Umum sedia maklum, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif kini merupakan seorang tenaga pengajar di salah sebuah Universiti terkemuka di Selangor.
Bagaimanapun, terbaharu isteri kepada penyanyi, Akwa Arifin ini memaklumkan bahawa dengan berat hatinya dia terpaksa mengorbankan kerjayanya sebagai pensyarah bagi memberi tumpuan kepada pengajian Doktor Falsafah (PhD) yang sedang diikutinya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Malah, sejak mendirikan perkahwinan dengan rakan duetnya, Akwa Ariffin pada 11 November 2022, jarang kita lihat penyanyi anak kelahiran Batu Pahat ini semakin jarang kelihatan di panggung seni.
Nyanyian Di ‘Hype Night’ Ubati Rindu Peminat
@farah.azr Najwa Latif sing kosong..Dah lama tak dengar lagu ni secara live dari @Najwa Latif 🥰❤️ #najwalatif #kosongkosong #kosong #hypenight #hypenightinkl ♬ original sound – farah.az
Namun, persembahan julung kali Najwa di Hype Night, Kuala Lumpur tedahulu, menerusi lagu ‘kosong’ telah memukau ramai orang sekaligus mengubati kerinduan para peminatnya.
Perkongsian video nyanyian tersebut dibuat oleh seorang pengguna Tik Tok menerusi akaun @farah.azr. Dalam video berkenaan kelihatan Najwa tampil anggun dan sopan mengenakan busana serba hitam telah mencuri perhatian ramai.
Suara Sama Macam Dulu Tak Berubah
Sumber Gambar: TikTok farah.azr
Rata-rata peminat yang teruja melihat video berkenaan telah menghujani hantaran tersebut dengan pelbagai komen menyatakan kerinduan terhadap lagu nyanyian Najwa.
Malah, ramai yang memuji vokal pemilik nama penuh Imratul Najwa Abdul Latif kerana suaranya masih sama seperti dahulu dan tidak berubah sama sekali.
Selain itu, terdapat juga beberapa peminat yang mahukan agar Najwa menyertai program Gegar Vaganza agar bakat yang diperolehinya tidak sia-sia dan boleh diketenghkan lagi serta menyumbang semula kepada industri hiburan tanah air.
Untuk rekod, Najwa Latiff pada zaman kegemilangannya, popular menerusi lagu-lagu seperti Cinta Muka Buku, Ada Mu, Satu Hari Nanti, Sahabat dan Kosong.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Najwa Latif
“Mak Ayah Kan Dah Tua, Jagalah Mereka…” Sayunya Baca Pengalaman Asral Widad Di Rumah Warga Emas!
Merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia bakal mencapai status negara tua sepuluh tahun lagi, apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas dianggarkan mencapai 15% daripada jumlah penduduk pada tahun 2030.
Namun kini, sudah banyak warga tua yang sebatang kara dan ada juga segelintir yang sengaja memilih untuk tinggal di rumah orang tua SECARA SUKARELA.
Nona melangkah ke Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah untuk mendapatkan pencerahannya.
Menelusuri kawasan perumahan elit dan padang golf yang terbentang di Bangi Golf Resort, perjalanan penulis pada pagi Jumaat itu akhirnya berlabuh di sebuah banglo dua tingkat.
Persekitaran menghijau begitu mendamaikan bagai mengusir kepenatan memandu. Ketika berbalas salam dengan para penghuni yang senang digelar ‘bonda’ itu, kedatangan penulis disapa oleh Pengasas dan Pengerusi PACU (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah), Hajah Asral Widad Ahmad Asnawi.
Keseronokan melihat warga emas di sini solat berjemaah dan mengaji bersama-sama cukup menyentuh jiwa penulis. Apabila pandangan kami bertembung, ada bonda yang tersenyum lebar, menampakkan riak wajah keibuan yang lembut, tenang dan terisi dalamannya dengan pengetahuan.
Benarlah seperti kata orang, orang tua ini seperti radio lama. Yang dimahukan hanya ‘telinga’ kita. Untuk mendengar. Untuk memahami nasihat mereka.
