bayi apabila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” luah Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
Yang pasti, pendedahan eksklusif ini dibuat untuk dijadikan inspirasi kepada ramai lagi wanita bergelar isteri di luar sana yang masih menanti rezeki anak.
Sebelum mengakhiri perbualan, Datin Aida berharap agar pengakuan ini tidak disalah erti dan sempat menitipkan pesanan ini.
“Seperti yang saya katakan awal tadi, semua wanita pun mesti nak anak. Tapi biarlah kita reda dulu dengan ketentuan Allah. Perlu ada keredaan dalam diri walaupun telah cuba buat yang terbaik ke arah itu. Moga-moga kita semua akan diberikan zuriat soleh dan solehah.”
Kredit foto: Instagram Datin Aida Yusof
Selepas THAKSIN & YINGLUCK SHINAWATRA, Kini Giliran Anak Thaksin, PAETONGTARN Ceburi Bidang Politik
Anak bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra iaitu Paetongtarn Shinawatra muncul sebagai calon dalam pilihan raya akan datang, mempertaruhkan bahawa nostalgia boleh memenangi berjuta-juta undi dari golongan kelas pekerja.
Paetongtarn, 36, sedang berkempen bersungguh-sungguh di kubu luar bandar yang kaya dengan undian dari kumpulan besar politik Pheu Thai keluarga Shinawatra, dengan harapan dapat menghidupkan semula semangat yang membawa bapa Thaksin dan ibu saudaranya, Yingluck berkuasa.
Paetongtarn menjanjikan Pheu Thai akan menyelesaikan urusan yang belum selesai dalam tempoh memegang jawatan sejak 2001, yang kesemuanya telah dipendekkan oleh keputusan mahkamah dan rampasan kuasa tentera yang dikatakan didalangi oleh pertubuhan konservatif Thailand.
“Kami berjaya memperbaiki segala-galanya pada tahun pertama tetapi kemudian empat tahun kemudian kami digulingkan oleh rampasan kuasa, jadi ada perkara yang belum kami capai,” kata Paetongtarn kepada Reuters dalam wawancara rasmi pertamanya dengan media asing menjelang pilihan raya, dijangka dalam bulan Mei.
“Jadi kami pergi ke setiap peringkat untuk memberitahu orang ramai bagaimana dasar kami boleh mengubah kehidupan mereka. Dan hanya melalui politik yang stabil boleh hidup orang ramai berubah dengan cara yang mampan,” katanya.
Thaksin dan Yingluck telah digulingkan oleh tentera masing-masing pada 2006 dan 2014, walaupun mengawasi pertumbuhan ekonomi yang besar. Kedua-duanya tinggal dalam buangan untuk mengelakkan sabitan penjara yang dikatakan sekutu mereka direka untuk menghalang kebangkitan politik mereka.
Mandat telah diserahkan kepada Paetongtarn, anak bongsu Thaksin, yang menggunakan manifesto sama dalam menawarkan kenaikan gaji minimum, subsidi utiliti dan infrastruktur kereta api berkelajuan tinggi yang telah lama dijanjikan untuk menguruskan banjir dan kemarau.
Slogan Pheu Thai ialah “Think Big, Act Smart”, menyasarkan pembaharuan berperingkat oleh kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang disokong tentera sejak beliau merampas kuasa pada 2014.
“Gambaran itu mestilah besar dan kita mesti dapat menangani masalah berpanjangan yang berlarutan. Ini mesti ditangani sepenuhnya,” kata Paetongtarn.
Walaupun belum dinamakan sebagai calon perdana menteri Pheu Thai, Paetongtarn berada jauh di hadapan dalam tinjauan pendapat untuk perdana menteri, dengan dua kali sokongan berbanding Prayuth.
Paetongtarn menguruskan cawangan hotel syarikat hartanah keluarganya juga sudah memulakan kempen pilihan raya dengan menjelaskan Thailand tentunya akan bertambah baik di bawah pemerintahannya, dan beliau akan mengikuti corak kepimpinan bapanya yang sentiasa membantu rakyat. Paetongtarn Shinawatra memiliki setengah juta pengikut di Instagram, menjalani gaya hidup glamor dan menggambarkan dirinya sebagai ‘puteri bongsu’ Thaksin.
Untuk rekod, Thaksin, 72 tahun, digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan sejak itu tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk mengelak tuduhan rasuah.
Walaupun kini sedang sarat hamil lapan bulan, ia bukanlah halangan ibu kepada seorang cahayamata ini untuk bergerak aktif dalam politik.
