Pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terdiri daripada para doktor, jururawat, pembantu perubatan dan lain-lain sepanjang penularan wabak COVID-19 cukup menyentuh jiwa rakyat Malaysia.
Semua pesakit dibantu tanpa mengira penat dan lelah. Mereka berjuang siang dan malam demi memastikan para pesakit sembuh seperti mana misi utama mereka iaitu berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit. Sesungguhnya berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.
Seiring dengan bertambahnya kes positif COVID-19 setiap hari, semakin berat beban tugasan mereka. Namun berpaksikan kepada tanggungjawab serta amanah yang diberikan mereka terus berjuang demi menghapuskan virus ini.
Dalam pada itu kekangan terbesar selain berhadapan dengan peningkatan kes setiap hari ialah kekurangan bekalan material untuk menjahit PPE (Personal Protective Equipment). Malah ada yang kehabisan stok! Pun begitu, kini ramai yang telah menunjukkan keprihatinan dengan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk. Ini satu perkembangan yang positif!
INISIATIF
Tersentuh melihat tubuh-tubuh kecil ini berganding bahu dalam membantu menyempurnakan kelengkapan buat para petugas barisan hadapan. Usaha murni yang tak boleh dipandang enteng ini merupakan inisiatif sendiri oleh anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP). Tercetusnya Projek Pelangi adalah hasil idea anak-anak yatim dan asnaf itu sendiri sambil dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar RPWP.
Mereka juga telah dilatih untuk membantu insan lain dan dalam masa yang sama tidak merasa rendah diri dengan kekurangan yang ada. Pendedahan ini juga bagi membuktikan bahawa ramai lagi yang lebih susah dan memerlukan bantuan. Secara tak langsung mereka menjadi lebih bersemangat untuk memajukan diri.
Permulaan Projek Pelangi adalah ketika negara dilanda musibah banjir besar di Kelantan sekitar tahun 2015 sampailah sekarang. Terdapat kira-kira 20 orang Co-Founder yang turut sama membantu Warga Prihatin ini.
Projek Pelangi juga ihsan daripada pengasasnya, Dr Hj Masjuki Hj Mohd Musuri bersama anak-anak yatim untuk membantu petugas barisan hadapan (frontliners). Untuk projek ini mereka telah membeli sebanyak 52,000 meter material PPE untuk dijahit. Anak-anak yatim dan asnaf tekun menjana tenaga menghasilkan face shield untuk kegunaan petugas barisan hadapan.
Tersentuh hati melihat kesungguhan dan ketekunan anak-anak ini membantu frontliners dengan niat untuk membantu Malaysia memerangi wabak COVID-19 bersama-sama. Walaupun tidak berada di barisan hadapan, sekurang-kurangnya mereka memberi bantuan dari segi sokongan material yang diperlukan.
‘Menyedari akan hakikat ini, kami di RPWP bersama anak-anak melalui Projek Pelangi telah memulakan projek “Bantuan PPE COVID-19”, kerjasama bermula dengan Klinik As Salam Bangi, kami sedang menyiapkan “Face Visor” untuk kegunaan para frontliners. Insya Allah, kami juga sedang usahakan bantuan PPE untuk peralatan keselamatan yang lain juga.
Seruan kepada seluruh rakyat Malaysia, ayuh sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada mereka dengan menyumbang semampunya. Biarlah kami bersengkang mata untuk mereka kerana mereka sanggup mati untuk kita.
Projek ini BUKAN untuk mengisi masa lapang di kala PKP ini semata. Tapi sebagai ruang bagi kami untuk mendidik diri sendiri dan anak-anak erti sebenar “ikhlas” dan “kholas” yang bermaksud “habis” dan “selesai”. Oleh itu, setiap yang dibuat haruslah SEHABIS BAIK hingga SELESAI!
Biarpun kos penghasilannya lebih tinggi daripada DIY biasa, kami menekankan kualiti PPE yang dihasilkan Projek Pelangi. Ini bagi menepati piawaian yang diperlukan oleh frontliners COVID-19.’
OBJEKTIF
Projek ini menyediakan platform kepada masyarakat untuk menyalurkan bantuan modal kepada anggota KKM. Selain itu, menyediakan dan mengedar bantuan PPE kepada anggota KKM di seluruh negara.
Seterusnya ialah menjadikan proses penyediaan dan tadbir urus sebagai satu sarana pendidikan kepada anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin marilah kita sama-sama membantu dengan memberi sumbangan terhadap Projek Pelangi ini untuk menyalurkan bantuan PPE buat petugas-petugas keselamatan bagi menentang wabak virus COVID-19.
Anda juga dialu-alukan untuk turut serta di dalam projek ini atau seumpamanya sekaligus dapat membantu RPWP menjayakan projek mulia ini. Sememangnya mereka masih memerlukan sumbangan dari segi kewangan bagi menjana pembelian material dan peralatan untuk menghasilkan PPE. Semoga kerjasama serta niat kita diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Layari https://projekpelangi.com/kempen/bantuan-ppe-covid-19/ bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menyalurkan sumbangan anda kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Pengasih Warga Prihatin. Sasaran sumbangan yang diperlukan ialah sejumlah RM500,000.00 Sama-samalah kita mengekang wabak COVID-19 ini daripada terus menular.
Stay at home, patuhilah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita jaga kita!
Kredit: Rumah Pengasih Warga Prihatin