Gaya Hidup

“Tak Hina Pun Status Janda Tu…” Nasihat FATIN AFEEFA Buat Semua Ibu Tunggal Untuk Terus Bangkit

Tanyalah mana-mana wanita, tak siapa ingin bergelar janda apatah lagi pada usia muda. Walau kita sudah berada di zaman serba moden, status “janda” seringkali dipandang serong apatah lagi bila bergelar artis. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh pelakon jelita, Fatin Afeefa yang kini hidup solo bersama dengan dua orang anak hasil berkahwinannya yang terdahulu.

Lebih lima tahun bergelar ibu tunggal, Fatin Afeefa mengakui ada segelintir masyarakat masih memandang hina gelaran janda mahupun ibu tunggal. Diakuinya sendiri menerusi sesi Live nya di Tik Tok baru-baru ini, Fatin menjawab pertanyaan peminatnya berhubung isu ini.

“Bagaimana awak hadapi pandangan orang tentang ibu tunggal sebab ramai yang memberi tanggapan negatif terhadap gelaran tersebut,” soal individu tersebut.

Dengan tenang Fatin menjawab, “Sejak bergelar ibu tunggal sejak lima tahun lalu, macam-macam gelaran orang beri pada saya. Secondhandlah, kereta terpakai pun ada. Siapa yang tidak sedih, walaupun sayalah wanita yang menuntut cerai tetapi orang tetap mengata mengenai saya,” kata pemilik nama penuh Fatin Nur Afifah Shamsudin yang berumur 28 tahun ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata lelaki lah yang kebanyakkannya akan memberikan pandangan negatif terhadap golongan ibu tunggal.

“Selalunya orang yang mengutuk itu ialah segelintir golongan lelaki yang suka mengawal perempuan tetapi tidak dapat, sebab itu mereka merendah-rendahkan janda.

“Ada sesetengah wanita anggap lebih okay kekal dalam perkahwinan yang tidak bahagia daripada berstatus janda. Saya memilih untuk menjadi janda sebab saya ingin kejar kebahagiaan begitu juga untuk anak-anak. Tidak hina pun status janda ini dan jangan sesekali rasa sedih dengan perkara tersebut,” katanya lagi. Untuk rekod, Fatin berkahwin dengan pelakon Adam Shahzpada pada tahun 2013 dan disahkan bercerai pada 2017.

Kredit foto: Instagram (@fatinafeefa)

Share
Published by
Wan Firdaus