Memang layak Erra Fazira diangkat sebagai ratu. Mana tidaknya, usia mencecah 50 tahun pun masih kelihatan cantik jelita! 9 Februari lalu merupakan ulang tahun kelahiran ratu cantik Miss World Malaysia 1992 ini.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek antara selebriti wanita tanah air yang menjadi pujaan ramai kerana keperibadian yang dimiliki. Malah Erra juga sentiasa ramah melayan peminat dan tak lokek senyuman.
Barangkali kerana sikap positif dan ceria Erra itulah yang membuatkan dia sentiasa nampak awet muda dan menawan pada pandangan khalayak.
Bersempena hari lahir ke-50 baru-baru ini, primadona tersebut diraikan penuh meriah kenalan rapat dan peminat. Meskipun berstatus selebriti, Erra tetap tampil ringkas dengan berkemeja biru dan tudung rona senada.
Turut kelihatan meraikan ulang tahun kelahiran Erra ialah puteri kesayangan, Engku Aleesya.
Ujar Erra, “MasyaAllah TabarakAllah wahai kalian yang dekat dalam hidup ini. Clips ini sangat menyentuh hati. Saya bersyukur dihadirkan insan-insan yang sangat prihatin dan penyayang seperti kalian.
Mungkin saya tidak sekuat ini andai mereka tidak bersama. Terima kasih sahabat, terima kasih keluarga Bersama Erra dan teman-teman semua. Saya tahu tidak semua ada dalam clips ini tapi saya tahu mereka selalu dihati.
Saya menyayangi kalian kerana Allah Taala. Moga silaturahim terus berkekalan hingga ke jannah. Aamiin.
Terima kasih di atas ingatan, doa-doa yang dititip dan ada juga yang mengirim hadiah-hadiah buat saya. MasyaAllah terima kasih tak terhingga!! Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan Rahmat dan LindunganNya. Love You All!”
Dalam memastikan diri kekal berstamina, Erra turut mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani rutin senaman serta diet seimbang.
Selain aktif membintangi bidang lakonan hingga ke hari ini, bakat Erra dalam dunia nyanyian turut masih bersinar.
Pada Ogos 2022, Erra terlibat dalam Konsert Romantika Awie di Sabah. Jelitawan ini juga sibuk dengan kerjaya seni, duta dan bidang perniagaan.
Mengimbas temu bual Nona bersama Erra Fazira ketika dia menjadi penghias Nona Oktober 2018, dia yang merupakan wanita berdikari dan berstatus ibu tunggal tak mahu menjadikan ia halangan mengejar impian.
“Jangan menghempas diri.. kita kena bangun. Kita tak ada orang lain untuk kita nak bersandar. Jadi, semua sandaran tu hanya kepada kita. Maka bangunlah.
Kita ketepikan tanggapan orang lain terhadap kita. Tapi kadang-kadang yang paling sakit itu adalah tanggapan daripada keluarga atau saudara-mara sendiri.
Tapi tak apa, itu semua cliche. Kita buktikan bahawa ibu tunggal boleh membesarkan anak, boleh hidup dengan baik.. boleh didik anak dengan baik. Yang penting, kita balance dunia akhirat.”
This website uses cookies.