Kasih ibu membawa ke syurga dan kasihnya ayah sepanjang masa. Itu lah yang dapat kita lihat dalam diri selebriti popular, Dato’ Adi Putra.
Pada awal tahun lalu sewaktu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 Dato’ Adi Putra telah berkongsi momen terindah dalam hidupnya melihat perkembangan anak tersayang.
Tiada apa yang diharapkan oleh kedua ibu bapa daripada anak-anaknya melainkan doa anak soleh dan solehah. Dato’ Adi Putra telah menzahirkan rasa sebak saat mendengar anak istimewanya memanjatkan doa sempena hari jadi.
“Saya sangat sebak bila puteri saya, Zara Adelia yang tak boleh mendengar dan bercakap membacakan doa selamat buat hari jadi saya,” coret Dato’ Adi Putra di laman media sosialnya.
Tambah Dato’ Adi Putra, “Allahu, bergenang air mata saya. Allah saja yang tahu. Inilah hadiah paling cukup istimewa yang tak dapat beli di mana-mana,” kongsi pelakon drama Tentang Dhia ini.
Sebagaimana yang diketahui umum, perkahwinan di antara Dato’ Adi Putra dan Datin Aida Yusof belum ada rezeki lagi dikurniakan cahaya mata.
Namun, pasangan ini begitu terbuka bila bercakap soal anak. Datin Aida juga pernah berkongsi telah melakukan prosedur IVF 4 kali untuk mendapatkan zuriat namun rezeki belum berpihak kepadanya.
Pasangan sama cantik sama padan ini juga reda dan telah mengambil dua orang anak angkat sebagai penyeri hidup mereka.
Imbas kembali temu bual bersama Datin Aida ketika sesi fotografi edisi Nona Mei 2018. “Saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia.
Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 7 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak kurang upaya. Dia anak istimewa, tak boleh bercakap dan dengar.
Kami dapat tahu keistimewaan Adelia ni masa masih bayi lagi bila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” jelas Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
This website uses cookies.