‘Sumandak Tamparuli’ PETRONELLA DOUNY Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Skuad Malayan Tigress B-17

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Petronella Douny sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad bola sepak wanita bawah (B) -17 tahun kebangsaan.

Kredit Foto: Facebook FAM

Pelantikan Petronella diumum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ia sejajar dengan visi FAM bagi memperkasa bola sepak wanita dengan membina skuad bola sepak wanita kebangsaan.

Petronella merupakan satu-satunya jurulatih wanita di Malaysia yang memiliki Lesen A Kejurulatihan dari Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kredit Foto: Facebook FAM

Memetik kenyataan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell, pelantikan itu dibuat berdasarkan komitmen dan pencapaian bekas pemain kebangsaan itu sebagai bekas Penolong Jurulatih skuad Malayan Tigress B-18 pada kempen Kejuaraan AFF Wanita B-18 di Palembang, Indonesia tahun lalu.

Ia sekaligus menjadi faktor kepada pemilihannya sebagai Ketua Jurulatih Skuad Malayan Tigress B-17.

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) turut menyambut baik dan berbangga dengan pelantikan Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah, Petronella Douny sebagai Ketua Jurulatih Malayan Tigress B-17.

Kredit Foto: Sabah Media

Menurut Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan, Petronella yang berasal dari Tamparuli antara jurulatih bertauliah yang berjaya dilahirkan badan induk bola sepak Sabah menerusi program pembangunan bola sepak Sabah.

“Tahniah kepada Petronella Douny atas pelantikan sebagai Ketua Jurulatih Malayan Tigress B-17. Beliau adalah satu-satunya jurulatih wanita yang memiliki Lesen Kejurulatihan AFC/FAM A.

“Beliau juga bertindak sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah pada masa ini.”

Sumber: Sabah Media

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

 

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad