SULTAN MIZAN & SULTANAH NUR ZAHIRAH Pesan Rakyat Amal PUASA 6 Syawal!

Dalam kemeriahan menyambut Syawal, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah mengingatkan rakyat di Terengganu dan seluruh negara khususnya agar tidak lupa menunaikan puasa sunat Hari Raya. Perkara itu disampaikan dalam Titah Perutusan Baginda Sultan Terengganu sempena kedatangan Aidilfitri 1440 Hijrah yang lalu.

Dalam perutusan yang dikongsikan di laman Instagram rasmi Terengganu, baginda Sultan Mizan bertitah agar kehadiran bulan mulia ini disambut penuh meriah dan bukan berlandaskan keseronokan semata-mata… sebaliknya perlu turut diisi dengan kesinambungan amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

KDYMM Sultan Terengganu bersama keluarga tercinta

“Hari Raya tetap hari untuk bergembira. Tetapi agama Islam juga menggalakkan kita merayakan hari yang mulia ini dengan membanyakkan amalan-amalan yang membuktikan kesyukuran kita serta kesedaran bahawa ibadat puasa yang telah kita tunaikan perlu memberi kesan kepada nilai-nilai hidup kita secara berpanjangan dan dapat menginsafkan kita terhadap apa jua nikmat yang ada pada kita.

Dan jika kita menyerapkan ajaran ini dalam kehidupan kita, sudah tentu kita akan dapat banyak nikmat daripadanya. Ibadat puasa yang baru sahaja kita amalkan adalah di antara ibadat terpenting yang mempunyai banyak pengajaran untuk kita hidup dan mati dengan lebih sempurna.”

DYTM Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Fatimatuz Zahra’

Titah baginda lagi… “Sehubungan dengan itu, bagi menjamin kesungguhan istiqamah dalam ibadah khususnya berkaitan puasa Ramadan, sukacita Beta mengingatkan  kepada seluruh rakyat Beta supaya melakukan amalan puasa sunat enam Syawal.

Tuntutan puasa enam ini juga disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud, ‘Sesiapa yang mengerjakan puasa pada bulan Ramadan dan enam hari selepas hari Raya, dia telah menyempurnakan puasa sepanjang tahun.

Ini kerana sesiapa yang mengerjakan kebaikan, dia akan mendapat ganjaran sebanyak 10 kali ganda.’

Di samping itu mengulangi dan meneruskan puasa yang dilakukan di dalam bulan Ramadan dengan harapan agar tahap keimanan kita terhadap Allah SWT akan kekal serta bertambah walaupun tidak lagi berada dalam bulan Ramadan.”

Selain menekankan kebaikan berpuasa di bulan Syawal… Sultan Mizan turut berpesan agar umat Islam mengambil peluang Aidilfitri ini untuk mengeratkan silaturahim dengan kunjung-mengunjung dan saling bermaafan.

Share
Published by
Suzi