MashaAllah, kagum tengok keazaman Mawar Rashid yang tak putus asa mendalami kitab yang satu, Al-Quran. Tiada istilah malu bagi isteri Raf Yaakob ini kerana pada pandangan Mawar, dia akan rasa lebih malu jika tak mampu menjadi muslimah yang lebih baik kemudian hari. Ke arah itu, Mawar yang sedang hamil anak sulung memanfaatkan masa yang ada untuk mendekati Allah SWT.
Terbuka untuk menceritakan aktiviti yang dilakukan sepanjang kehamilan, bekas peserta Dewi Remaja ini tenang mempelajari kitab Al-Quran bersama seorang ustazah yang dikenali sebagai Nad. Ustazah yang sebaya umur Mawar dan juga sedang menempuh usia kandungan sama sepertinya ini… mula mengajar Mawar mengaji dengan bacaan Iqra dan gemar membaca Al-Quran bersama-sama untuk kandungan mereka.
“Memang niat Mawar sebelum pregnant lagi nak belajar balik untuk mengaji dengan lancar agar Mawar lebih dekat dengan Al-Quran. Tapi Mawar tak sempat lagi menguruskan masa Mawar atas urusan kerja yang terlalu padat. Jadi Mawar ambil kesempatan time preggy ni, untuk memulakan kelas mengaji yang telah lama ada dalam niat hati Mawar ni.
InshaAllah akan maintain kelas mengaji atau kelas apa-apa demi menambahkan ilmu pengetahuan agama sampai bila-bila pun tak apa.”
Alhamdulillah, ramai yang mula mengagumi kebaikan diri Mawar meskipun selama ini aktres jelita tersebut jarang berkongsi kisah peribadi kepada umum. Bahkan cerita tentang dia sambung belajar di universiti swasta juga tidak diketahui sehinggalah Mawar menghadiri sebuah majlis konvokesyen pada hujung Februari lalu.
“Sebelum ni Mawar memang boleh baca Al-Quran, jangan salah faham ye. Tapi tak berapa lancar. Mawar tak malu untuk share sebab Mawar sedar ni kekurangan Mawar. Buat apa kalau kita nak bangga dengan benda yang kita tak pandai atau tak ada kan?
Biar hati ini jujur daripada kita menipu diri sendiri dan orang lain. Mawar punya goals, belajar sampai dapat baca Al-Quran dengan lancar dan dapat menghayati ayat-ayat yang Mawar baca. InshaAllah.”
Terangnya lagi, apa yang dikongsikan ini adalah sekadar untuk memberi semangat kepada semua dan mengingatkan bahawa masih belum terlambat untuk kita memulakan sesuatu yang baik. Yang penting, terus istiqamah hingga ke akhir hayat.
Kredit: Instagram Mawar Rashid