Penyanyi Indonesia yang terkenal dengan lagu ‘Tiada Lagi’ Mayangsari mendedahkan antara rahsia awet mudanya ialah kebahagiaan yang dikecapinya dalam rumahtangga.
Hakikatnya ia memang benar kerana apabila seseorang itu sentiasa merasa gembira dan bahagia, ketenangan jiwanya akan terserlah pada luaran.
Wajah pun akan berseri-seri dan awet muda.
Menurut Mayangsari, selama 23 tahun bergelar isteri kepada usahawan terkenal, Bambang Trihatmodjo, dia tidak pernah memeriksa telefon bimbit suaminya itu.
Untuk info, mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 2000.
Memetik perkongsian di saluran YouTube Melaney Ricardo bertarikh 19 April 2023, Mayangsari juga tidak pernah mengongkong suaminya.
“Mungkin cara kita menghilangkan kebosanan adalah dengan tidak menahan satu sama lain.
“Salah satunya tidak memeriksa telefon bimbit pasangan. Saya sendiri tidak pernah melakukan sedemikian.
Selain itu, Mayangsari dan suami juga tidak pernah meletak password (kata laluan) pada telefon bimbit masing-masing.
“Saya tidak tahu dan dia tidak pernah menggunakan kata laluan. Saya juga tidak pernah menggunakan kata laluan, kami tidak kisah,” jelas Mayangsari.
Mayangsari juga tidak pernah berprasangka buruk terhadap suaminya seperti mana wanita-wanita lain.
“Itu nampak sangat menyeksakan, saya tidak mahu,” jelasnya. Dia juga sedar sikap sebegini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi jika sudah berkahwin.
Apa pun kata Mayangsari, kunci utama kebahagiaan ialah saling menghormati antara satu sama lain. Semoga Mayangsari dan suami bahagia selamanya.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Kredit Foto: Instagram Mayangsari
“Dah Tahu Baby Bakal Lahir Sumbing Tapi Saya Sedia Terima…,” Tutur Ibu Muda Ini
Saat menerima perkhabaran hamil anak kedua lebih-lebih lagi apabila hidup dengan hanya satu ovari mungkin tidak dapat digambarkan kegembiraannya. Hanya Allah SWT yang tahu betapa bersyukurnya ibu muda ini.
Melalui fasa mengandung seperti wanita lain adalah suatu nikmat yang terindah buat wanita yang pernah melaluinya. Setiap ibu mengharapkan agar bayi yang dikandung berada dalam keadaan sihat dan membesar mengikut yang sepatutnya.
Tetapi, pada usia kandungan 22 minggu, Wajihah mendapatkan perkhabaran yang anaknya adalah Baby Cleff Lip & Palate (CLP) atau sumbing.
Kongsi ibu muda ini, “NUR KHADEEJA SOFIA adalah anugerah terindah, secantik kejadian yang Allah SWT ciptakan. Tak terkejut pun sebenarnya sebab dah tahu since check up 22 weeks. Maksudnya, sedikit sebanyak saya sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan.
Pantang ada orang nak pergi Mekah kami mesti kirim doa. Buat solat hajat minta Allah SWT permudahkan semuanya. Semestinya mengharapkan Allah SWT akan beri yang terbaik untuk kami sekeluarga.
Pada masa sama kami buat sebanyak mungkin research dan dapat sokongan semangat sepenuhnya daripada Dr. Siti Maryam (Salam Specialist’s Doctor sebab every month memang check up dengan beliau).
Nak tanya apapun rasa seronok bila doktor supportive sangat. Dan alhamdulillah lepas dapatkan scan details di PPUM untuk lihat dia punya palate (hanya PPUM dan HKL ada kepakaran untuk baby sumbing), our baby Khadeeja just got minor cleft at her lip and palate.
Minggu ke-32 kandungan saya diuji. Keadaan baby dalam perut sangat padat sebab air ketuban yang melebihi paras normal. Sampai doktor bagi tarikh untuk tebuk perut keluarkan air ketuban mengelakkan baby lemas.
Minggu ke-36 kandungan hampir kena op sebab baby tak sampai 2kg pun. Hati terima dengan reda.
Terngiang ayat suami, “Sayang tahu, Allah SWT sudah beri yang terbaik pada kita. Ujian Allah SWT sikit sangat pada kita sedang ramai lagi yang mahukan anak tapi masih belum diberi rezeki anak,”.
Teringat lagi selepas tahu keadaan baby dalam rahim masa minggu ke-22, lima kali saya mimpikan Khadeeja. Mimpi terakhir 5 hari sebelum bersalin. Dia datang dalam rupa yang sama, bersih tak ada sumbing langsung, tak ada yang benda mengarut pun dalam mimpi tu, tak ada ‘benda’ buruk yang terlibat sebagai background.
