Kehebatan generasi milenial sekarang bermain dengan duit tidak dapat dinafikan. Mereka rajin berusaha dan membina perniagaan bermula dari pusat pengajian lagi. Hidup berdikari tanpa bergantung bantuan daripada ibu bapa.
Tidak hairan dalam usia muda mereka sudah memiliki kereta sendiri dan membaluti tubuh dengan pelbagai barangan jenama mewah. Kegigihan dan peluang yang ada di usia muda digunakan sebaik mungkin dalam usaha memastikan masa depan yang lebih cerah.
Mendekati Aina Sophia dan Aini Sophie Binti Shamsol Zailan, berusia 21 tahun boleh dijadikan inspirasi kepada anak muda yang lain. Biarpun masih menuntut di UiTM Alor Gajah dalam Jurusan Pengurusan Perniagaan, pasangan kembar ini aktif dan gigih membina masa hadapan dalam bisnes online menerusi jenama GHADEEZ.KL.
Di bawah penubuhan syarikat DTWiNZ Legacy (Partnership) yang didaftarkan pada Mac 2020, GHADEEZ.KL dengan slogan ‘Explore Your True Style’ terus rancak memperkukuhkan penjenamaan dan branding secara bersama melaksanakan operasi Sales & Marketing.
Nyata, jiwa berniaga sangat dekat dalam kehidupan yang dilalui oleh mereka berdua. “Kami mula belajar berniaga sejak di tingkatan 4, membantu ibu (pegawai bank pencen) berniaga food kiosk di Melaka. Alhamdulillah, kami berterusan berniaga di kiosk sehingga habis SPM berselang-seli juga program mewakili Malaysia ke Korea (2016) Bulgaria dan Turki (2018) sebagai penari budaya Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) di bawah Tourism Malaysia.
Di Bulgaria, Aini menjadi Winner Miss Festival mengalahkan 14 negara lain semasa festival budaya berlangsung. Pada tahun 2018, selepas dimahkotakan sebagai Juara Miss Malaysia Kebaya, kami berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tuntutan aktiviti selepas kemenangan.
Seterusnya menjadi Juara Pencarian Wanita Melayu 2019, anjuran Plaza Shah Alam & Habib Jewels. Kami juga aktif sebagai dancers untuk RTM, TV3 & Astro. Aktiviti berniaga tetap diteruskan iaitu jualan kek dalam talian @bakedbyainaaini. Semuanya kami berdua buat sendiri, ‘baking’ dan menghantar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Aktiviti ini terhenti sementara setelah kami diterima masuk ke UiTM Alor Gajah.
Sekarang, sambil belajar dan dalam masa yang sama (cuti semester) kami mengambil kursus menjahit jangka pendek dari Kolej Komuniti Melaka dan juga di UPM Serdang untuk menambah ilmu dalam bidang jahitan,” jelas kembar muda yang memenuhi ruang masa mereka sebaik mungkin.
“Biasanya seawal 8 pagi hinggalah 6 petang, kami fokus pada online class. Selepas solat Maghrib kami masuk ke home boutique untuk aktiviti perniagaan. Masa tidur adalah waktu REHAT untuk kami berdua.”
Sepanjang perjalanan dalam perniagaan pastinya ada peristiwa yang menjadi kenangan tidak dilupakan, terutama cabaran berniaga dalam keadaan PKP. “Ada. Kami terpaksa ‘menutup kedai’ apabila COVID-19 melanda negara. Angkut semua stok dan peralatan balik ke rumah. Perkara ini amat menyentuh hati kami namun kami kuatkan semangat dan tidak pernah berputus asa. Ini adalah kerana kami berdua tidak ambil pinjaman PTPTN untuk yuran IPTA kami. Kami cari duit sendiri untuk membeli buku-buku dan bayar yuran belajar.
Secara jujurnya jualan kami jatuh di musim PKP. Pergerakan juga terhad dalam urusan mencari bahan jualan dan direct sales. Namun Social Media begitu membantu di mana banyak posting jualan dibuat melalui Instagram & Facebook. Kuasa membeli juga jatuh di musim COVID-19 kerana pembeli lebih berhati-hati dan agak berkira dalam perbelanjaan. Berkemungkinan ramai yang hilang punca pendapatan atau pekerjaan.
Pada 3 bulan pertama perniagaan, kami masih mencari sasaran pelanggan dan memberi fokus kepada marketing seperti gift review kepada artis dan beberapa influencers. Selepas 3 bulan kami maintain pendapatan bersih sekitar RM5,000 ke RM7,000 ke atas.
Selepas beberapa kali MCO, jualan kami jatuh tapi kami masih boleh maintain pendapatan bersih hingga RM3,000 sahaja sebulan. Target kami untuk ada jualan bersih RM30,000 ke atas sebulan selepas pandemik ini berakhir, insyaAllah,” jelas Aina dan Aini. Keadaan ini mengajar mereka untuk terus berusaha lebih kuat dan gigih, serta bijak bertindak dalam menghadapi pelbagai dugaan atau cabaran.
Siapa yang menjadi pendorong atau tulang belakang di sebalik usaha kalian berdua, “IBU. Beliau manusia yang paling kuat, tidak pernah ada istilah penat dan putus asa. Ibu sentiasa ada dalam suka duka kami. Saat kami jatuh, ibu pimpin kami untuk bangun semula dan menghantar kami ke mana sahaja sebab kami belum ada lesen memandu. Ibu juga mengajar kami cara mengurus kewangan dan perakaunan dengan betul.
Kami juga bersyukur dipertemukan dengan idola kami, Mr Bon Zainal. Beliau adalah pendorong utama untuk penjenamaan jenama kami sendiri. Mr. Bon banyak mengajar selok belok perniagaan fesyen dan membuka ruang untuk kami menyertai Malaysian Bumiputera Designers Asociation (MBDA) dan mengenali pereka fesyen terkenal di Malaysia. Beliau juga menawarkan kami ruang jualan produk Ghadeez di dalam butik beliau di Plaza Damas, Sri Hartamas.”
Dalam kesibukan mencari ilmu dan berniaga, kembar muda ini turut melaksanakan aktiviti CSR. “Sumbangan dan aktiviti CSR kami turut laksanakan dalam membantu keadaan MCO yang lalu, kami bekerjasama dengan ahli MBDA menjahit pakaian PPE kepada frontliners. Kami juga menyalurkan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim pada bulan Ramadan yang lalu. Harapan kami semoga sumbangan kecil ini dapat membantu mereka yang memerlukan.”
Sedikit kata-kata motivasi kepada golongan muda dan impian anda berdua di masa hadapan? “Nasihat kami kepada golongan muda, jangan buang masa. Remaja hanya sekali. Lakukan perkara-perkara yang berfaedah. Gunakan media sosial untuk aktiviti yang bermanfaat. Jaga tata susila. Jaga solat. Sentiasa bersedekah.
Harapan dan impian kami agar suatu hari nanti, GHADEEZ.KL dapat berdiri sama tinggi dengan jenama terkenal di Malaysia. Kami mengharapkan juga agar dapat membuka butik kami sendiri dalam waktu yang terdekat. Target kami juga mahu melangkah membawa jenama GHADEEZ.KL ke luar negara, insyaAllah.”
This website uses cookies.