Melihat susuk tubuh ramping supermodel era 90an ini pasti ramai yang tak menyangka Cindy Crawford sudah berusia 53 tahun. Walau tinggal tujuh tahun saja lagi bakal menghampiri 6 series… namun kejelitaan dan bentuk tubuh Cindy tetap menawan seperti dulu.
Tidak seperti kebanyakan selebriti Hollywood yang ‘menyembunyi’ sisi penuaan di sebalik pembedahan plastik dan sebagainya, model antarabangsa ini selesa mempamer wajah asli meskipun garis-garis halus jelas kelihatan di wajah anggunnya. Bahkan Cindy mengakui lebih selesa mengenakan solekan nipis setiap kali keluar rumah.
Mahu tampil cantik semula jadi seiring dengan pertambahan usia saban tahun, isteri Rande Gerber ini memberitahu Vogue dia hanya menjalani gaya hidup sihat dengan aktif bersenam. Di samping mengambil pemakanan sihat. Memetik kenyataan Cindy di Good Housekeeping, ada beberapa rutin yang diamalkannya agar kekal awet muda.
- Minum Teh Hijau Sebelum Sarapan
Kata Cindy kepada majalah Elle pada tahun 2015, “Saya menyukai teh hijau dan selepas menikmati minuman ini saya rasa lebih baik dan menginginkanya setiap pagi.”
Selain teh hijau, model bertahi lalat di atas bibir ini juga mengamalkan minuman smoothie yang kaya protein yang dihasilkan sendiri di rumah. Antara ramuannya termasuk susu kacang badam, serbuk protein, daun pudina, separuh biji pisang dan biji koko asli.
- Hidangan Kaya Protein
Kebiasaannya Cindy akan menikmati hidangan salad bersama lauk seperti ikan atau ayam yang diakhiri dengan sepotong kecil coklat gelap. Pesannya, “Selepas selesai makan saya akan ambil sepotong coklat gelap sebagai tanda kepada tubuh yang ‘ini adalah makanan penutup’. Mengikut pengalaman, kalau teringin makan sesuatu tapi dilarang… ia akan berakhir dengan makanan lain yang lima kali lebih banyak.”
- Snek Sihat
Bagai tidak lengkap hari Cindy Crawford tanpa kudapan atau snek sihat. Untuk memastikan dia tidak makan berlebihan… ibu dua anak ini memilih kudapan seperti kacang badam, epal dan keju sebagai pilihan sebelum menjamu hidangan seterusnya.
- Bersenam
Salah satu petua cantik Cindy adalah dengan menjalani rutin senaman. “Saya menyukai senaman yoga dan joging tapi saya lebih selesa dengan teknik senaman tradisi. Setakat ini, saya mempunyai jurulatih kecergasan di rumah yang akan mengajar setiap tiga kali seminggu termasuk untuk melakukan push-ups, squats dan sebagainya.
https://www.instagram.com/p/BuZS1T9Fy_7/
Selepas melahirkan anak, saya lebih kepada senaman HIIT (high-intensity training workout) dan pergi hiking dan berbasikal pada hujung minggu.”
Sumber: Liputan 6 & Vogue