Jika seseorang itu sengaja berdoa supaya cepat mati kerana terlalu kecewa dan putus asa dengan ujian serta nasib malang yang sering menimpa dirinya dengan harapan agar segala kekusutan itu lenyap, apa hukumnya?

Ads

Berikut pencerahan daripada Ustazah Hajah Sharifah Khasif sebagai peringatan kita bersama.

“Allah SWT menjadikan dunia dengan segala kemewahan, keindahan, suka duka, susah senang dan segala nikmat yang tidak terhitung. Namun apa yang pasti semua yang ada di dunia ini bersifat sementara. Tiada yang kekal melainkan apabila manusia dikumpulkan di alam akhirat yang kekal abadi.

Syurga neraka juga ciptaan Allah SWT yang mana sifat ahli syurga ialah orang-orang yang sanggup bersusah payah ketika hidup di dunia. Tidak hairanlah syurga itu sangat mahal dan berbahagialah penghuni-penghuni syurga yang aman tenteram di dalamnya.

Manusia itu sifatnya lemah. Allah SWT memberikan sedikit ujian kerana Dia sayang dan ingin melihat para hambaNya sujud serta menangis di hadapanNya. Melalui ujian itu adakalanya menjadikan manusia dekat dengan Allah SWT, dan ada pula yang menjadikan ujian sebagai bala bencana, sanggup marah dan bersangka buruk terhadap Sang Pencipta.

Nauzubillah…alangkah ruginya manusia yang tidak melihat segala yang berlaku itu pasti ada rahmat. Itu yang terjadi apabila banyak kes bunuh diri disebabkan kecewa dan putus asa sehingga ada yang berdoa agar mati cepat kerana tidak sanggup lagi melalui ujian dunia.

Ads

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jangan sesekali seorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: “Ya Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” Riwayat Bukhari & Muslim.

Ads

Pengajaran hadis:

  • Seorang mukmin dilarang keras meminta mati disebabkan bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpa. Sebaliknya, anggaplah ia sebagai ujian dan terima dengan redha.
  • Semua dugaan adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut. Allah SWT menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
  • Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Penyayang. Dia tidak akan membiarkan hambaNya berada dalam kesusahan selagi hambaNya itu ingat dan berserah diri serta bertawakal kepadaNya dalam apa jua keadaan.

Semoga kita menjadi antara golongan yang sentiasa melihat pada hikmah berbanding melihat kesan buruk yang kita nampak dari mata kasar. Mudah-mudahan diberkati Allah SWT seterusnya menjadi orang yang sentiasa bersabar.”

“Syurga Terlalu Mahal Bagi Mereka Yang Sanggup Bersusah Payah Ketika Hidup Di Dunia” USTAZAH SHARIFAH KHASIF

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI