Patut lar berseri-seri wajah Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang ditemui semalam semasa majlis pelancaran produk Jamu Mutyara milik Tya Ariffin yang berlokasi di Wow KL. Rupa-rupanya Syaikhul Islam Mohd Shamsul bakal menjadi seorang abang. Puteri Sarah sudah sebulan lebih mengandung anak keduanya ini.
Bercerita tentang kehamilan keduanya, Puteri Sarah tidak menyangka hamil kerana suaminya Syamsul Yusof, begitu sibuk dengan projek filem Munafik. “Sebenarnya saya dah start untuk hamil lagi sejak Syaikhul 12 bulan. Saya terpaksa ceaser masa melahirkan dia dahulu sebab masa tu baby dah buang air besar dalam perut. Atas nasihat doktor saya akur untuk menunggu tempoh setahun untuk hamil.
Saya pun tidak mahu terlalu stres, kalau ada rezeki saya terima dan kalau tak ada tak mengapa. Saya risau juga dan berbincang dengan suami kerana umur saya pun dah 32 tahun. Risau juga kalau nak tunggu lama-lama. Alhamdulillah, rezeki yang tidak disangka-sangka dari Allah SWT, apabila saya disahkan mengandung. Syukur sangat!,” bicara Puteri Sarah penuh ceria.
Pelakon yang pernah membintangi drama Dunia Anita ini antara wanita yang beruntung kerana tidak mengalami fasa ‘mabuk’ yang melampau ketika mengandung. Menurutnya belum lagi diuji dengan fasa itu sepanjang tempoh kehamilannya ini. Namun ketika mengandungkan Syaikhul dahulu dia mabuk ketika bulan ketiga kehamilan dan berakhir dalam tempoh sebulan sahaja.
Ketika ditanya tentang jantina anak yang didamkannya kali ini, tuturnya, “Kalau ikut kata suami, dia mahukan semua anaknya lelaki,” ulas Puteri sarah sambil tertawa.
Bercerita tentang perkembangannya terkini, cerita Puteri Sarah, “Saya sekarang sibuk travel ke sana ke mari dalam rangka mempromosikan produk kosmetik terbaharu, Mattness by Shara. Alhamdulillah, walaupun kosmetik ini belum dilancarkan sepenuhnya, tetapi sudah mendapat sambutan di luar jangkaan. Produk ini telah berjaya menembusi pasaran Singapura dan juga Brunei.
Apa yang lebih menggembirakan selain berita kehamilan ini saya turut teruja apabila produk kosmetik saya bakal masuk ke setiap Pasar Raya Aeon seluruh negara. Sebenarnya saya dah lama nak buat produk kosmetik ini tetapi sekarang baharu dapat direalisasikan. Mungkin rezeki anak.
Apa yang lebih membanggakan apabila perjalanan Mattness by Shara ini tak ada bantuan suami dan 100 peratus atas usaha saya sendiri daripada segi modal dan operasi. Memang saya nak buktikan saya boleh buat sendiri.
Bagi saya mengandung bukan alasan nak duduk goyang kaki. Kalau dah kata rezeki mesti Allah SWT akan bantu. Saya kalau bekerja atau travel sentiasa bawa anak bersama. Sebab ayah dia sibuk, saya yang ada dengan Syaikhul selalu. Jadi saya tak nak kalau sibuk dengan urusan kerja terpaksa tinggalkan dia selalu.
Macam orang cakap sambil menyelam minum air, saya menikmati kualiti masa dengannya dengan pergi makan sama-sama atau kadang-kadang bawa dia pergi zoo. Suami telah memberi keizinan kepada saya untuk bergerak bebas untuk melakukan apa sahaja. Tapi suami selalu berpesan agar pandai jaga diri dan menjaga nama baik suami. Biasanya saya akan bawa mama sebagai peneman,” terang Puteri Sarah yang tidak akan berlakon lagi kecuali berlakon dengan produksi suami atau bapa mentua sahaja.
Kredit foto: Instagram @puterisarahliyana
This website uses cookies.