SYED SADDIQ Terharu Ibu Tak Pernah Mengeluh Ketika Bapa Tiada Kerja, Sumber Kekuatan Keluarga

Setiap kali melihat keakraban ibu dan anak ini terbit rasa bangga. Pemimpin muda berjiwa rakyat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini sentiasa menyantuni ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. Syed Saddiq antara anak yang paling rapat dengan ibunya.

Di sebalik ketegasannya sebagai seorang pemimpin, Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) yang juga Ahli Parlimen Muar ini tetap terserlah ciri-ciri ‘anak ibu’ dalam diri Penerima Nona Men’s Inspiring Award ini.



Tidak hairanlah pemimpin berusia 28 tahun ini seorang yang berjiwa rakyat kerana acuan didikan ibu bapanya yang sangat baik. Memperjuangkan suara anak muda serta golongan terpinggir dan tidak berkemampuan menjadi perjuangan utama bekas Menteri Belia dan Sukan ini.


Sering berkongsi kisah dan aktiviti bersama keluarga, membuktikan Syed Saddiq sentiasa mengutamakan ibu bapa dalam segala hal kerana mereka inilah yang telah banyak berkorban dalam perjuangan politiknya.

“Ibu saya seorang pesara guru, ayah pula buat banyak kerja. Tetapi ibu turut menjadi sumber kekuatan keluarga kami. Saya masih ingat semasa negara dilanda kegawatan ekonomi, ayah tiada kerja. Tetapi ibu tidak pernah mengeluh.

“Ibu berusaha mencari jalan untuk memulihkan semula keluarga ke posisi yang lebih baik. Ibu seorang yang tidak mudah mengalah, tidak mudah untuk kibarkan bendera putih walau apa pun rintangan.

“Saya masih ingat, walaupun salah seorang daripada abang saya yang dikira sangat ‘nakal’ dan keputusan peperiksaannya sedikit bermasalah, ibu tidak akan pernah mengaku kalah dan berkata, “You can still succeed, jangan give up sekarang.

“Kami bukanlah datang dari keluarga yang berkemampuan atau dikenali ramai. Salah satu pengorbanan ibu yang masih segar dalam ingatan saya ialah pernah satu ketika, ibu ambil bas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk adakan temu janji dengan salah seorang pegawai Mara.

“Ketika itu kami tidak ada wang yang cukup untuk bantu salah seorang abang saya untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.

“Cara ibu dapat buat temu janji tersebut bukanlah melalui kenalan sebaliknya mendapatkan bantuan seorang lagi abang saya untuk dapatkan nonbor telefon Mara dalam internet.

“Bila dah dapat, ibu call berkali-kali tapi tak dapat-dapat. Bukan main susah lagi tapi ibu call sampai dapat. Menyangkakan ibu tinggal di Kuala Lumpur, pegawai meminta ibu datang ke pejabat Mara keesokan paginya.

“Tanpa berlengah, ibu terus booked tiket bas untuk pergi ke Kuala Lumpur pada awal pagi. Sampai di sana, bila pegawai itu dengar cerita ibu yang datang dari Johor awal pagi dan naik bas berseorangan, terus beliau perkenalkan ibu kepada pegawai yang sepatutnya. Alhamduluillah akhirnya dapatlah bantuan untuk abang saya.

“Selepas itu keputusan peperiksaan abang teramat baik sampailah dapat biasiswa-biasiswa yang bagus. Tetapi itu bermula kerana cinta dan kasih seorang ibu yang tak pernah kenal erti penat lelah. Saya belajar itu daripada ibu.

“Kalau nak diceritakan satu persatu pengorbanan ibu memang agak panjang tetapi saya tidak akan lupa apabila saya melalui pelbagai jenis rintangan dan cabaran, ibu sentiasa berada di sisi.

“Beliaulah superwoman. Kalau cakap budaya berkhidmat itu memang sudah tersemat di hatinya kerana beliau dah mengajar lebih 30 tahun sampailah saat bersara.

“Kalau ada anak-anak muridnya yang datang dari keluarga susah, ibu akan usahakan untuk ajar tuisyen secara percuma kepada mereka pada setiap minggu. Kesimpulannya, ibu akan sentiasa mencari jalan untuk berkhidmat.”

NONA turut kagum dengan semangat kental ibu kepada empat anak ini kerana tabah mengharungi ujian sebagai seorang pejuang kanser payudara. Semoga beliau terus kuat mendepani hari-hari mendatang. Kecekalannya berjuang menentang kanser payudara pastinya memberi inspirasi kepada seluruh wanita.

Kredit Foto: Instagram Syed Saddiq

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad