Ogos lalu, ikon Youtuber, Asyalliee Ahmad pernah mengumumkan di media sosial kisah dukanya keguguran namun keajaiban dari Allah, kandungan Asya kini sedang membesar dengan baik. Rezeki Asya Semakin luas apabila produk supplemen Hello Peach Please mendapat pengiktirafan daripada majalah kecantikan Singapura.
Semakin menjadi-jadi perniagaan ikon Youtuber ni. Kejayaan dan rezeki diterimanya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi dikongsikan bersama ibu dan bapa mentuanya. Rasa sebak menonton video yang dikongsikan Asya di laman instagramnya tidak lama dahulu.
Peredaran zaman kadang-kala membuatkan generasi ‘lama’ seakan terkebelakang. Dari segi teknologi sudah tentulah jauh berbeza dan kini idealogi anak-anak muda juga sangat dilakar jauh dari pemikiran kita dahulu. Mereka lebih berdikari, lebih bijak mengatur kehidupan dalam mencari rezeki bukan hanya untuk diri, tetapi keluarga yang dibina.
Mengenali ikon Youtuber yang merangkul salah satu anugerah ASEAN Outstanding Business Award 2019, Asyalliee Ahmad atau nama sebenarnya Siti Syasya Rosaelmi Baba membuka luas minda penulis mengenai anak-anak muda kini.
Dikenali melalui video-video tutorial solekan serta berjaya menarik 400,000 subscribers di Youtube sehingga dia digelar Beauty & Make Up Guru, Asyalliee kini hidup selesa bersama keluarga.
Walaupun masih lagi aktif berkongsi tips-tips solekan dan penjagaan wajah, dia kini sudahpun bergelar usahawan melalui perniagaan kecantikan dan kesihatan Loveliee. Meminjam Love dan gabungan Lliee dari namanya sendiri, Asya kini sudah boleh menarik nafas lega kerana impiannya untuk menjadikan setiap wanita cantik dan lebih berkeyakinan tinggi sudah terlaksana.
“Saya memang cintakan bidang solekan. Saya sudah terbiasa bersiap cantik untuk menghadiri majlis atau untuk sekadar content di dalam Instagram. Bila dah bersolek, tentulah kita rasa diri kita cantik dan ketika itulah keyakinan kini makin melonjak.
Nak buat apa pun kita yakin, waima hanya untuk berada di rumah. Disebabkan itu, ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjalankan perniagaan ini. Bukan hanya untuk saya, tetapi setiap wanita di dunia,” katanya penuh semangat.
HIDUP MISKIN
Perjalanan yang dilaluinya bukanlah semuanya indah. Wanita kacukan Thailand-Melayu ini pernah terjah ke dunia modelling namun itu bukan ‘jiwanya’.
“Saya mula dengan perkongsian video solekan di Youtube. Kemudian saya masuk ke dunia modelling dan baru mulakan perniagaan. Saya pernah ditipu, dijadikan kambing hitam, difitnah dan tidak dibayar dulu. Mungkin kami suami isteri tidak ada pengalaman dalam bisnis ini tambahan pula saya masih muda, mungkin itu yang menyebabkan orang mengambil kesempatan.
Waktu kecil dulu pun saya digelar budak miskin. Arwah ibu hanyalah seorang tukang masak yang sering berpindah-randah. Kalau nak tahu, saya pernah menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Kedah kerana mengikut ibu. Jadi saya tak ramai kawan. Sewaktu di Kedah, arwah ibu dapat menjadi tukang masak di kedai dan diberikan sebuah hostel kecil untuk kami tiga beranak.
Di situlah kami tidur dan makan. Kawan-kawan di sekolah gelarkan saya budak miskin, budak kotor, tak mandi malah mereka jauhkan diri dari kami. Hendak ke sekolah pun terpaksa berjalan kaki sejauh 2km. Lepas ibu meninggal dunia, saya dan adik terpaksa berpisah kerana kami tinggal berasingan bersama kakak-kakak yang sudah berkahwin,” ceritanya.
PERKAHWINAN
Masih kekal cantik dan bertubuh langsing, surihati kepada Eboy Arbaain dan ibu kepada dua cahaya mata, Haider Mikhael dan Siti Helena Adrianna ini terus diuji dalam kehidupan. tidak pernah berputus asa, Asya dan suami terus bangkit mencari rezeki halal.