“Tetapi saya ok,” katanya. “Ini adalah kehamilan kedua saya. Saya sedar keadaan diri saya.” Di sebalik populariti pilihan raya mereka, Shinawatra dibenci di Thailand.
Mereka telah lama dituduh oleh penentang kronisme dengan dakwaan mengayakan rakan perniagaan dan membeli orang miskin dengan dasar populis yang membazir. Shinawatra menafikan tuduhan itu.
Pilihan raya Thailand bakal menjadi satu lagi perlawanan dendam antara golongan elit yang berperang dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu. Paetongtarn berkata beliau tetap bimbang tentang impak perebutan kuasa negara yang sukar dikawal membabitkan keluarganya, termasuk rampasan kuasa, yang katanya menjadikan Thailand “mundur”.
“Ia juga membuatkan dunia melihat negara kita dalam sudut berbeza. Mereka tidak mahu berdagang dengan kami. Ia mengurangkan peluang untuk semua orang,” katanya.
“Negara kita telah ‘dibekukan’ sekian lama. Jadi rampasan kuasa tidak sepatutnya berlaku lagi. Negara mesti maju dan rakyat berhak mendapat rezeki yang lebih baik.”
Pasangan Sukarelawan Abang Viva & Isteri Harung Air Deras, Cemas Ramai Kibar Kain Putih
Musibah banjir yang melanda negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang kali ini disifatkan antara yang terburuk dengan sebahagian rumah penduduk ditenggelami air selain kerosakan teruk akibat arus kuat. Nama ‘Abang Viva’ atau Azwan Omar selaku sukarelawan sekali lagi menjadi sebutan apabila beliau turun menghulur bantuan bersama isteri tercinta, Evanoza Zakaria.
Berusia 30 tahun, lelaki berjiwa emas ini pernah diberi pengiktirafan Nona Superhero Award 2021 di atas jasa beliau memberi pertolongan sewaktu banjir melanda.
Sejak itu namanya sering disebut-sebut di atas sifat prihatin, berani dan sanggup ‘turun padang’ mengerah kudrat empat keratnya menyelamatkan mangsa tanpa sebarang bantuan kewangan seperti pihak lain.
Jika dulu bergerak secara solo, kini Abang Viva direzekikan pasangan yang sama-sama menyenangi kerja kesukarelawanan.
MISI BANJIR
Kira-kira dua bulan selepas berumah tangga iaitu pada 14 Oktober lepas, kini pasangan suami isteri Abang Viva dan Evanoza kembali membantu mangsa-mangsa banjir di Terengganu.
Mula menyampaikan bantuan sejak awal minggu lagi, pasangan ini dilihat banyak menyantuni golongan warga emas dan kanak-kanak yang terkandas di rumah ketika banjir.
Kagum betul dengan keberanian Eva membantu suaminya, walaupun seorang wanita yang bertugas sebagai jurulatih kecergasan bertauliah, personal trainer dan event organizer tapi semangat beliau cukup kuat.
“Misi banjir memasuki hari ketiga (Selasa) kami di Terengganu.
Eva ni ngembeng sikit…. Masa ni suami pujuk sebab situasi di Jerteh buat kami hanya mampu melihat beberapa keluarga masih kat dalam (terperangkap) perkampungan banjir, tapi air terlalu deras untuk kami menghulurkan bantuan. Allahu.” Evanoza
Sambil berkongsi beberapa video situasi air deras di sana, Eva menerangkan bahawa mereka tidak dapat membantu walaupun mempunyai bot…
“Ni la kat Jerteh. Siapa ada kat sana, beratus WhatsApp masuk minta di keluarkan, tunggu atas lori, tapi kami tak bole masuk sebab air deras sangat. Berjam-jam cari jalan.
Akhirnya kami keluar dari situ untuk (tunaikan solat) Maghrib di Petron. Tapi dalam hati sayu, hanya Allah yang tau.
Gambar kenangan bersama Makcik dan Pakcik yang kibarkan kain putih dua hari lepas. Maaf tau Kak Leez, anak-anak Makcik dan Pakcik ni, cucu-cucu beliau. Ini saja yang kami mampu buat.” Evanoza
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
Kredit: @evanoza1
Semoga segala bantuan yang dihulurkan mendapat balasan setimpal daripada Allah Taala. Jiwa sukarelawan yang dimiliki pasangan Abang Viva dan Evanoza sesungguhnya sangat berharga, meskipun ramai yang tidak faham
Sekadar mengimbau kenangan pasangan ini sebelum berumah tangga, jom tonton interview eksklusif Nona bersama mereka…