Sepetang bersama penghibur terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang di Kuala Lumpur, banyak petua dan amalan kesihatan beliau yang dapat dikongsikan. Bayangkan pada usia lebih separuh abad, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kasih’ ini masih cergas, malah kekal cantik dan energetik!
Dari amalan pantang lepas bersalin hinggalah jamu rebusan sirih yang diminum, wanita periang yang mesra disapa Bunda ini tidak lokek berbahagi pengetahuan.
Dilahirkan pada 6 Ogos 1957, usia Bunda juga hampir sebaya dengan usia kemerdekaan Malaysia, sekaligus menjadikan beliau seorang legenda seni dunia.
Ketika diajak bersembang, Bunda Hetty nyata seorang yang versatil, merendah diri, keibuan dan kelakar dalam satu masa. Tiada istilah sombong dalam tutur katanya.
Bahkan kesempatan berdampingan dengan penyanyi hebat itu, sempat jugalah penulis menatap raut wajahnya dari dekat. MasyaAllah, halus sungguh kulit wajah Bunda, persis anak dara.
Paling menarik, bila ‘diintai’ isi minuman teh kesukaannya. Ada kulit kayu manis!
“Kadang-kadang Bunda suka letak hirisan lemon juga. Memang baik untuk tubuh badan kita.” Hetty Koes Endang
Nak tahu lebih banyak petua kecantikan sambil bersembang tentang hubungan akrab beliau dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza? Jom tonton video Lensa Nona di bawah…
MAJLIS HIGH-TEA
Majalah Nona diundang secara eksklusif sempena majlis Secangkir Teh bersama Hetty Koes Endang yang diadakan penuh privasi di Telaga Bunga Spa, Royale Chulan Kuala Lumpur.
Menurut Pengasas D & D Spa & Wellness Centre yang turut merupakan penerima Nona Superwoman Award, Datin Diana Ibrahim, “Majlis yang julung-julung kali diadakan ini adalah untuk menghargai kesetiaan dan sokongan yang diberikan oleh para pelanggan kami selama ini.”
Petang Sabtu yang indah, seakan tidak terasa berlalu pantas. Dua jam tetamu berhibur dengan celoteh juri Gegar Vaganza musim kelapan itu, sambil mendengar alunan suara merdu Hetty Koes Endang secara langsung.
Meskipun singkat, namun momen-momen indah yang tercipta pasti menjadi kenangan indah yang terpahat buat mereka sepanjang hayat.