Cerita Hajah Widad, walaupun ada yang kelakar, tapi banyak juga ragam orang tua yang menguji kesabaran. “Bonda-bonda ini ada yang boleh diusik manja dan ada juga yang tidak. Kadang-kadang terdengar juga pertengkaran kecil seperti berebut tempat solat atau soal kebersihan. Cuma satu persamaannya, mereka semua handal memasak.
Cakap saja resipi apa, bonda petik jari, yang dimasak sedap-sedap belaka. Malah para penjaga dan kakitangan DI juga gemar berbual dengan bonda-bonda kerana mereka banyak pengalaman,” kata beliau tentang DI yang dihuni bonda lingkungan usia 55-84 tahun.
Menyelami sejarah penubuhan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah (DI), ia sebenarnya berasas daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku di Selangor. “Waktu itu salah seorang Pengasas DI iaitu Ustazah Wan Nazidah terjumpa 14 warga emas Muslim yang dijaga oleh sebuah institusi bukan Muslim.
Ia sangat mengejutkan kerana kami bimbang jika akidah mereka mungkin terpesong. Namun tidak dinafikan bahawa masyarakat kita amat memerlukan tempat jagaan sebegini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 nanti.
Sebenarnya saya mahu melihat semua anak menjaga orang tua mereka sendiri. Menjaga, menemani dan mengasihi ibu bapa sepertimana mereka membesarkan kita dahulu. Tapi jika terpaksa juga, jangan tinggalkan mereka seorang diri hanya kerana mereka orang dewasa. Ingat, orang tua ini fitrahnya akan kembali seperti anak kecil.
Jika mereka masih ingin belajar dan mendalami agama, bawalah ke DI kerana di sini rata-ratanya dihuni oleh bonda yang memang mahu belajar dan bergaul. Ia bagus untuk sokongan sosial dan kesihatan juga.
Dewasa ini, apabila anak-anak sibuk bekerja dan mengabaikan ibu bapa di rumah, wujud risiko penyakit kemurungan, Alzheimer, demensia dan amnesia. Sebagai anak, kita perlu faham bahawa mereka juga ada perasaan sunyi, perlu rakan bersembang dan ingin terus menimba ilmu hingga ke akhir hayat.
Sebab tu DI ditubuhkan sebagai pusat jagaan yang juga rumah pendidikan buat mereka. Ia bagaikan sebuah IPT yang menekankan ilmu fardu kifayah dan pengisian di akhirat buat warga emas wanita.”
Sambung Hajah Widad, tidak semua kondisi warga emas boleh dimasukkan ke DI. “Sebelum ini pernah berlaku kes skizofrenia yang teruk dan kami terpaksa mengembalikan bonda tersebut kepada waris untuk dijaga.
Bonda tersebut sebenarnya tertekan dengan suasana di rumahnya. Sedangkan sewaktu dia di sini, dia sihat dan rajin membaca Al-Quran.
Selain itu, ada seorang bonda yang ibarat ‘a walking dead’ semasa tiba ke sini. Dia pada asalnya murung kerana selalu ditinggalkan seorang diri di rumah. Di rumah dia hanya merenung dinding, tak lalu makan minum, susah tidur dan susah beribadat. Tapi alhamdulilah sejak menetap di DI, bonda tersebut berubah ceria kerana dikelilingi kawan-kawan seusia.
KARAKTER
Air wajah yang sentiasa tenang dengan senyuman manis yang tidak lekang-lekang dari bibir membuatkan pertemuan kami hari itu sangat menyeronokkan. Meskipun hanya bersolek tipis, penampilan wanita kelahiran Jitra, Kedah yang baru menginjak usia 44 tahun itu kelihatan lebih muda dari usianya.
Hajah Widad merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan medico-legal.
Sambil berbual-bual, latar belakang beliau yang pernah bergelar pensyarah menjadi topik perbualan kami. “Saya pernah berkhidmat di beberapa universiti tempatan antaranya Open University Malaysia (OUM), Kuliyyah Information and Technology (KICT), INTI College Subang Jaya dan Lim Kok Wing University College Cyberjaya.
Sejak di bangku sekolah lagi saya telah bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat dan kini saya gembira dapat menyumbang bakti kepada komuniti menggunakan seluruh pengetahuan yang ada,” kata Hajah Widad.
Menurut isteri kepada Pengerusi ASAS yang juga seorang penasihat syariah, Prof Madya Dr. Aznan Hassan tersebut, beliau banyak mendapat sokongan suami dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan.
