Tiada kata untuk menggambarkan perasaan gembira saat kali pertama menatap wajah anak sulung. Penantian selama 9 bulan, pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Nordin daripada Butik RizmanRuzaini kini terjawab dengan kelahiran puteri sulungnya.
Rizman telah berkongsi kegembiraannya di laman media sosial miliknya sebentar tadi. Kongsinya, “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, pemilik sekian alam. Alhamdulillah, telah lahir insan yang dinanti, Princess Rizqaa,” tulis Rizman dengan gembira. Tahniah Rizman dan isteri dengan kehadiran insan baharu dalam hidup mereka.
Perasaan teruja sukar disembunyikan oleh setiap pasangan ketika menerima cahaya mata pertama. Rizman memilih Rizqaa sebagai nama puteri kesayangannya. “Rizqaa: A blessing, gift from Almighty,” kongsi Rizman tentang pilihan nama puterinya.
Pereka fesyen tersohor ini telah mengikat ikatan perkahwinan dengan seorang ahli perniagaan, Nurida Suraya pada 13 September 2019 di ruang acara Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur.
Rizman sempat menitipkan doa buat anakandanya, “Semoga Rizqaa menjadi anak yang solehah, yang menjaga akhlak, yang menurut perintah ibu bapa, yang menjadi kebanggaan agama, insyaAllah dan yang akan menghuni syurga Allah yang abadi, amin amin ya rabbalalamin,” coretnya lagi.
Butik RizmanRuzaini terkenal dengan membantu menyuntik momen indah buat pasangan pengantin menerusi busana pengantin. Nasihat RizmanRuzaini buat bakal pengantin ialah, “Antara perkara yang perlu diambil kira oleh bakal pengantin adalah siluet rekaan yang mereka minat bersesuaian dengan bentuk tubuh dan adakah warna yang dipilih menaikkan seri kulit. Ini adalah dua perkara penting yang harus difahami oleh bakal pengantin.
Pemilihan fabrik bergantung kepada majlis itu sendiri. Misalnya untuk acara akad nikah kami lebih suka menggalakkan para pengantin untuk memilih fabrik sifon dan les kerana ia memiliki efek lembut. Kalau majlis resepsi pula fabrik seperti bridal satin, italian tulle dan juga netting yang menampakkan busana lebih dreamy. Selain itu fabrik songket pula untuk aura lebih klasik,” tuturnya ketika ditemu bual Nona suatu ketika dahulu.