Dilahirkan pada 19 September 1997, Halima Aden merupakan aktivis dan model terkemuka kelahiran Amerika-Somalia yang terkenal. Meskipun masih baru menceburi dunia peragaan dan fesyen, wanita cantik ini sudah pun meraih pelbagai pencapaian membanggakan. Secara tidak langsung, penglibatan Halima dalam bidang glamor ini membuka mata penduduk dunia mengenai kemampuan wanita Islam.
Halima dikenali peminat fesyen kerana penampilannya yang unik ketika menggayakan hijab, headwrap dan turban. Lebih-lebih lagi tatkala berjalan di pentas peragaan. Sering menghiasi muka depan majalah fesyen popular, pertunjukan fesyen berprestij dan kempen jenama mewah, Halima juga tidak terlepas menjadi buruan agensi model antarabangsa. Dia merupakan salah seorang ahli IMG Models yang membariskan model terkenal seperti Bella Hadid, Gigi Hadid, Gisele Bunchen, Miranda Kerr, Hailey Bieber, Karlie Kloss dan Kate Moss. Nama-nama hebat tu!
Gadis berketinggian 5 kaki 5 inci ini juga tanpa berselindung menjelaskan dia dikelilingi dengan wanita berhijab sejak dari kecil dan jatuh cinta dengan penampilan seumpama itu hingga membuatkan dia tertarik untuk turut sama mengenakan tudung. Halima juga menegaskan, memakai hijab adalah pilihannya sendiri dan bukan dibuat atas desakan sesiapa.
Namun, pada November 2020 Halima membuat keputusan mengejutkan apabila dia bertegas meninggalkan dunia glamor berkenaan. Halima berpendapat tindakannya selama ini seakan-akan menjatuhkan maruah wanita Muslim. Apatah lagi, sejak pembabitan awalnya dalam industri peragaan dan fesyen… ibu Halima tidak ‘berkenan’ dengan kerjaya itu kerana ia bertentangan dengan agama Islam.
Kongsi wanita berusia 23 tahun itu, “Dia (ibu) dengan jujur memberitahu, ‘Halima, ibu berusaha keras mengikuti suruhan Allah dan ibu sangat risau dengan akhirat kamu. Jadi fikirkan tentang penglibatan anak-anak gadis berhijab lain yang masuk dalam industri ini kerana pengaruh kamu… kamu juga bertanggungjawab ke atas mereka kelak. Lakukan perkara yang betul di sisi Allah.’ Itu adalah perkara terbaik yang ibu lakukan untuk diri saya!”
Ketika ditemubual BBC Somali suatu ketika dulu, Halima pernah ditanya sama ada dia merancang untuk menyertai bidang fesyen. Namun peragawati popular ini menjelaskan andai dia terlibat dalam industri berkenaan, ia sekadar suka-suka untuk mendapat wang.
Memetik laporan BBC, salah satu punca dia meninggalkan fesyen kerana kurangnya penata hijab wanita dalam industri di Amerika Syarikat dan ketidakfahaman mereka mengenai pentingnya berhijab bagi wanita beragama Islam. Tindakan Halima untuk ‘bersara’ mendapat sokongan daripada adik-beradik Bella dan Gigi Hadid yang juga beragama Islam serta selebriti Rihanna.
Halima turut menjelaskan dia telah beberapa kali membelakangkan agama demi kerjaya termasuk meninggalkan waktu solat dan bersetuju melakukan peragaan menggunakan barang atau kain tertentu untuk menutup kepalanya dan bukan berhijab seperti yang dituntut Islam. Malah, setiap kali selesai menjalani penggambaran seperti itu dia rasa sangat sedih dan tidak selesa kerana ia bukanlah dirinya yang sebenar.
Bahkan menerusi Instagram, Halima sering menekankan kepentingannya memakai hijab kepada peminat. “My hijab is not going anywhere. Not today, not tomorrow not ever. The road has been long and very painful at times but also so incredibly rewarding. I’m not asking you to stop the criticism or double standards. I’m just asking you to see me as a human being. It’s easy to pass judgement when you’ve never walked a mile in someone’s shoe.”
Tidak lama selepas mengumumkan persaraan tersebut, akaun Instagram Halima Aden ‘lenyap’ daripada carian. Difahamkan, bekas model muslimah ini mengambil keputusan untuk tidak lagi berada dalam spotlight dunia glamor dan menutup akaun media sosial miliknya.
“I am doing so much better. I don’t think I am gonna ever come back on Instagram. I am just gonna take a really long break. Focus on family, focus on me but inshaAllah everything is good and everything will be good in the end. And happy new year!”
Mengimbas kembali perjalanan karier Halima, auranya mula bersinar sejak dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota pada tahun 2016. Waktu itu, Halima merupakan satu-satunya peserta yang mengenakan hijab dan layak ke peringkat semi final. Kongsi Halima, dia sudah mula mengenakan kerudung kepala sejak kecil dan meminta tudung sendiri daripada ibunya ketika baru berumur lapan tahun.
Lebih membanggakan, Halima ialah wanita hijab pertama yang menghiasi muka depan majalah British Vogue sekaligus membuktikan kepada dunia bahawa wanita berhijab sepertinya masih punya tempat dalam peragaan fesyen mewah! Tiga tahun kemudian, Halima sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Muslim pertama memperagakan burkini untuk Sports Illustrated Swimsuit.
This website uses cookies.