“Secara peribadinya saya suka melihat suami berdakwah dan ia membuat saya terpanggil untuk berdakwah sekali. Suami seorang yang sangat sibuk, namun apabila beliau di rumah, saya akan pastikan masa dikhususkan untuknya seorang,” ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Mengakhiri sesi ini, penulis sempat bertanya nasihatnya berkaitan penjagaan ibu bapa berusia. Hajah Widad tersenyum lembut sambil berbicara, “Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketahuilah bahawa mereka itu adalah lorong-lorong syurga kita.
Mereka sebenarnya tak memerlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan mereka. Kalau berlaku ketidaksefahaman, cuba bersabar dan mengalah dalam apa saja perkara. Melainkan jika ia menyimpang dari akidah, barulah kita berhak berkata tidak.
Ingatlah bahawa rumah orang-orang tua ini bukannya tempat transit mereka untuk menunggu mati. Semua orang ada kekurangan, begitu juga diri kita dan ibu bapa kita. Yang muda mesti menjaga yang tua. Yang berupaya membantu yang kurang upaya,” nasihat Hajah Widad sambil menegaskan bahawa jika wujud pengabaian waris terhadap ibu bapa, aduan polis perlu dibuat agar tindakan dapat diambil.
Hajah Widad juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada masyarakat untuk terus menghidupkan kewujudan pusat jagaan seperti ini umpamanya berupa dana, bantuan bahan asasi dan makanan kering.
IBU Bekerja 24 Jam Sehari, Apa Penghargaan TERBAIK Dari Anak?
Wanita bergelar ibu memikul tanggungjawab sungguh berat. Tugasnya bagai tak pernah habis dari hari ke hari. Wanita selalu di sebut lemah tetapi cinta yang telah membuatkan mereka lebih kuat dari sesiapa pun.
Dalam perkongsian Ustaz Ebit Lew dalam laman Instagram, cukup terkesan di sudut hati apabila mengenangkan kerjaya paling berat tetapi mulia di dunia. Katanya, kerjaya sebagai ibu ayah tiada gaji. Ia adalah kerja paling berat tetapi paling mulia di dunia. Ia juga adalah amanah dari Allah.
“Hargailah ibu ayah. Ucapkanlah sayang kepada mereka. Jika kita sudah menjadi ibu ayah, berilah kasih sayang dan masa untuk membimbing anak-anak.
https://www.instagram.com/p/BvNhvnFFjaY/?utm_source=ig_web_copy_link
Menjadi ibu khususnya satu pekerjaan yang tidak ada titik nokhtah. Pekerjaan yang tidak ada cuti, tidak ada MC jauh sekali untuk berhenti. “Kerja ini duit tak dapat, gaji tak dapat. Tak ada istilah sakit dalam kerja ni. Bila dapat saja kerja bila umur bertambah,kerja dia pun bertambah. Kalau usianya 100 tahun, 100 tahun dia akan sayangkan kita,”katanya.
Melafazkan kerinduan pada suri hatinya yang menguruskan rumah tangga 24 jam sehari serta menjaga anak-anak tanpa rehat mencukupi, sama seperti semua isteri dan ibu di dunia. Dia memuji kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
https://www.instagram.com/p/Bm4wvGKHCj1/?utm_source=ig_web_copy_link
Dalam ceramahnya lagi, Ustaz Ebit turut berkongsi rasa kerinduan yang teramat terhadap Allahyarham ibunya. Pernah sewaktu hari lahirnya, Ustza Ebit cuba menghubungi arwah ibunya dari Bangladesh hanya semata-mata untuk mendengar ucapan paling berharga. “Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang dekat Ebit. Ucapan yang sangat saya rindui hingga sekarang,”katanya.
https://www.instagram.com/p/BvP9D6SlraP/?utm_source=ig_web_copy_link
Pesan Ustaz Ebit, “Ucapkanlah sayang dan hargailah selagi ada kesempatan. Selalu doakan mereka. Rindunya nak menangis sebab dah tak dengar suara itu lagi dalam hidupku ini. Terima kasih Allah pinjamkan wanita yang sangat baik dalam hidupku. Semoga satu hari nanti, di sana, ku ingin ucapkan sayang dan terima kasih padanya.”
