Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini di beberapa negeri terutama Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan memberi kesan mendalam terhadap mangsa yang terlibat. Ada juga yang terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan dan kehilangan harta benda yang menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
Ia bukan saja mendapat liputan meluas seluruh negara bahkan menjadi perhatian para sukarelawan termasuklah Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) yang juga Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Memperjuangkan suara anak muda serta golongan terpinggir dan tidak berkemampuan menjadi perjuangan utama bagi pemimpin berusia 28 tahun ini. Syed Saddiq terkenal dengan keberanian dan kelantangannya bersuara dalam setiap isu terutama berkaitan generasi muda.
“Kalau takut untuk berkorban jangan masuk landskap politik. Saya tidak pernah menoleh ke belakang. Saya sertai politik untuk bersihkan politik. Bagi memastikan golongan yang ‘tiada suara’ iaitu yang tidak berkemampuan dan terpinggir mendapat pembelaan sewajarnya.
Seterusnya, membina sebuah negara yang mana semua rakyat tak kira agama, bangsa, usia dan fahaman bangga untuk memanggil negara Malaysia sebagai rumahnya. Rumah yang akan kita pertahankan bersama.”
“Orang yang paling memberi impak paling bermakna pada diri saya ialah bapa. Saya dilahirkan dalam keluarga dari golongan pertengahan. Ibu seorang guru manakala bapa seorang yang kuat bekerja namun tiada pekerjaan tetap. Setiap hari bapa akan pergi ke Singapura dari Johor Bahru untuk mencari rezeki buat keluarga. Setiap hari saya melihat bapa bangun seawal jam 4 pagi dan keluar bekerja jam 5 pagi. Ada hari naik motor, ada hari naik bas dan ada hari naik kereta. Bapa akan pulang ke rumah pada lewat malam sekitar jam 11 atau 12 malam.
Salah satu pengalaman yang agak manis namun permulaannya pahit ialah ketika saya mengusulkan pindaan perlembagaan untuk Undi 18, undi automatik dan Calon 18. Dalam sejarah Malaysia tidak ada mana-mana kerajaan yang tidak ada sokongan dua pertiga berjaya untuk meminda perlembagaan.
Tetapi melalui usaha merentasi parti, saya berunding dan berdiplomasi dengan mereka yang dalam kerajaan dan juga pembangkang. Saya berjumpa dan berdiskusi dengan mereka mencari titik tengah bagi mengangkat martabat suara anak muda. Akhirnya buat pertama kali dalam sejarah Malaysia kita berjaya meminda perlembagaan 3 kali sekaligus memberi suara yang sangat kuat pada anak-anak muda.
Kredit Foto: Instagram Syed Saddiq
This website uses cookies.