Pada saya mimpi itu sangat indah. Sampai saya whatssap sorang ustaz mohon dia tafsir apa sebenarnya di sebalik mimpi tu.
Tapi saya tidak terlalu taksub dengan mimpi tu. Cuma dalam hati masih tetap meminta kepada Allah SWT agar ada keajaiban saat akhir. Dan betul, baby saya keluar dengan sangat sempurna. Allah SWT tetap bagi dia cleft, tapi sedikit sahaja.
Pada saya ini bukan ujian semata tapi salah satu bentuk nikmat yang Allah SWT nak gandakan kemudian hari, InsyaAllah.
Yang kami fikir, pahala jaga baby cleft ni sangat banyak sebab perlu struggle terutama time menyusu untuk elak baby membiru akibat tersedak susu. Sangat kena berhati-hati.
Bila berada di NICU 5 hari, baru rasa betapa bersyukurnya anak lahir sihat sempurna, cukup beratnya, malah boleh pula menyusu direct (ada baby cleft kena pakai sepenuhnya botol sampai operation), berbanding anak-anak yang ada di sana kena struggle too much baru boleh balik rumah.
Anak cleft, mereka ni cantik sangat dan sempurna. Jangan down, jangan menyalahkan takdir kerana sesungguhnya mereka anugerah terindah yang tak semua orang dapat,” tutur Wajihah.
Selepas THAKSIN & YINGLUCK SHINAWATRA, Kini Giliran Anak Thaksin, PAETONGTARN Ceburi Bidang Politik
Anak bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra iaitu Paetongtarn Shinawatra muncul sebagai calon dalam pilihan raya akan datang, mempertaruhkan bahawa nostalgia boleh memenangi berjuta-juta undi dari golongan kelas pekerja.
Paetongtarn, 36, sedang berkempen bersungguh-sungguh di kubu luar bandar yang kaya dengan undian dari kumpulan besar politik Pheu Thai keluarga Shinawatra, dengan harapan dapat menghidupkan semula semangat yang membawa bapa Thaksin dan ibu saudaranya, Yingluck berkuasa.
Paetongtarn menjanjikan Pheu Thai akan menyelesaikan urusan yang belum selesai dalam tempoh memegang jawatan sejak 2001, yang kesemuanya telah dipendekkan oleh keputusan mahkamah dan rampasan kuasa tentera yang dikatakan didalangi oleh pertubuhan konservatif Thailand.
“Kami berjaya memperbaiki segala-galanya pada tahun pertama tetapi kemudian empat tahun kemudian kami digulingkan oleh rampasan kuasa, jadi ada perkara yang belum kami capai,” kata Paetongtarn kepada Reuters dalam wawancara rasmi pertamanya dengan media asing menjelang pilihan raya, dijangka dalam bulan Mei.
“Jadi kami pergi ke setiap peringkat untuk memberitahu orang ramai bagaimana dasar kami boleh mengubah kehidupan mereka. Dan hanya melalui politik yang stabil boleh hidup orang ramai berubah dengan cara yang mampan,” katanya.
Thaksin dan Yingluck telah digulingkan oleh tentera masing-masing pada 2006 dan 2014, walaupun mengawasi pertumbuhan ekonomi yang besar. Kedua-duanya tinggal dalam buangan untuk mengelakkan sabitan penjara yang dikatakan sekutu mereka direka untuk menghalang kebangkitan politik mereka.
Mandat telah diserahkan kepada Paetongtarn, anak bongsu Thaksin, yang menggunakan manifesto sama dalam menawarkan kenaikan gaji minimum, subsidi utiliti dan infrastruktur kereta api berkelajuan tinggi yang telah lama dijanjikan untuk menguruskan banjir dan kemarau.
Slogan Pheu Thai ialah “Think Big, Act Smart”, menyasarkan pembaharuan berperingkat oleh kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang disokong tentera sejak beliau merampas kuasa pada 2014.
“Gambaran itu mestilah besar dan kita mesti dapat menangani masalah berpanjangan yang berlarutan. Ini mesti ditangani sepenuhnya,” kata Paetongtarn.
Walaupun belum dinamakan sebagai calon perdana menteri Pheu Thai, Paetongtarn berada jauh di hadapan dalam tinjauan pendapat untuk perdana menteri, dengan dua kali sokongan berbanding Prayuth.
Paetongtarn menguruskan cawangan hotel syarikat hartanah keluarganya juga sudah memulakan kempen pilihan raya dengan menjelaskan Thailand tentunya akan bertambah baik di bawah pemerintahannya, dan beliau akan mengikuti corak kepimpinan bapanya yang sentiasa membantu rakyat. Paetongtarn Shinawatra memiliki setengah juta pengikut di Instagram, menjalani gaya hidup glamor dan menggambarkan dirinya sebagai ‘puteri bongsu’ Thaksin.
