Wah, perkhabaran yang paling ditunggu-tunggu semua peminat tanah air. Teka-teki tentang berita kehamilan aktres comel, Nora Danish Mohd Hanif akhirnya terjawab apabila isteri kepada Nedim Nazri ini mengesahkan dirinya sedang HAMIL TIGA BULAN.
Kisah kehamilan Nora mula dihidu dan bertebaran di media sosial sejak dia menghadiri majlis pernikahan rakan selebriti dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September lalu. Waktu itu baby bump Nora Danish kian terserlah. Namun tiada sebarang kenyataan dibuat Nora mahupun Nedim ketika itu.
“Saya amat gembira dengan perkhabaran ini termasuklah suami. Malah suami bertambah teruja kerana dia sendiri mempunyai pengalaman memiliki anak sebelum ini,” terang Nora.
Disebabkan sedang berbadan dua, pemilik empayar Owl by Nora Danish ini dinasihatkan agar memperlahankan kerjaya seninya demi menjaga kandungan dan kesihatan diri.
Nora dan Nedim telah mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dalam sebuah majlis tertutup. Hasil perkahwinan terdahulu, kedua-duanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Putera Rayqal dan Mohamed Nedrin yang masing-masing berusia lapan dan lima tahun.
Salam tahniah diucapkan kepada kalian berdua. Semoga Nora dan kandungannya sentiasa berada dalam keadaan sihat.
Sumber: MSTAR
Rezeki Keletah Yusuf Iskandar, HANIS ZALIKHA SEKELUARGA Terpilih Sebagai Duta & Program Realiti TV!
Sepanjang kariernya dalam dunia hiburan, Hanis Zalikha sememangnya dikenali sebagai pelakon, hos dan usahawan yang berjaya di kalangan rakyat Malaysia. Namun peranan terbaharunya sebagai ibu dianggap sebagai yang paling penting dalam hidupnya.
Sehubungan dengan itu, para peminat akan dapat menyaksikan kehidupan harian Hanis dan keluarganya sebagai duta baharu Anmum Essential dalam rancangan realiti televisyen terbaharu di ASTRO RIA (Saluran 104), ‘My Little Heroes’.
“Sebagai seorang ibu, Hanis hanya inginkan yang terbaik untuk tumbesaran Yusuf. Beliau akan memastikan Yusuf mendapat keseimbangan dari segi nutrisi yang baik dan juga stimulasi untuk menyokong perkembangan mental, emosi dan sosial. Cara penjagaan anak Hanis sepadan dengan mesej jenama kami. Ditambah pula dengan pilihannya untuk memberikan susu Anmum Essential kepada Yusuf menjadikan beliau calon yang terbaik untuk dipilih sebagai duta Anmum Essential,” kata Karen Ong, Pengarah Pemasaran, Fonterra Malaysia.
“Kami juga sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Hanis dan Yusuf dalam rancangan ‘My Little Heroes’ sebagai penaja utama. Keletah Yusuf yang periang, bijak, bersifat ingin tahu serta mudah menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja telah menjadi perhatian ramai peminat. Oleh itu dalam program tersebut, para peminat akan mempelajari petua-petua keibubapaan dan tip-tip berguna daripada Hanis sepanjang membesarkan Yusuf,” ujarnya.
Menurut Hanis, “Saya sangat berbangga dapat menjadi duta Anmum Essential kerana jenama ini mempunyai persamaan dengan impian saya iaitu untuk memberikan Yusuf nutrien-nutrien penting bagi menyokong tumbesaran dan perkembangannya. Sebelum ini, saya tidak mengetahui yang otak kanak-kanak mengandungi 15 hingga 500 lebih Gangliosida daripada tisu-tisu lain dalam tubuh mereka!
Walaupun saya sentiasa memastikan Yusuf mendapat hidangan yang seimbang, namun manfaat tambahan DHA dan Gangliosida masih diperlukan untuk menyokong perkembangan otaknya. Selain itu, saya juga menyukai formulanya yang tidak mengandungi gula tambahan dan diperkayakan dengan vitamin, mineral dan serat makanan. Bagi saya, Anmum Essential adalah pilihan yang tepat untuk susu tumbesaran kanak-kanak!”
Untuk lebih banyak tip keibubapaan dari Hanis, saksikan bagaimana beliau membimbing Yusuf untuk meningkatkan perkembangan mental, sosial dan kemahiran sosialnya dalam ‘My Little Heroes’, yang akan ditayangkan di Astro RIA Saluran 104 pada hari Rabu, 31 Januari pukul 9 malam, serta saksikan episod baharu pada setiap hari Rabu. Ketahui lebih lanjut tentang Anmum™ Essential di www.anmum.com/my. Rosmah Idayu Abu Samah
Isteri Penyayang & Ibu 4 Anak, PUAN SRI NOORAINEE Wanita Hebat Di Belakang Tan Sri Muhyiddin!
Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee Abdul Rahman lambang seorang wanita sempurna. Penampilan beliau yang sopan dan menutup aurat bukan hanya ‘sejuk’ mata memandang bahkan mencerminkan peribadi Muslimah sejati.
Sebagai isteri kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Puan Sri Noorainee dilihat cukup menjaga nama baik suami, setia menemani suami tercinta dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan Perdana Menteri Ke-8 tersebut hingga ke hari ini.
Pengalaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam arena politik tanah air selama lebih 40 tahun membuatkan Puan Sri Noorainee lebih matang dan cekal membawa gelaran isteri pemimpin.
Menyedari tanggungjawabnya sebagai isteri Perdana Menteri, kelibat Puan Sri Noorainee kelihatan menghadiri majlis-majlis rasmi dan mengikuti program ramah mesra bersama rakyat dalam usaha menyokong kerjaya suami tercinta.