Tips Hargai Ibu
- Katakan lebih daripada terima kasih: Seandainya ibu membuat sesuatu untuk anda, ucapkan terima kasih dan perincikan mengapa terima kasih itu diungkapkan kepanya. Ukirkan senyuman manis untuknya agar dia tahu anda betul-betul menghargai pertolongannya.
- Nyatakan betapa nasihatnya sangat membantu: Terlalu banyak pesanan ibu buat anak-anak. Beritahu padanya secara spesifik, bagaimana nasihat itu membantu mengubah hidup anda. ibu-ibu suka dipuji dan dia pasti gembira!
- Hubungi ibu di saat di tengah-tengah kesibukan kerja anda : Sesuatu yang tidak disangka seringkali menjadi kejutan paling istimewa. Apakata anda hubungi ibu ketika anda sedang bekerja, contohnya pada waktu pagi. Beritahu ibu betapa beruntungnya anda dilahirkan dan dibesarkan ibu yang sehebatnya.
- Memasak untuk ibu: Apa salahnya jika sesekali ketika anda berkunjung ke rumahnya, anda sendiri yang memasak hidangan kegemarannya. Makan bersama-sama dan bersembanglah dengan ibu kerana dia pasti ingin mendengar setiap perkara yang sedang berlaku dalam hidup anda, meskipun anda sudah berkahwin!
- Menjadi pendengar: Jadilah pendengar setia ibumu. Jika sebelum ini hanya ibu yang mendengar setiap keluh resahmu, kali ini pinjamkan bahu dan telinga anda untuk mendengar ceritanya pula.
- Tinggalkan nota: Sesuatu yang jarang atau tidak pernah anda lakukan bukan? Sebelum anda pulang ke rumah sendiri selepas menziarahinya, tinggalkan nota istimewa di meja soleknya. Ungkapan yang ringkas dan paling bermakna seperti “Ibu, terima kasih di atas kasih sayangmu. Saya sayangkan ibu dunia dan akhirat” pasti membuatkannya tersentuh.
Sumber video: Instagram Ustaz Ebit Lew
‘Comel Tak Kak Ton!’ 2 Dekad Sukses Jadi Usahawan, KAK TON Ibu Penyayang & Tak Suka Menunjuk
Kejayaan usahawan kosmetik terkenal tanah air atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini nyata bukan calang-calang. Pasti ada keunikan dan tarikan tersendiri yang dimiliki wanita hebat ini hingga berjaya membuatkan perniagaannya kekal bertahan dalam industri selama hampir dua dekad. Bukan tempoh yang singkat tu!
Apatah lagi dengan persaingan bermacam-macam produk kosmetik yang dijual di pasaran ketika ini. Nona percaya, kalau barangan tersebut berkualiti sudah tentu ia akan terus mendapat permintaan ramai.
Sejak kemunculan Kak Ton pada tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang. Memasuki 20 tahun pembabitannya dalam dunia perniagaan dan mencipta legasi sendiri, Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan merupakan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd.
Pernah beberapa tahun menyepi dari industri, figura hebat berkenaan kembali aktif mengembangkan legasi. Sebagai usahawan produk kecantikan, Kak Ton amat mementingkan kecantikan dari segi dalaman mahupun luaran.
Baru-baru ini menerusi perkongsian anak-anak Kak Ton di media sosial, kesihatan usahawan berjiwa penyayang tersebut diuji dan difahamkan Kak Ton menjalani pembedahan pada awal September lepas. Bagaimana pun, tidak didedahkan mengenai penyakit yang dialaminya kepada umum.
Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai ahli perniagaan ketika ditemu bual Nona tidak lama dulu, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 20 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.
“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’.
Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu.
Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah. Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT.
Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.”
Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa.
Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.
Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya… memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.”
Meskipun berjaya dalam bidang yang diceburi namun usahawan yang berdarah kacukan Thailand, Laos, Pakistan dan Arab ini tetap gemar menjalani gaya hidup sederhana. Ujar Kak Ton, dia enggan menunjuk-nunjuk kesenangan hidup kerana tidak mahu orang sekelilingnya merasa kekurangan.
Semoga kejayaan dan peribadi baik Kak Ton sentiasa menjadi inspirasi ramai. Nona juga mendoakan agar Kak Ton segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.