Wow, tak sangka sampai macam tu sekali penangan air tangan Datin Paduka Eina Azman! Mungkin kerana kecur melihat masakan yang dikongsikan Datin Paduka Eina di Instagram selama ini membuatkan peminat setianya teruja untuk menikmati juadah menyelerakan selebriti cantik tersebut. Sampai jatuh sakit dibuatnya kerana bertungkus-lumus menyiapkan tempahan makanan di dapur selain tidak mahu menghampakan permintaan pelanggan.
Difahamkan bisnes makanan ‘It’s Done by Eina Azman’ bermula sejak Ramadan iaitu kira-kira sebulan yang lalu. Walau masih bertatih dalam perniagaan ini namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Bayangkan, setiap hari isteri Datuk Paduka Kaiser ini menerima tempahan makanan tanpa henti sampai ke awal pagi! Memandangkan bisnes
ini perkara baru bagi Datin Paduka Eina, beliau masih cuba menyesuaikan diri dengan situasi ini dan berusaha memberikan yang terbaik kepada semua.
Kongsinya, “Selepas penat memasak akhirnya kecundang juga. Nasib baik ‘It’s done by Eina Azman’ esok off day. Anyway, Eina nak share sikit apa yang Eina rasa semenjak buat ‘It’s done by Eina Azman’ ni. Syukur alhamdullilah rezeki Allah bagi terlalu banyak sampai tak menang tangan.
Tapi yang sedihnya Eina tak dapat nak terima semua order dengan baik. Terlalu ramai yang whatsaap sampai Eina tak dapat nak amik order. Sebab bayangkan setiap hari WhatsApp masuk beratus-ratus. Staff-staff Eina semua cuba yang terbaik untuk balas semua WhatsApp tapi tak pernah habis-habis nak balas sebab WhatsApp non stop sampai
4 ke 5 pagi. Ada juga yang marah-marah Eina dan staff.
Eina tak boleh nak balas semua dari Eina. Sebab kalau Eina reply siapa pula nak memasak di dapur? So Eina harap u all boleh faham dan boleh bagi Eina sedikit ruang dan peluang untuk Eina and the team untuk perbaiki segala kekurangan. “Minta maaf sangat-sangat”.”
Meninjau akaun rasmi ‘It’s Done by Eina Azman’ yang sudah pun mempunyai hampir 40 ribu followers, antara menu yang dijual ialah Assam Laksa, Sambal Tempoyak Ulam Kayu (9 Jenis Ulam) dan Sambal Jering Bilis. Bagi memudahkan pelanggan menikmati menu air tangan Datin Paduka Eina di rumah, perkhidmatan penghantaran makanan sampai ke pintu rumah anda turut disediakan.
Malah, rata-rata feedback memberikan komen positif mengenai ketiga-tiga menu masakan Datin Paduka Eina Azman. Pendek kata, memang tak rugi cuba sambal dan laksa jualan
aktres tinggi lampai tersebut. Sudahlah cantik, popular dan kaya. Pandai memasak pula tu! Menyedari minat memasak isteri tercinta, baru-baru ini Datuk Paduka Kaiser telah menghadiahkan peralatan memasak berteknologi tinggi Thermomix kepada Datin Paduka Eina.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Datin Paduka Eina Azman sudah pasti mengetahui bakat memasak ibu dua anak kembar ini yang gemar menyediakan sendiri hidangan untuk seisi keluarganya. Tidak hanya sajian tradisi Melayu bahkan beliau juga pandai memasak aneka hidangan Barat termasuk pencuci mulut. Jadi tidak hairanlah, air tangan Datin Paduka Eina digemari ramai dan mendapat sambutan luar biasa.
Memasak lebih mudah dengan peralatan ini.