“Tak Kongsi Penghijrahan Sebab Ia Sesuatu Yang Wajib,” ANZALNA Akui Berhijab Tanpa Paksaan Sesiapa!

Sejuk mata memandang penampilan terbaharu selebriti cantik, Anzalna Nasir. Sejak mengenakan hijab pada September tahun lalu, makin cantik berseri-seri isteri Hanif Zaki ini. Memang terserlah wajah jelita penuh kelembutan milik bekas finalis Dewi Remaja 2009/2010 tersebut. Suka tengok!

9 Januari lepas genap 34 tahun usia Anzalna dan seperti kebiasaan, hari lahir aktres cantik ini disambut penuh meriah ahli keluarga tersayang.

Ditemui Nona ketika majlis pelancaran Loveta X Anzalna baru-baru ini, Anzalna yang mengenakan dress labuh merah dan putih tampil berkongsi penghijrahan diri apabila diaju pertanyaan mengenai penampilan terbaharunya.

Dalam nada mesra, anak kedua daripada lima beradik ini membuka bicara. “Betul, saya tak pernah berkongsi penghijrahan ini sebab ia sesuatu yang wajib dan tiada apa yang nak saya kongsikan. Memang dari hati dan tanpa paksaan daripada sesiapa.

Tiada mimpi atau apa. Cuma dari hati, memang tiba-tiba rasa dan Hanif (suami) pun tak tahu. Yang tahu cuma adik-beradik je sebab saya cakap dengan mereka jela,” ujarnya menahan sebak.

Tambah Anzalna lagi, dia tidak memilih jenama tertentu dalam memakai hijab. Sebaliknya memadai ia menutup aurat dengan sempurna dan selesa.

“Tak kisah jenama hijab apa pun asalkan tutup aurat. Memang saya suka shopping. Asalkan ia selesa, jenama apa saja pun saya boleh pakai. Yang penting terletak cantik, saya dah happy.

Sejak berhijab, saya selalu hilang pin. Kadang-kadang anak tudung pun hilang juga. Nak-nak bila dah bertudung ni kena betul-betul jaga. Koleksi pun tak banyak lagi.

Dah ada Loveta ni, barulah macam-macam warna saya ada. Lagipun Loveta ni ada sekali dengan anak tudung. Tak perlu dah saya cari mana letak anak tudung. Cuma pin tu kena jaga elok-elok,” jelas Anzalna sambil tertawa.

Mengulas lanjut hubungannya bersama Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, Anzalna meluahkan rasa bertuah kerana dipilih menjalinkan kolaborasi dengan jenama tinggalan Allahyarhamah meskipun isteri kepada Shuib Sepahtu itu sudah kembali ke rahmatullah.

“Arwah seorang yang kelakar dan kalau saya duduk dengan dia memang terkekek-kekek gelak. Lagi satu arwah ni seorang yang caring dan pemurah. Suka menolong kawan-kawan dan tolong orang. Saya peminat arwah. Kalau karaoke memang suka nyanyi lagu dia.

Waktu arwah masih hidup… kami bukan sekadar peminat tapi selalu berhubung. Arwah tak pernah lupa saya dan offer a few times. Arwah juga pernah offer untuk perfume keluarannya kalau tak silap tapi waktu itu saya kontrak dengan Shahirah. Begitu juga jenama kosmetik arwah tapi saya dengan L’Oreal.

Memang tak berkesempatan langsung. Kali ni tak boleh tolak tapi saya pula tak dapat bekerjasama dengannya. Macam mana pun saya happy sebab saya percaya kalau arwah masih ada, mesti dia happy.”

Anzalna Nasir menghiasi kempen Loveta X Anzalna sejak 5 Januari lalu dan melalui kempen berkenaan, Loveta menghasilkan rekaan semi instant shawl dengan 11 pilihan warna kegemaran Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Pada majlis sama, anak perempuan tunggal Allahyarhamah Siti Sarah dan Shuib iaitu Dzakira Talita Zahra berusia sembilan tahun turut diumumkan sebagai pewaris jenama Loveta.

 

 

Kredit foto: Instagram Anzalna Nasir & Loveta

Share
Published by
Suzi