Walau kehadiran ramai pelakon wanita baharu dalam industri namun Tiz Zaqyah masih menjadi pilihan penerbit dan syarikat produksi. Meskipun sudah lama bergelar pelakon, aktres jelita ini tidak mengejar populariti.
Sebaliknya segala komitmen dan kesungguhan sebagai anak seni selama ini menjadi kepuasan diri. Di samping mewarnai industri hiburan yang semakin meriah.
Lakonannya menerusi drama Liar bergandingan bersama aktor Tony Eusoff yang ditayangkan pada Mac lalu mendapat pujian peminat seni. Malah dia juga dipilih membawa watak utama dalam pementasan teater Keajaiban Puteri Langkawi Mahsuri pada 24 hingga 26 Mei lepas ketika sambutan LIMA ’23 di Pulau Lagenda berkenaan.
Antara pelakon handalan lain yang turut membintangi teater itu ialah Fauziah Nawi, Hairi Safwan dan Fikry Ibrahim.
Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak juga dilihat makin ligat menceburi bidang perniagaan apabila melancarkan produk aksesori fesyen wanita iaitu headband di bawah jenama Qya Collectione.
Dia mula aktif memasarkan Qya Collectione sejak Mei lepas dan headband eksklusif ini terdapat dalam pelbagai corak, warna dan diperincikan dengan kilauan manik serta kristal.
Meniti usia 35 tahun dan sepanjang lebih 16 tahun berkecimpung dalam arena seni lakonan Tiz sudah membintangi banyak filem serta drama popular. Ini termasuklah drama Nur Kasih, Sara Sajeeda, Kolestrol vs Cinta, Dejavu di Kinabalu dan Vila Kristal.
Oktober tahun lalu, dia merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem Seram bersempena Actors Awards menerusi filem Town Mall 2.
Selain berbakat dalam lakonan, Tiq Zaqyah juga ada bakat terpendam melukis dan menyanyi. Kalau tengok media sosialnya, wanita berjiwa kreatif ini berkongsi karya-karya lukisan dan video nyanyiannya bersama peminat.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/berbakat-besar-cantik-tiz-zaqyah-menang-anugerah-pelakon-wanita-terbaik-filem-seram/