“Sebelum berkahwin, saya memang hidup hasil daripada review yang dibuat di Instagram. Itulah perbelanjaan untuk makan, membeli keperluan seperti barang solekan, baju dan mungkin beg tangan. Selepas berkahwin, saya masih mencari pendapatan dengan hasil review tetapi di bawah satu pengurusan. Saya menjadi duta produk dan aktiviti modelling juga. Namun, upah yang diterima sangat sedikit berbanding percentage yang diambil pihak pemgurusan.
Baru beberapa minggu usia kandungan pertama, saya difitnah meniru rekaan fesyen seorang pereka. Tidak ada sesiapa yang menegakkan kebenaran dan saya menjadi mangsa kambing hitam! Duit dalam bank hanya tinggal tak sampai RM500 untuk kami hidup. Saya terlalu stress dan emosi saya sangat terganggu ketika itu. Saya jual baju K-Pop yang saya gemari, beg-beg tangan walaupun tak berjenama hanya untuk beli makanan.
Mujur kakak-kakak dan kawan-kawan sedia membantu. Di rumah merekalah tempat kami menumpang makan. Saya sentiasa berdoa agar Allah mengubah hidup kami menjadi lebih baik dan menunjukkan kepada kami kebenaran. Kami rasa sungguh teraniaya!”ujarnya.
CABARAN DAN MATLAMAT
Di sebalik setiap kesukaran, tentunya terbit hikmah di hujung jalan. Ujian dari Allah tak pernah surut. Dalam perniagaan juga ada kalanya kuat juga dugaan dihadapi.
“Menjadi seorang influencer, susah juga untuk sentiasa nampak ‘sempurna’ di mata orang. Sedangkan saya juga sama seperti orang lain yang melakukan kesilapan. Saya sendiri masih mencari ruang untuk memperbaiki diri yang serba kekurangan tetapi terpaksa hadam setiap kecaman. Jujurnya ia memang menambahkan tekanan tetapi itulah cabaran seorang influencer.
Setiap kali saya jatuh, saya anggap diri saya kalah. Untuk bangkit semula, saya letakkan dua BIG WHY iaitu untuk memberikan anak-anak saya hidup senang. Saya tak mahu mereka hidup susah seperti kami dulu. Dan, saya juga ingin memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Kesusahan dalam hidup dulu memang banyak mengajar saya mengenai hidup. Betullah kata orang, kalau asyik memandang ke langit, sesekali perlu juga menjenguk rumput di tanah.
Memilih posting yang sesuai untuk tatapan viewer setiap hari juga mencabar. Saya pentingkan feed
yang bermakna serta aesthetically pleasing to the eyes kerana dalam industri ‘influencer’ ini, kita perlu berikan value dalam setiap posting untuk kekal relevan. Kalau setakat tayang gambar cantik sahaja tidak mampu untuk membuatkan kerjaya anda tahan lama,” katanya.
Pada usia 23 tahun, Asyalliee sudah memiliki beberapa buah kereta mewah dan koleksi beg berjenama. Segala kepayahan yang dihadapi sudahpun dibayar dengan kesenangan masa kini. Apakah perasaan anda?
“Ini semua pinjaman dari Allah. Saya tak boleh rasa terlalu happy atau bangga dengan kurniaan ini kerana ia hanya bersifat sementara. Saya kira, ini adalah rezeki anak-anak dan perlu digunakan sebaik mungkin. bila Allah dah berikan ilmu serta pengalaman, saya mahu kongsikan bersama orang lain. Niat saya, untuk membantu orang.
Saya kuat berangan. Macam-macam saya mahu tetapi Allah itu lebih mengetahui. Dia memberi apa yang saya perlu, bukan apa yang saya mahu. Matlamat saya adalah untuk naikkan perniagaan orang Islam dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada kaum wanita.
InsyaAllah, tak lama lagi saya akan mengeluarkan single sulung. Dari seorang ahli perniagaan, saya juga akan mula menceburi bidang nyanyian. Doakan ini menjadi salah satu peluang untuk saya kembangkan lagi bakat dan kurniaan Allah kepada saya.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto dan video: Instagram Asyalliee
This website uses cookies.