Lebih setahun menyulam cinta, pasangan sama cantik sama padan Raf Yaakob bakal menikahi gadis pilihannya, Mawar Rashid petang ini. Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob berusia 32 tahun telah melangsungkan pertunangan dengan Mawar Rashid pada 7 Julai lalu di Roof Garden @ Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara.
Difahamkan majlis bersejarah buat bakal mempelai ini diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri kaum keluarga serta kenalan rapat. Upacara akad nikah Raf dan Mawar dijangka akan berlangsung pukul 2.30 petang ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara
Menerusi foto-foto yang dikongsikan menerusi instagram @mawarashid kelihatan kedua-duanya berdebar menghitung detik disatukan selain usai menjalani upacara bersiram dan berinai semalam dihadiri ahli keluarga masing-masing.
Paling menyentuh perasaan apabila adik kepada penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob ini turut memohon restu daripada ibunda tercinta, Datin Umi Kalsom pada hari sama upacara tersebut berlangsung.
Tulis Presiden Kelab Bola Sepak Manchester United Malaysia itu di laman instagramnya,
“Ibu sayang.. maafkan Zal andai ada terkasar bahasa dan perbuatan. Halalkan makan minum Zal selama ini. Syurga Zal di bawah tapak kaki ibu selamanya. Zal pohon doa restu ibu untuk bernikah dengan Mawar. Doakan semuanya berjalan dengan lancar. Amin. Sayang Ibu (and bapak) dunia akhirat.”
Coretan Raf turut dibaca Datin Umi Kalsom dan membalas status tersebut dengan penuh kasih sayang.
“Sayang ibu, kebahagiaan ibu hanyalah tika bersama anak-anak. Tiada yang lain dapat membahagiakan ibu selain dari dambaan ibu kepada anak-anak. Doa dan restu ibu senantiasa, semoga adik bahagia hingga ke jannah. Usah disebut halalkan makan minum. Sayang, seandainya di dalam mulut pun sanggup ibu keluarkan demi anak-anak kesayangan ibu.”
Tidak hanya memohon restu daripada ibu tersayang, Raf juga sempat meminta restu kepada bakal ibu mentuanya.
“Mummy sayang. Macam mana Raf menjaga ibu dan anak-anak Raf, macam tu lah Raf akan jaga Puteri kesayangan mummy ni. Thank you mummy, for accepting me in your family. Thank you for letting me marrying your daughter. Cinta mati Raf hanya pada @mawarashid seorang.”
Nona mendoakan agar majlis pernikahan hari ini berjalan lancar dan rumah tangga yang dibina Raf dan Mawar akan berkekalan hingga ke syurga. Tahniah buat kalian berdua!