Tak Mengalah Cari Rezeki, Penyanyi Min Yasmin Sekarang Bisnes Makanan Di KK!

Rezeki Tuhan bagi, tak pernah salah alamat. Ketika nasib golongan artis dikatakan paling terjejas akibat pandemik COVID-19, penyanyi Min Yasmin berfikir sebaliknya.

Terkenal dengan imej turban, nama Min Yasmin sebenarnya jauh lebih popular di Filipina berbanding di negara sendiri. Kelantangan vokal dan gemersik alunan suara Min menjadi siulan di sana, lebih-lebih lagi sejak merakamkan lagu berbahasa Tagalog, Sa Iyo.

Coronavirus tidak menghentikan langkah Min. Walaupun kini pergerakan terbatas gara-gara COVID-19 termasuklah aktiviti seninya di Filipina, Min rupa-rupanya sibuk memantapkan bisnes kafe di Sabah.

Buah tangan terbaru Min Yasmin

Mesra dan menyenangkan seperti biasa, Min bercerita kepada Nona tentang perkembangan terbarunya. Tak sangka diam-diam ligat betul isteri komposer Julfekar Ahmad Shah ni, aktif uruskan sendiri kafe baru mereka!

Nona: Sejak PKP tempoh hari, bagaimana perjalanan kerjaya Min di Filipina?

Min Yasmin: Buat masa ni memang show di sana dah dibatalkan walau sepatutnya Min adakan mall tour di seluruh Filipina.

Memandangkan COVID-19 masih belum ada tanda redanya, kami tangguhkan dulu niat ni. Tak apalah, saya yakin pasti ada hikmah di sebalik musibah.

Nona: Aktiviti Min sekarang semenjak PKP bulan Mac lepas?

Min Yasmin: For the time being, saya dan Abang Jul ambil kesempatan ni untuk siapkan album studio solo Melayu saya, ‘World On A String’ yang melibatkan 18 buah lagu. Ia dinyanyikan secara live string.

Sambil tu, insyaAllah kami akan sambung proses renovasi ‘Min Yasmin Cafe’ yang tertangguh sebab PKP dulu. Sebenarnya kami baru je start renovation masa tu, jadi lepas ni nak sambung baliklah.

Sewaktu proses perbincangan renovasi kafe bulan Februari lalu
Min Yasmin dan Julfekar ketika mengikuti Kursus Pengendalian Makanan

Nona: Wow, jadi tauke kafe! Dari mana terhasilnya idea tu?

Min Yasmin: Kafe saya ni terletak di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu (KK). Tempatnya betul-betul berdepan Pasar Filipina dan Pasar Kraftangan di sana. Perancangannya, since saya dan Abang Jul nak fokus untuk album di Malaysia jadi kami akan ada banyak masa di sini.

Jadi kami ambil kesempatan untuk buat kafe di Kota Kinabalu memandangkan sepatutnya pada Mac lepas akan ada penerbangan terus dari Selatan Filipina ke KK. Itu sebabnya kami nak buat di KK. Tapi dah berlaku COVID-19, flight tergendala, renovation tergendala…

Nona: Apa konsep ‘Min Yasmin Cafe’?

Min Yasmin: Lebih kepada santai dan Malaysian Authentic Food yang mana semuanya mendapat sentuhan air tangan dan stail masakan saya sendiri.

Antara menunya adalah Nasi Lemak Berlauk (rendang daging, kari ayam), Roti Jul (roti john), Ikan Bakar, Sate, Maggi Goreng, Chicken Chop, Meatballs dan banyak lagi. Juga ada desserts yang menarik!

Dari segi deko, kami tak menggunakan Interior Designer tapi semuanya idea saya dan Abang Julfekar. More into industrial style.

Kafe Min Yasmin dan suami bakal beroperasi tidak lama lagi

Nona: So mudahlah peminat jumpa Min Yasmin di kafe nanti?

Min Yasmin: InsyaAllah dengan faktor lokasi yang menjadi pusat tumpuan pelancong, sebaris dengan Le Meridien Hotel dan jalan utama di Pasar Filipina, bukan saja peminat malah para pengunjung semua boleh menjamu selera di sini.

Saya juga ada plan nak adakan sesi ‘Meet & Greet’ di kafe, sebulan atau dua bulan sekali. InsyaAllah kalau tiada halangan, kami akan terbang ke KK awal bulan Ogos ni untuk start dengan bisnes food delivery dulu sementara tunggu kafe siap renovate.

Doakan ya…

Share
Published by
Norzalina