Sumbangan Di Balik Tirai Besi, Jahit Sut Frontliners 8 Jam Sehari!

Terharu melihat pertolongan para banduan di Penjara Penor, Pahang yang bertungkus-lumus 8 jam sehari demi menyiapkan tempahan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit Covid-19. Menyedari permintaan PPE yang sangat tinggi ketika ini, bengkel jahitan di Penjara Penor buat masa ini lebih menumpukan kepada tempahan jahitan tersebut berbanding jahitan lain.

Bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari, seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel menjahit itu komited menyiapkan tempahan dari segi mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru.

Menurut Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussin, mereka menerima 2,000 meter material berkenaan bagi menghasilkan peralatan pelindungan diri tersebut yang memerlukan lima meter bagi sepasang PPE ‘dari hujung kepala ke hujung kaki.’ Katanya lagi, bengkel tersebut memulakan operasi menjahit sejak Jumaat lepas dan setiap hari pihaknya boleh menghasilkan lebih 20 pasang PPE yang akan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan negeri. Memandangkan keperluan mendesak terhadap PPE ekoran pertambahan kes Covid-19, bengkel jahitan Penjara Penor turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad.

Jutaan penghargaan harus diberikan kepada banduan terlibat kerana sanggup mengorbankan masa rehat mereka untuk sama-sama membantu frontliners menghadapi situasi sukar ini, meskipun hanya di balik tirai besi.

Untuk memastikan penghasilan PPE adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan, beberapa kakitangan penjara telah menyertai taklimat pembuatan PPE pada 25 Mac lepas.

Selain PPE, Datuk Abu Hasan juga memaklumkan Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) juga telah menghasilkan 525 unit pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Difahamkan, banduan yang terlibat dalam urusan menjahit tempahan PPE tidak mengambil masa lama untuk memahami kaedah menjahit peralatan tersebut kerana sudah mahir mengendalikan mesin jahit setelah sekian lama menerima tempahan pakaian seragam.

“Untuk melancarkan tugas, kami wujudkan tiga stesen khas yang terdiri daripada membahagikan material, memotong dan menjahit. PPE yang siap juga perlu melalui kawalan kualiti oleh kakitangan penjara.

Proses yang paling renyah ialah memasukkan getah yang bertujuan mengetatkan bahagian pergelangan tangan, dagu topeng muka dan pelindung kasut,” kata Sarjan Muhd Mulyadi Abdul Ghani, pegawai selia bengkel jahitan Penjara Penor.

Mendekati salah seorang banduan yang terlibat dalam usaha murni ini, Man yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah menyifatkan bantuan memotong PPE yang diberikan adalah ‘sumbangan kecil’ darinya kepada negara yang sedang mengalami situasi mencabar.

“Saya tahu ia mudah berjangkit. Dalam diam, saya bangga juga kerana masih dapat membantu walaupun dari penjara. Sumbangan saya tidak besar namun saya harap ia boleh melindungi kakitangan kesihatan yang berjuang.”

 

Sumber : BERNAMA

Share
Published by
Suzi