Untuk rekod, Thaksin, 72 tahun, digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan sejak itu tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk mengelak tuduhan rasuah.
Walaupun kini sedang sarat hamil lapan bulan, ia bukanlah halangan ibu kepada seorang cahayamata ini untuk bergerak aktif dalam politik.
“Tetapi saya ok,” katanya. “Ini adalah kehamilan kedua saya. Saya sedar keadaan diri saya.” Di sebalik populariti pilihan raya mereka, Shinawatra dibenci di Thailand.
Mereka telah lama dituduh oleh penentang kronisme dengan dakwaan mengayakan rakan perniagaan dan membeli orang miskin dengan dasar populis yang membazir. Shinawatra menafikan tuduhan itu.
Pilihan raya Thailand bakal menjadi satu lagi perlawanan dendam antara golongan elit yang berperang dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu. Paetongtarn berkata beliau tetap bimbang tentang impak perebutan kuasa negara yang sukar dikawal membabitkan keluarganya, termasuk rampasan kuasa, yang katanya menjadikan Thailand “mundur”.
“Ia juga membuatkan dunia melihat negara kita dalam sudut berbeza. Mereka tidak mahu berdagang dengan kami. Ia mengurangkan peluang untuk semua orang,” katanya.
“Negara kita telah ‘dibekukan’ sekian lama. Jadi rampasan kuasa tidak sepatutnya berlaku lagi. Negara mesti maju dan rakyat berhak mendapat rezeki yang lebih baik.”
Lemah Matematik Tapi Petah Bercakap, FATIHAH SALAHUDDIN Warisi Sikap Kepimpinan Arwah Bapa
Berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menhadap Ilahi sekitar minggu lepas masih lagi dirasai oleh pengikut termasuk setiap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak beliau.
Antara yang paling terkesan sudah semestinya anak perempuan allahyarham, Fatihah Salahuddin. Terbaru di platform Facebooknya, Fatihah dan keluarga masih lagi dalam proses menerima hakikat yang ‘hero’ kesayangan mereka sudah tiada.
Meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak, Timbalan Presiden AMANAH itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak iaitu empat lelaki dan dua perempuan.
Sejujurnya kami masih dalam ‘processing’ atas pemergiannya. Terasa seperti ayah hanya keluar bekerja, cuma bezanya ayah sudah tidak pulang. Al-Fatihah buat ayah,” tulisnya.
Menyingkap memori yang hanya tinggal kenangan, Fatihah yang juga seorang peguam turut menyatakan dia mempunyai persamaan dengan arwah bapanya iaitu lemah dalam mata pelajaran Matematik sewaktu di bangku sekolah.
Pun begitu, kehidupan alam persekolahannya seimbang kerana bertuah mempunyai seorang ibu yang tegas dalam membimbing mereka adik-beradik selain menjadi ‘cikgu Matematik’ di rumah.
“Alhamdulillah, masa SPM saya dapat 6A, 3B. Math saya dapat B. Ayah juga sebenarnya agak lemah dalam matematik. Menurut abang saya, saya mempunyai otak ayah. Mak saya pula pandai matematik dan seorang yang kreatif. Dulu kalau buat latihan matematik dengan mak tak sah kalau saya tak nangis,” tulisnya lagi.
Selain itu, Fatihah yang memiliki firma guaman sendiri malah pernah menjadi Pegawai Khas kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof turut menyatakan dia mewarisi bakat kepetahan berbicara berada di hadapan orang ramai dari bapanya.
Kelebihan itu mula disedari Fatihah sewaktu menyertai kelas pengucapan awam (public speaking) yang pada asalnya dipilih kerana kurang menggemari kokurikulum jenis aktiviti lasak di universiti.
Fatihah juga sudah terbabit dalam Wanita Muda Amanah (WARDA) juga mengakui memerhati dan mengamati bahasa tubuh bapanya ketika sedang memberi ceramah sewaktu kecil dahulu. Malah, impiannya untuk sepentas memberi ceramah bersama arwah bapanya menjadi kenyataan sewaktu musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Simpang Jeram tempoh hari.
Bukan itu sahaja, peguam syarie ini sempat berpidato beberapa kali di hadapan arwah bapanya sepanjang menyertai Parti Amanah Negara sejak 2016.
Sementara itu, Fatihah mendedahkan dirinya masih dan sedang mempelajari kemahiran diplomasi yang dimiliki oleh arwah bapanya untuk menjadi seorang pendamai dan berjiwa besar.
“Itulah kualiti saya idamkan daripada ayah. Dengan kualiti itulah membuatkan ayah disenangi kawan dan lawan sehingga hujung nyawanya,” coretnya menerusi hantaran di Facebook.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***