Perjalanan hidup setiap orang berbeza-beza. Ada yang mudah, serba serbi lancar tanpa banyak halangan. Namun, ada pula sebaliknya sehingga terpaksa menempuh bermacam dugaan yang adakalanya boleh mengakibatkan ‘jatuh terduduk’.
Finalis Pencarian Nona Superwoman, Nur Aida Nazili Norazlan berkongsi jatuh bangun dalam bisnes yang menjadi sumber pendapatan utamanya. Mesra disapa sebagai Ayda, wanita berumur 31 tahun yang berasal dari Kelantan ini merupakan ibu anak 3.
Ayda kini mempunyai dua rangkaian bisnes iaitu Beautsahara (inai) dan Nutellabanana (makanan). Ayda cukup bertuah kerana turut dibantu oleh suami, Lut Bosni yang sanggup berhenti kerja kerana mahu bersama-sama menguruskan bisnes.
“Sebelum berbisnes saya pernah bekerja. Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerana nak beri tumpuan kepada keluarga. Tiba masanya untuk saya buat keputusan sendiri dan ‘bebas’ daripada tekanan kerja bawah orang.
“Bila menjadi surirumah sepenuh masa fokus saya hanyalah keluarga. Waktu itu suami seorang saja yang bekerja.
“Saya juga buat bisnes makanan. Buka gerai tepi jalan jual nasi lemak. Dari segi keuntungan tak seberapa. Sebulan berniaga tak laku lantas saya buat keputusan tutup gerai.
“Kemudian saya cuba jual sushi pun tak laku juga. Akhirnya saya kembali meniaga inai. Saya buat full time bersama suami bila dia ambil keputusan berhenti kerja untuk bantu saya.
“Dalam masa 3 bulan bisnes inai menjadi dan agen bertambah seluruh Malaysia. Permintaan juga tinggi bukan hanya untuk majlis perkahwinan malah sebagai salah satu perhiasan bagi wanita aksesori. Inai ini adalah instant dan boleh dibawa solat.”
DETIK STRUGGLE
“Pengalaman paling tak dapat saya lupakan ketika buat bisnes sushi. Dengan modal yang ada saya laburkan semua untuk bisnes tersebut tapi tak laku. Berniaga dari pagi sampai malam untung RM15-RM20 saja. Memang tak balik modal dan tiada langsung simpanan.
“Pernah satu hari terjadinya hujan lebat. Khemah tempat kami berniaga tu koyak disebabkan angin ribut yang kuat. Kami terpaksa bertahan walaupun barang-barang jualan basah dan rosak.
“Walau jualan tak laku, selama 2 minggu jugalah kami bertahan. Dengan saya lagi yang sedang sarat mengandung 7 bulan, Allah saja yang tahu betapa peritnya ujian kami ketika itu.
“Kami tak mampu bayar sewa rumah, terpaksa merayu pinjam duit Mama nak langsaikan hutang. Setelah berfikir mencari jalan penyelesaian akhirnya saya dan suami sepakat untuk kembali buat bisnes inai secara online.
“Alhamdulillah Allah mudahkan jalan dan bertahan sehingga kini. Kehidupan kembali tenang dan kami bahagia dengan apa yang ada. Rezeki Allah sentiasa cukup buat kami sekeluarga.
PENDORONG
“Semestinya suami dan Mama. Suami adalah mastermind dalam bisnes yang kami lakukan. Suami jugalah yang akan menjaga anak-anak jika saya sibuk dengan urusan bisnes. Suami tulang belakang saya, tanpa beliau saya tak akan mampu lakukan semua.
“Manakala Mama, Shalieza Shafii, sejak kecil sampailah sekarang tak pernah lupa memberikan saya kata-kata semangat. Mama adalah satu-satunya wanita inspirasi saya.
“Sentiasa ada di belakang saya untuk support apa yang saya suka. Kalau tak boleh pun Mama tetap akan cakap saya boleh buat. Itulah istimewanya Mama, tak pernah memandang rendah kemampuan anaknya.”
IMPIAN
“Saya akan terus berkongsi rezeki dengan orang lain dan kembangkan bisnes ke tahap yang lebih tinggi. Saya juga berimpian untuk memiliki pusat consultancy grooming suatu hari nanti untuk berkongsi ilmu dan motivasi tentang kecantikan seperti solekan dan imej.”
Semoga Ayda terus sukses membina empayar perniagaanya serta tercapai segala impian yang diharapkan, Insha-Allah.
Kredit Foto: Instagram @aydaazlan