Demi menyaksikan sendiri keadaan kanak-kanak pelarian Rohingya, Lisa Surihani sanggup turun padang, berpanas dan melalui kawasan berdebu di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh baru-baru ini. Lisa yang dilantik sebagai Duta UNICEF Malaysia sejak dua tahun lalu tanpa teragak-agak memberi komitmen penuh bertemu kanak-kanak terbabit dengan harapan agar kehadirannya mampu menceriakan anak kecil yang serba kekurangan.
Di samping dapat membuka mata pelbagai pihak agar memberi perhatian kepada kebajikan anak-anak ini sekaligus membela nasib bangsa Rohingya.
Menaiki penerbangan Malaysia Airlines untuk tiba ke Cox’s Bazar awal April lalu, Lisa yang lengkap mengenakan T-shirt rasmi UNICEF dan pakaian serba biru adalah sebagai tanda sokongan kepada golongan kanak-kanak dilihat cukup teruja melayan kaum ibu dan kanak-kanak etnik yang dipinggirkan ini.
Selain beramah mesra dan mendekati mereka, isteri Yusry Abdul Halim ini nyata tidak kekok memasuki salah satu tempat perlindungan kanak-kanak dan wanita di sana yang hanya berdindingkan buluh serta daun rumbia. Memetik kenyataan Lisa ketika menghadiri sambutan ulang tahun Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 anjuran UNICEF Malaysia, ibu kepada dua anak ini menyatakan sokongan penuh terhadap pembelaan kanak-kanak yang tidak diberi peluang kerakyatan.
“Lawatan ini adalah satu pembelajaran untuk saya. Saya bersedia untuk melihat kesengsaraan pengalaman kanak-kanak sebagai pelarian dengan mata saya sendiri. Saya akan lihat dan dengar perkara yang mungkin tidak menyenangkan, perkara yang tiada orang ingin baca, dengar atau buat laporan.
Akan tetapi, dunia perlu tahu apa yang mereka lalui. Seorang kanak-kanak tetap seorang kanak-kanak walaupun mereka pelarian. Dan terutamanya mereka yang ‘voiceless’ seperti mereka yang tiada kerakyatan, pelarian, dipinggirkan. Kita perlu bersuara dengan lebih kuat lagi,” tegasnya.
Dalam lawatan itu juga Lisa berkesempatan mengunjungi Hospital Medan Malaysia yang memberikan khidmat perubatan kepada pelarian di sana. Lisa yang merupakan ibu kepada Yahaira Leanne dan Yusof Leonne mengakui terkesan dengan nasib yang menimpa kanak-kanak di kem pelarian paling padat dan terbesar di dunia itu.
Difahamkan, Kem Pelarian Cox’s Bazar menempatkan sehingga 600 ribu orang pelarian Rohingya yang dinafikan hak mereka di negara sendiri, Myanmar. Sudahlah terpaksa berpadat dengan ramai penghuni, mereka juga kekurangan kemudahan seperti bekalan air bersih mencukupi, bekalan elektrik dan sebagainya.
Sumber: Astro Awani