Aktres cantik, Elfira Loy kini sedang mengerjakan umrah bersama keluarganya di kota suci Mekah. Merupakan kali pertama selebriti berusia 24 tahun ini mengerjakan umrah, pemergian El ke sana lima hari lalu diiringi doa yang baik-baik daripada para peminat dan rakan artis seperti Farah Fauzana, Bella Dally, Wani Hasrita dan Mawar Rashid.
Berdasarkan coretan El di lnstagram, perasaan sebak mula menyelubungi jiwanya sebaik menjejakkan kaki ke sini. Akui El, ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan. “Terima kasih Ya Allah kerana menjemputku di sini. I feel more content,
Alhamdulillah. Done my first umrah pada Khamis malam Jumaat atas izin-Nya. It’s miracle that I am able to do my umrah because I was not in ‘keadaan suci’. Berkat doa, zikir sepanjang jalan dan usaha, Allah Maha Besar, dapat juga umrah pertama diselesaikan. Sebak, terlalu sebak.”Baik Elfira mahupun orang biasa, hati sesiapa pun pasti tersentuh apabila berada di kota suci Mekah. Lebih-lebih lagi ketika melihat Kaabah yang tersergam indah di depan mata … seolah-olah tidak mahu melepaskan pandangan meskipun sesaat.
Seperti kebanyakan umat Islam lain yang pernah berkunjung ke Mekah, tidak semua aktiviti ibadah dapat dilaksanakan dengan mudah lantaran berdepan ‘lautan’ manusia dari seluruh pelosok dunia yang berkongsi tujuan sama. Hanya jiwa yang sabar, tenang dan ikhlas mampu melakukan urusan di sini sebaik-baiknya atas keizinan Allah SWT. Dan, salah seorang yang tergolong dalam insan bertuah ini adalah El sendiri.
“El bangun seawal 2 pagi bersama mama dengan keyakinan pada pagi ini Allah pasti permudahkan perjalanan kami untuk membuat tawaf sunat dan bersolat di dalam Hij Ismail di bawah pancur emas. Dan Alhamdulillah Ya Allah, Allah Maha Besar, Allah mendengar doa hambanya yang betul-betul ikhlas menginginkannya. Kami dapat bersolat di situ tanpa gangguan, MashaAllah kerana dikepung pak arab yang sedang bersolat juga di kanan, kiri, depan dan belakang. Kami juga dapat mencium bau batu yang sangat-sangat wangi di Rukun Yamani dan memegang selimut Kaabah.”
Beruntungnya Elfira kerana pada usia yang masih muda, dia sudah mampu mengerjakan umrah dan segala urusannya di sana dipermudahkan ilahi. Selain menitipkan kata-kata positif buat peminat, penampilan Elfira sepanjang berada di Mekah turut mendapat pujian ramai. Mengenakan jubah dan khimar dari label busananya sendiri, EL by Elfira Loy, figura ini juga dilihat kerap memakai niqab.
Difahamkan, El bakal berangkat pulang ke tanah air esok. Semoga pemergian El ke tanah suci membawa seribu satu kelebihan buat pelakon muda ini.
Sumber: Instagram Elfira Loy
This website uses cookies.