Kagum melihat gaya hidup puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Biarpun berstatus puteri diraja namun personaliti beliau yang cantik, merendah diri dan berbakat membuatkan dirinya disenangi ramai. Apatah lagi Puteri Sirivannavari sering mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 33 tahun pada 8 Januari lalu, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan bahawa Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt dan berwajah polos tanpa solekan.
Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Berkongsi aktiviti pada April lalu ketika Thailand turut dilanda pandemik Covid-19, Puteri Sirivannavari tanpa berselindung mempamer kehidupan peribadi kepada khalayak. Selain menunjukkan bakat memasak dan berkongsi resipi hidangan Thailand di media sosial, beliau turut berkongsi persekitaran kebun sayur di kediamannya. Memang besar, luas dan subur kebun sayur puteri ini. Macam-macam tanaman sayur dan herba ada pula tu!
Seronok tengok beliau petik hasil tanaman antaranya tomato ceri, daun pandan, kacang bendi, cili, terung, rosemary, daun selasih dan sebagainya.
Di samping persekitaran kebun sayur yang tersusun cantik dan menarik perhatian, penampilan Puteri Sirivannavari tanpa mekap, memakai T-Shirt, berseluar jeans dan hanya berselipar pastinya menjadi tumpuan utama rakyat. Ramai dalam kalangan mereka mengagumi cara Puteri Sirivannavari dan menyifatkan ia sisi berbeza puteri diraja Thailand
tersebut kerana sebelum ini beliau sering dilihat bergaya mewah dan anggun di majlis-majlis rasmi.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara. Menelusuri latar belakang puteri bertubuh tinggi lampai ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Namun, terdapat desas-desus yang mengatakan perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari kekal berstatus puteri dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan dan antarabangsa bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau. Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu. Selain kemampuan bersukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Pada pertengahan April lalu, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari… terbukti beliau sememangnya seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Sesuatu yang menarik di sini.
This website uses cookies.