Tahniah diucapkan kepada Izara Aishah dan suaminya Adib Khalid kerana telah menimang cahaya mata pertama semalam. Berita gembira ini telah dikongsikan sendiri oleh ibu mentuanya, YM Tengku Datin Seri Zawyah Tengku Izham yang turut menzahirkan rasa syukurnya atas kelahiran cucu perempuannya itu.
Izara Aishah atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin telah melahirkan anak sulungnya itu pada hari Rabu, 15 April 2020 seberat 2.9 kilogram. Mesti comel puteri kesayangan Izara dan Adib ini mewarisi kejelitaan ibunya dan kekacakan ayahnya.
Adib pula sudah pun bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa dan menyifatkan puteri yang baru lahir sebagai satu rezeki yang tidak ternilai dariNya. Anak kedua kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), Adib turut memberitahu andai diizinkan, dia sebolehnya mahu memiliki lebih ramai cahaya mata selepas ini.
“Alhamdulillah berkat doa yang baik-baik dari semua, akhirnya impian kami untuk memiliki cahaya mata termakbul, insyaAllah. Nama untuk bayi yang bakal lahir masih belum difikirkan lagi. Apa pun, jika diizinkan saya pasang impian untuk memiliki tiga atau empat orang anak,” kata Adib kepada Media Hiburan usai majlis Baby Shower yang berlangsung di The Majapahit Residence Kuala Lumpur City Centre (KLCC) tempoh hari.
Walau bagaimanapun bayi comel yang baru lahir ini sudah pasti bertuah kerana mempunyai tiga orang nenek sekali gus. Bayangkan seorang cucu ada tiga orang nenek yang cantik dan ternama. Baik Tengku Datin Seri Zawyah mahupun Puan Safina dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin pasti teruja dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut mencoretkan ucapan tahniah menerusi insta story miliknya, “Alhamdulillah…makin bertambah ahli keluarga kita,” tulisnya ringkas. Aafiyah juga tentu gembira dengan pertambahan ‘geng’ barunya ini.
Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Izara dan Adib semoga kehadiran puteri comel ini akan menyinari lagi kebahagiaan berumah tangga.
Pelakon drama bersiri Ombak Rindu ini telah mengikat ikatan perkahwinan pada 17 November 2017. Majlis resepsi pasangan ini cukup eksklusif apabila memilih tema klasik dan telah direalisasikan oleh perancang perkahwinan terkenal tanah air, Dato’ Rizalman Ibrahim.
Official Photographer: @712studios