Tahniah Dato’ Rizalman! Dalam diam Dato’ Rizalman ada kejutan yang disampaikan beliau selain dari perniagaannya. Hari ini beliau mengumumkan berita perlantikkannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Selepas mengumumkan persaraannya dari dunia fesyen Februari lalu, rezeki beliau tidak pernah putus. Alhamdulillah!
Dato’ Rizalman Ibrahim yang juga merupakan alumni UiTM, graduan fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dalam jurusan fesyen pada tahun 1989-1993 pernah menyandang gelaran Pelajar Terbaik Kajian (Jurusan dan Fakulti) serta Pelajar Terbaik Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Fesyen).
Rupa-rupanya posting Dato’ Rizalman di Instagram awal hari ini adalah untuk penerimaan pengiktirafan yang diberikan pusat pengajian tinggi Universiti Teknologi Mara.
Lebih mengharukan apabila sebuah video dimuatnaik pada laman IG dengan nama akaun @rizalman71 merungkaikan wajah-wajah Dato’ Rizalman dengan ucapan tahniah. Tak kurang juga peminat-peminat yang meluahkan rasa gembira dengan pengumuman ini. Bersaranya beliau sebagai pereka fesyen membuka lebih banyak lembaran baru buat beliau.
Rezeki Dato’ Rizalman tidak pernah putus-putus. Pada awalnya dia takut untuk berhenti mereka busana kerana tidak tahu bagaimana periuk nasinya dan kakitangannya nanti.
“Dulu saya takut untuk berhenti menjadi pereka fesyen. Macam mana saya nak bayar pekerja, apa yang saya nak makan nanti? Persoalan dan ketakutan itu bagai selimut dalam diri tetapi sedikit demi sedikit Allah buka jalan untuk saya pilih. Allah kurniakan ilmu seni pada saya tanpa saya minta. Saya pandai menjahit, menilai kain, mereka busana.
Itu semua bukan satu dosa tetapi ia menjadi berdosa apabila saya tidak menjuruskan ilmu itu kepada sesuatu kebaikan,”katanya dalam sesi temubual yang dipaparkan dalam majalah Nona edisi Mac baru-baru ini.
Dalam sesi temubual itu, sempat juga DRI berkongsi amalan yang dilakukan agar hidupnya sentiasa murah rezeki.
“Semua atas kehendakNya. Saya lalui hidup ini dengan percaturan yang telah ditulis secantik-cantiknya. Orang kata, nak murah rezeki kena banyak amalan. Tetapi untuk saya, memang banyak doa yang diamalkan. Tak tahu yang mana satu berkesan. Tetapi saya sentiasa displinkan diri untuk menunaikan solat sunat Subuh setiap hari dan jadikan solat sunat Dhuha sebagai amalan wajib.
Selalulah bersedekah dan membayar zakat. Kedua-dua ini memberi kesan yang sangat hebat. Pastikan sedekah itu konsisten, kalau tidak rezeki pun tak datang dengan konsisten. Mungkin saya tidak mampu bersedekah kudrat tetapi saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk mencari idea-idea dan peluang rezeki yang lumayan. Bila ada duit, lebih mudah untuk kita bersedekah. Itu pemikiran saya.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan adalah sedekah yang orang tidak tahu. Rezeki Allah beri ini saya gunakan untuk bawa orang susah mengerjakan umrah. Pada saya, untuk apa kita sibuk menjejak kaki ke Mekah untuk mengerjakan umrah berkali-kali sedangkan ramai lagi umat Islam yang teringin untuk melihat Kaabah di hadapan mata. Teringin bersujud di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi namun tidak mampu.
Satu kebahagiaan untuk saya apabila saya diberi rezeki unutk membayar pakej umrah buat seorang tukang sapu yang begitu pandai mengaji Al-Quran. Bayangkan bagaimana dia berdoa unutk kita dihadapan Kaabah dan itulah doa yang paling mulia sekali. Istiqamahlah saat bersedekah,”pesan Dato Rizalman.
Kredit foto: Instagram Dato’ Rizalman Ibrahim
This website uses cookies.