Mendekati personaliti isteri kepada Perdana Menteri ini, Puan Sri Noorainee dilahirkan pada 21 April 1949. Sama seperti Tan Sri Muhyiddin, ibu berjiwa penyayang ini juga merupakan wanita kelahiran Muar, Johor.
Meniti usia 72 tahun, Puan Sri Noorainee pernah menyandang jawatan Timbalan Yang diPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) dan Penasihat Pertubuhan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA JOHOR) ketika Tan Sri Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor sekitar tahun 1986 hingga 1995.
Kini, Puan Sri Noorainee turut bergelar Penaung Kempen Tabung Pahlawan. Pada Julai tahun lalu, Puan Sri Noorainee berpeluang menyematkan pin veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pakaian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kempen Tabung Pahlawan ini dilancarkan pada bulan Ogos bagi mengutip sumbangan daripada syarikat korporat dan individu untuk diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan di seluruh negara.
Puan Sri Noorainee mendirikan rumah tangga bersama Tan Sri Muhyiddin pada 22 September 1972. Selama 49 tahun hidup bersama, mereka dikurniakan empat cahaya mata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan iaitu Datuk Fakhri Yassin, Datin Sri Nabila Mahiaddin, Najwa Mahiaddin dan Farhan Yassin Mahiaddin.
Keempat-empat anak pasangan ini melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan korporat, industri hiburan dan penulisan. Lebih membanggakan, salah seorang cucu Tan Sri Muhyiddin dan Puan Sri Noorainee iaitu Iman Alisha merupakan atlet gimrama yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam Sukan Malaysia 2018 ketika berusia 13 tahun.
Moga segala jasa dan kebaikan yang dipamerkan Puan Sri Noorainee menjadi inspirasi untuk menjadi wanita, isteri dan ibu yang baik kepada keluarga serta masyarakat.
Kredit foto: Facebook Muhyiddin Yassin
Cinta Sempurna Pasangan OKU Ini Bukti Kecacatan Fizikal Bukan Halangan. Malah Jadi Motivasi Untuk Berjaya!
Pasangan suami isteri yang dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti Zainab Yusof (45) dan Muhammad Zulfakar Tong Abdullah (44) membuktikan golongan seperti mereka juga mampu menjalani kehidupan seperti mana insan yang sempurna.
Usia perkahwinan mereka kini sudah pun mencecah 20 tahun. Kecacatan fizikal yang dialami sejak lahir bukan alasan untuk mereka tidak berbuat apa-apa.
Jika dahulu Siti Zainab aktif memenuhi permintaan menjahit pakaian namun kini tidak lagi kerana tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Bukan sekadar mengalami kecacatan di kaki kiri sejak lahir sehingga terpaksa menggunakan kaki palsu yang digunakan sejak kecil, Siti Zainab juga diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan batu karang.
Sumber Rezeki
Siti Zainab gigih membantu suaminya yang mencari rezeki dengan menjaja makanan ringan di pasar pagi dan pasar malam. Setiap hari Siti Zainab akan membantu suaminya membungkus barangan jualan di rumah.
Bilangan stok barangan yang dibeli bergantung kepada jumlah modal yang ada. Setiap hari bertemankan motosikal roda tiga yang diubahsuai, suaminya akan berulang alik dari Meru ke kawasan sekitar termasuk Kapar dan Puncak Alam untuk menjaja. Motosikal tersebut telah pun digunakan sejak 12 tahun lalu hasil sumbangan BAKTI.
“Saya menjaja di pasar malam dan pasar pagi sejak 13 tahun lalu. Terdahulu saya pernah bekerja di kilang membuat beg golf di Meru selama 10 tahun. Semasa ekonomi merudum kilang tempat saya bekerja itu ditutup.
Saya diberhentikan dan diberikan pampasan. Demi kelangsungan hidup bersama isteri saya menggunakan sebahagian daripada wang pampasan sebagai modal berniaga. Alhamdulillah, kini kami menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.
Dalam sehari paling banyak keuntungan yang saya dapat ialah sekitar RM30-RM60 sahaja. Jika ada rezeki lebih kami simpan dan berjimat.
Jiran dan rakan-rakan tidak pernah memandang serong terhadap kami sebaliknya mereka banyak membantu. Sepanjang menjaja di pasar, pernah juga saya di saman oleh pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen perniagaan.
Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai wang untuk ambil lesen berniaga. Mujurlah rumah sewa kami ini ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor. Begitu juga dengan bantuan-bantuan lain seperti perbelanjaan harian dan makanan asas,” ungkap Zulfakar yang memiliki kemahiran menjahit baju Melayu.
Rahsia Bahagia
Sewaktu usia lima tahun, Zulfakar dihantar ke rumah anak-anak yatim di Perak. Dia membesar di situ sehinggalah usianya 17 tahun. Kemudian Zulfakar dihantar ke Pusat Pemulihan Cheras, Selangor.
Sebaik bergelar mualaf, kehidupan Zulfakar mulai berubah. Jiwanya semakin tenang. Sebaik bertemu dengan Siti Zainab mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk mengenali hati budi sebelum berkahwin. Siti Zainab merupakan anak yatim piatu dan anak keempat daripada lima beradik.
Hingga kini pasangan ini belum dikurniakan zuriat. Zulfakar sudah biasa menguruskan dirinya sendiri. Selagi mampu dia akan berusaha berdikari kerana memahami isterinya juga memiliki kekurangan.
Mereka saling memerlukan dan hasrat Zulfakar biarlah mereka hidup dan mati bersama. Buat anda yang ingin membantu pasangan ini bolehlah menyalurkan sumbangan ikhlas ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 10154-29-00002007-0 atas nama Muhammad Zulfakar Tong Bin Abdullah. Amy Mohd