Pemergian Kanak-kanak lelaki yang juga pesakit ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM) Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff yang meninggal dunia 28 Jun lalu meninggalkan kesan terhadap masyarakat secara keseluruhannya.
Allahyarham Mas Muhammad Luth yang mesra di sapa Luth memerlukan bantuan dana perubatan segera di luar negara untuk merawat penyakitnya.
Anak sulung daripada tiga beradik berkenaan melepasi saat krtikalnya, selepas ditidurkan selama 96 jam, namun ketika itu kanak-kanak berkenaan masih dalam keadaan separuh sedar. Bagaimanapun, Luth kemudiannya dilaporkan kembali kritikal
pada Ahad lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari sebelum umat Islam meraikan Aidiladha baru-baru ini.Memetik Harian Metro, ibu kepada Luth, Mas Hazirah Saifuddin menerima ketentuanNya dan sudah melakukan yang terbaik untuk anak sulungnya itu.
“Sebagai ibu saya sudah cuba melakukan yang terbaik untuk Luth tetapi sudah takdir bukan rezeki dia mendapatkan rawatan tersebut. Justeru, saya mahu memanjangkan sumbangan yang diberikan kepada Luth untuk anak lain yang sangat memerlukan,” katanya lagi.
Sebagai ibu, Mas Hazirah reda kehilangan anak kesayangannya itu dan sumbangan orang ramai untuk anak sulung daripada tiga beradik itu akan diberikan kepada mereka yang sangat memerlukan dana perubatan.
“Saya mewakili Luth yang kini sudah berada di “tempat dan penjagaan terbaik” untuk membantu anak lain yang sangat memerlukan bantuan dari segi dana dan perubatan. Saya pernah berada di tempat sama dengan ibu bapa yang terdesak untuk mendapat bantuan perubatan anak dan sebab itu saya memahaminya.
Tambah Mas Hazirah lagi, pihaknya akan membantu anak lain yang memerlukan bantuan menggunakan sumbangan yang masih berbaki, selain mahu menyampaikan semangat Luth kepada mereka untuk meneruskan perjuangan melawan penyakit.
“Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu dan menyumbang dana kepada Luth sebelum ini termasuk sokongan sehingga akhir hayatnya.
“Saya juga terharu ramai yang sayangkan anak syurga saya dan sehingga kini saya masih mendapat sokongan ramai di Instagram biarpun ada sebahagiannya tidak dikenali,” kata ibu tunggal kepada tiga orang cahayamata ini.
This website uses cookies.