Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan, berkuat kuasa hari ini. Pengisytiharan tersebut secara langsung turut menamatkan penantian rakyat negeri Kelantan yang sudah lama tidak memiliki Sultanah sendiri.
Sultan Muhammad V adalah Sultan Kelantan ke-29 yang dimasyhurkan pada 13 September 2010. Berusia 53 tahun, baginda merupakan putera sulung Sultan Kelantan ke-28 dan kakanda kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A’ishah Putri.
Diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur dan Oakham School Ruthland di England.
Amat dikenali sebagai seorang Sultan yang warak dan berjiwa rakyat, baginda juga meminati pelbagai sukan lasak seperti kenderaan pacuan empat roda, ekuestrian, sukan memanah, menembak serta gemar memelihara hidupan liar.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan tersebut di Istana Balai Besar yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.
Menurut Ahmad, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) bagi pemakluman kepada negeri dan rakyat amnya.
Dalam pengisytiharan yang sama, baginda juga memperkenankan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra iaitu isteri Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan. Kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.