Barangkali saat ini, ramai yang tersenyum indah apabila puas melihat persembahan hebat dari penyanyi nombor satu, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 5 dan 6 November lepas. Figura ini sekali lagi mencipta sebuah kejayaan dan momen manis dalam diari seninya apabila konsert Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat maklum balas yang positif.
Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Jerat Percintaan itu mengakui tentang kualiti suaranya yang terganggu dek kerana jangkitan Covid-19 yang dialaminya pada Ogos lalu, terutamanya apabila menyanyikan lagu yang bernada tinggi. Menurut sumber dari Utusan Malaysia, Siti mengatakan bahawa dia dalam usaha untuk menjaga kualiti suaranya supaya dapat memberikan yang terbaik kepada seluruh peminatnya.
View this post on Instagram
Bukan sahaja dalam aspek pemakanan, malah Siti turut menjaga stamina tubuh badannya dengan mengikuti kelas Muay Thai serta latihan berenang di rumah. Ternyata penyanyi kesayangan ramai itu tidak menjadikan hal ini sebagai batu penghalang untuk memberi yang terbaik dalam setiap persembahannya.
Buktiya, kesemua 17 lagu yang dipersembahkan selama dua hari di Plenary Hall, KLCC disampaikan dengan cemerlang dan rata-rata peminat yang hadir amat berpuas hati dengan persembahannya itu. Malah gandingan bersama Dato’ Awie juga merupakan sebuah gandingan hebat, menyerlahkan lagi aura konsert tersebut.
Berbicara mengenai Covid-19, ibu kepada penyanyi nombor satu negara ini, Siti Salmah Bachik turut disahkan dijangkiti Covid-19, satu hari sebelum konsertnya berlangsung. Kongsi Siti, biarpun berasa risau dengan keadaannya ibunya itu, namun Siti berasa lega kerana ibunya hanya mengalami gejala ringan seperti sengal badan dan batuk.
“Sebelum konsert berlangsung, mak sempat berikan nasihat dan kata-kata semangat kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam konsert ini,” ujar Siti.
Konsert Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza merupakan sebuah usaha untuk mengutip dana bagi Yayasan Nurjiwa.
Sumber gambar: Instagram CTDK