Mengecap sesebuah kejayaan bermula dengan minat yang mendalam sememangnya mencipta memori indah dalam hidup. Jika sudah minat dengan sesuatu perkara, apa juga rintangan dan halangan pasti mampu dihadapi dengan tabah. Atas dasar minat yang mendalam juga menjadikan wanita kelahiran Tapah, Perak ini bergelar usahawan kosmetik.
Orangnya cantik menawan dan sentiasa melemparkan senyuman paling manis. Maka tak janggal membawa diri sebagai pengasas produk kecantikan yang sangat dicintainya itu. Norfazlina Mohd Faozi atau lebih glamor dengan panggilan Fazs Faozi ini rupanya sanggup melepaskan kerjaya dalam bidang perbankan dengan gaji lumayan semata-mata minat terhadap bidang kecantikan.
Namun, siapa sangka dek kerana minat yang mendalam, Fazs Faozi kini mengecap kejayaan dalam bisnes. “Sejak kecil, saya amat sukakan bidang kecantikan.
Saya rasakan dengan solekan, seseorang wanita itu akan dapat kebahagiaan dan memberikan keyakinan yang tinggi. Atas dasar minat terhadap bidang kecantikan juga telah membawa saya terjun ke dunia bisnes ini,” tutur wanita yang mempunyai hobi membaca, bersenam dan menghias rumah ini memulakan bicara.
LANGKAH AWAL
Wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri ini bahagia bermain dengan alat solek selepas nekad berhenti kerja. Imbas kembali detik permulaan wanita yang berusia 35 tahun ini bergelar sebagai usahawan. “Ketika di universiti, saya telah pandai menyolek rakan-rakan seangkatan.
Tamat belajar di universiti, saya mulakan kerjaya sebagai seorang Pegawai Bank. Ketika itu, saya rasakan sesuatu yang hilang dalam diri saya. Saya rasakan yang saya patut mengejar cita-cita dan minat saya dalam bidang kecantikan. Setelah 4 tahun berkhidmat, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan bisnes.
Pada mulanya, saya menawarkan service solekan kepada model dan pengantin. Alhamdulillah, permintaan terhadap bidang solekan amat menggalakkan dan sedar tak sedar kini sudah 6 tahun saya meneruskan kerjaya sebagai seorang jurusolek atau makeup artist.
Apabila semakin dikenali, saya mengambil langkah mengeluarkan produk pertama saya iaitu penjagaan kulit atau skincare. Kini, saya mempunyai lebih kurang 6 jenis produk solekan dan penjagaan kulit di bawah label Fazsbeauty,” ucap wanita ini sambil tersenyum.
SOKONGAN KELUARGA
Ibu kepada sepasang anak, masing-masing berusia 8 tahun dan 5 tahun ini juga beruntung kerana mempunyai keluarga yang sanggup susah senang bersama dan menjadi nadi kepada kejayaannya sekarang.
“Keluarga adalah tulang belakang saya. Tanpa keluarga, saya mungkin tidak akan sampai ke tahap ini. Suami saya, insan paling supportive. Suami sentiasa menghulurkan bantuan di saat saya memerlukan dan juga ibarat pakar motivasi buat saya ketika down.
Selain itu, ibu bapa dan adik beradik juga sangat membantu terutama ketika saya memerlukan pertolongan untuk menguruskan anak-anak. Abah dan emak, dua insan yang tak pernah memandang rendah kebolehan saya.
Ketika saya ambil keputusan untuk berhenti kerja di bank dahulu, emak antara insan yang paling sedih. Beliau risau jika saya hanya membuat kerja separuh jalan. Tetapi kerana berkat doa ibu tercinta kini saya semakin dikenali dan jenama Fazsbeauty semakin berkembang,” tutur wanita yang pernah ditonjolkan dalam sebuah rancangan realiti bertajuk Wow Terpukau sebagai MUA Versatile.
RANCANGAN
Ternyata obsesi Fazs Faozi terhadap kecantikan telah membawanya kini berada dalam kelasnya yang tersendiri. Baharu membina empayar perniagaan dan dalam masa yang singkat usahawan ini berjaya membuktikan kejayaannya dengan meletakkan jenamanya terpampang di papan iklan.
Rancak mengemudi perniagaannya, Fazs Faozi juga optimis tentang masa depannya, “Saya membayangkan 5 tahun akan datang saya akan lebih dikenali di media massa dan media sosial. Selain sibuk membina legasi Fazsbeauty, kembali mempunyai sebuah pejabat dan mungkin sebuah warehouse.
Doa saya, tahun demi tahun agar Fazsbeauty akan lebih fokus dan berkembang maju,” akhiri Fazs Faozi yang bakal menemui anda semua menerusi Program Pencarian Nona Superwoman 2021 yang bersiaran menerusi ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Program istimewa ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona serta diperkasakan oleh USANITA.
This website uses cookies.